KALAU baca tajuk, jangan pula kata saya pemandu yang cantik tu ya! Jauh terpesong tahu. Ini tentang seorang rakan pemandu wanita saya yang cantik. Iya, dia cantik macam orang Arab. Kadang-kadang tengok macam orang Hindustan pun ada.
Bertemu dengannya yang saya panggil Surya baru-baru sambil bercerita pengalamannya sebagai pemandu Grab. Dia membawa Grab lebih dua tahun secara sepenuh masa.
Kata Surya, soalan paling kerap ditanya apabila penumpang naik ke keretanya adalah ‘dulu kerja apa?’ Si rakan ini tak menyorokkan rahsia. Secara terus terang Surya memberitahu, dia dahulu terlibat dalam industri hiburan.
“Patut macam artis!” Kata kebanyakan penumpangnya membalas.
Betul, Surya dahulunya pernah menerajui syarikat gergasi dalam bidang hiburan dan menjadi pengurus kepada ramai penyanyi termasuk satu kumpulan terkenal.
Saya mengenalinya pun kerana terlibat dalam bidang berkaitan.
Kata Surya, sepanjang menjadi pemandu dan mengambil penumpang berketurunan Arab, kebanyakan mereka mahu berkawan dengannya.
“Mereka akan meminta nombor telefon aku. Dah tentu aku tak beri. Bila tak dapat, mereka minta pula akaun laman sosial Facebook atau Instagram.
“Yang ini, aku beri saja. Bila mereka mohon jadi kawan, kalau rasa ada mood, aku terimalah. Lepas itu, mesti dapat mesej nak kenal-kenal.
“Agaknya kalau kita ini muda lagi, memang tenggelam lah kena puji. Tapi sudah senior macam ini, tak hairanlah aku dengan pujian melangit lelaki,” kata Surya selamba.
Tambah Surya, jika dapat mat salih menaiki keretanya, pujian utama adalah kebolehannya berbahasa Inggeris dengan sempurna dan lancar, macam air terjun mengalir!
“Mesti mereka akan cakap, English aku tak bunyi macam orang Melayu. Kalau orang Arab pula, asyik cakap ‘you tak nampak macam orang Melayu’.
“Biasanya aku iyakan saja. Malas nak memanjang cerita. Sebab sudahnya dia minta nombor telefon. Tak kuasa aku,” kata Surya sambil tergelak.
Saya sengaja ‘mencucuk’nya. Kalau dapat yang kacak, apa salahnya berkenalan? Mana tahu jodoh!
“Hish…tak kuasalah. Orang Arab ini mulut manis macam gula. Orang macam ini lagi bahaya.
“Cukup untuk aku ambil dan hantar. Sampai situ saja. Lebih-lebih tak mahu. Nak mesej aku di Instagram, suka hatilah. Kalau rajin aku jawab, kalau tak, biar di situ saja,” katanya tergelak.
Aku tergelak sama sambil merenung raut wajahnya. Memang cantik, patut ramai penumpang sibuk minta nombor telefon! – Mingguan Malaysia










