Alhamdulillah, Ramadan sekali lagi datang menjenguk kita. Sebagai orang Islam, tentunya kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini disambut dengan gembira dan kesyukuran.
Ketika kecil, saya sering ternanti-nanti kedatangan Ramadan. Saya tidak suka makan, jadi saya gembira dapat berpuasa tapi peliknya sangat berselera ketika bersahur dan berbuka. Mungkin suasananya berbeza dari hari-hari biasa.
Bagi saya dan kakak-kakak, Ramadan tiba bersama keseronokan kerana dapat pulang beraya bersama atuk dan nenek. Maka sejak awal lagi, kakak-kakak sudah mula menyanyikan lagu Balik kampung sambil menyiapkan senarai barang yang akan dibawa pulang ke kampung nanti. Begitulah setiap tahun. Bukan hanya kami yang tidak sabar, malah nenek akan menelefon kami hampir setiap hari bertanyakan bila kami akan pulang.
Saya tidak mempunyai banyak memori tentang kemeriahan bazar Ramadan kerana arwah ayah jarang membawa kami ke situ. Yang saya ingat, jualan air berwarna-warni dalam balang disusun di atas meja. Namun, saya tidak boleh meminumnya kerana alahan kepada pewarna.
MERENGEK
Sejak kecil, ayah tegas mendidik kami erti berpuasa yang sebenarnya. Ketika membeli makanan, ayah mengingatkan kami supaya tidak mengikut nafsu meminta itu dan ini yang akhirnya terbuang kerana tidak dimakan. Sebaliknya, kami akan meminta ibu memasakkan makanan yang kami sukai.
Saat itu juga, saya selalu merengek mahu mengikut ayah bertarawih di surau. Namun, kata ayah, saya masih kecil. Hanya setelah berumur lima tahun, impian saya menjadi kenyataan. Ketika itu saya berasa diri saya seperti seorang dewasa kerana dapat berjemaah di surau. Tidak habis-habis saya bercerita kepada ibu di rumah. Ayah jarang menunggu untuk moreh, jadi ada sahaja bekalan moreh yang dihulurkan pakcik-pakcik untuk saya bawa balik.
Setelah ayah tiada, saya mula berbuka di surau sepanjang Ramadan dan pulang selepas moreh. Namun, akibat penularan pandemik Covid-19, suasana Ramadan turut berubah. Kalau dahulu, aktiviti surau di kawasan kejiranan kami sentiasa meriah tetapi pada tahun lepas, aktiviti berbuka puasa dan bertarawih di surau tidak dibenarkan.
Namun, kemeriahan Ramadan tetap terasa apabila kita berpuasa dan melakukan pelbagai ibadat di rumah bersama keluarga. Malah Ramadan tahun lepas membuka lebih peluang kepada kita untuk beribadah dan melupakan kesibukan dunia. Walaupun saya masih merindui saat-saat sebelum wabak Covid-19 melanda dunia, tetapi inilah aturan yang terbaik untuk kita buat masa ini.
Dengan pembukaan masjid dan pelbagai aktiviti perniagaan seperti bazaar Ramadan, gerai jualan dan pusat beli-belah, diharap kita boleh berdisiplin. Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) demi kebaikan bersama adalah amalan yang mulia. Semoga Allah SWT memberkati kita semua dan menyelamatkan negara daripada wabak ini, amin.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.










