SDG: Staf UIAM sahut cabaran - Utusan Malaysia

SDG: Staf UIAM sahut cabaran

Sebanyak 16 kumpulan projek Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) diwujudkan oleh kakitangan pentadbir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia secara sukarela.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN perkara baharu apabila kita membincangkan tentang pembangunan lestari. Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) merupakan anjakan yang bertindak mengatasi masalah kemiskinan, memelihara planet dan memastikan semua kehidupan dapat menikmati keamanan dan kesejahteraan. Matlamat SDG yang diilhamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi agenda 2030 menggariskan 17 matlamat bertujuan merealisasikan impian semua pihak dalam mendepani permasalahan yang berlaku pada masa kini dan meningkatkan nilai kehidupan pada masa hadapan ke arah lebih baik dan mampan.

Di Malaysia, SDG dimulakan sekitar 1970-an ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidakseimbangan dalam kalangan masyarakat.

Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) menggariskan elemen pembangunan lestari seperti pertumbuhan ekonomi yang mampan, keadilan dan kesaksamaan kehidupan masyarakat, akses kepada infrastruktur asas, akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dan pemeliharaan alam sekitar.

Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, semua pihak mencari cara dan kaedah efektif bagi memulihkan wabak ini. Pandemik ini juga menjejaskan ekonomi dunia. Professor Jeffrey D. Sachs, Pengarah Sustainable Development Solutions Network mengakui kepentingan untuk dunia menggunakan SDG sebagai panduan dalam memerangi Covid-19 dan memulihkan krisis ekonomi disebabkan wabak tersebut.

Rentetan daripada kepentingan SDG, pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggalakkan setiap kakitangannya mengemukakan cadangan projek utama berkaitan matlamat tersebut. Inisiatif pihak pengurusan UIAM ini memberi motivasi kepada kakitangan pentadbir untuk memulakan projek-projek yang boleh memberi manafaat kepada masyarakat dan alam sekitar. 16 kumpulan projek SDG diwujudkan oleh kakitangan pentadbir dengan secara sukarela. Projek-projek yang dijalankan menggunakan dana sendiri tanpa mengharapkan peruntukan daripada UIAM.

KESEJAHTERAAN SEMUA

Salah satu projek yang boleh dikaitkan dengan SDG 1 – No Poverty (tiada kemiskinan) adalah projek Social Finance. Projek ini dibangunkan bagi membantu pelajar-pelajar UIAM di mana ia menggalakkan individu atau organisasi untuk menderma secara sukarela. Daripada dana tabungan yang diperoleh, UIAM mengagihkan kepada pelajar-pelajar yang terdesak dan memerlukan.

SDG 3 – Good Health and Well-Being dan SDG 15 – Life on Land pula menggalakkan kakitangan pentadbir UIAM untuk merealisasikan Biodiversity IIUM Landscape with Edible Green dan IIUM Kuantan Sejahtera Garden. Kedua-dua projek ini dihasilkan oleh kakitangan UIAM dengan mengusahakan kawasan-kawasan di dalam kampus sebagai ‘kawasan angkat’ untuk penanaman sayur-sayuran dan tanaman hijau yang boleh dimakan. Hasil daripada tanaman ini dikongsi bersama komuniti di dalam kampus.

Selain itu, projek lain berkaitan SDG 3 adalah projek Health and Wellness of IIUM Community dan projek Sejahtera Sports for All. Kedua-dua projek ini memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti riadah yang menarik seperti kembara, berbasikal.

Kakitangan UIAM juga memperkenalkan projek Leading with Adab and Budi (LAB) yang berkait rapat dengan SDG 4 – Quality Education. Projek ini memfokuskan konsep Budi Bahasa, Budi Bicara dan Budi Pekerti. Ketiga-tiga elemen ini amat penting dalam kehidupan seharian manusia sesama manusia dan perlu diterapkan dalam kalangan kakitangan di setiap organisasi. Projek LAB bertujuan mengubah komuniti UIAM memantapkan konsep adab dan budi yang sebenar bagi melahirkan insan sejahtera dan seimbang.

SENSOR PENJIMAT TENAGA

Kakitangan pentadbir di UIAM juga membangunkan Energy Saving di mana projek ini berkait rapat dengan SDG 7 – Affordable and Clean Energy. Projek Fasa 1 memfokuskan bangunan utama UIAM, Bangunan Muhammad Abdul Rauf sebagai projek perintis di mana kawasan tertentu dikenal pasti bagi mengekang pembaziran elektrik. Premis ini dipilih kerana ia merupakan bangunan utama pentadbiran UIAM dan lokasi yang kerap dikunjungi pengunjung. Projek ini memfokuskan penggunaan elektrik tanpa pembaziran terutama di kawasan umum seperti tandas, tangga dan koridor di mana lampu sering menyala hampir 24 jam sehari. Lampu-lampu di kawasan ini dilengkapi alat sensor gerakan di mana lampu dihidupkan secara automatik menggunakan kehadiran seseorang di kawasan tersebut.

BEG KITAR SEMULA

Projek lain dibangunkan oleh kakitangan pentadbir yang dilihat amat menarik adalah IIUM Radiant Ecobag for Sejahtera Community. Projek ini berkaitan dengan SDG 12 – Responsible Consumption and Production yang memfokuskan kepada kitar semula kertas, plastik, kaca dan aluminium. Ia juga selaras dengan hala tuju Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam salah satu dasarnya iaitu Dasar Plastik Sekali Pakai 2018-2030. Projek ecobag dibangunkan atas kesedaran untuk mengurangkan pelupusan kain rentang dan gegantung yang telah digunakan kerana kedua-duanya boleh menghasilkan bahaya kepada alam sekitar. Ecobag adalah projek di mana beg dihasilkan daripada gegantung dan kain rentang terbuang. Salah satu produk menarik adalah beg tote yang boleh digunakan sebagai alternatif menggantikan beg plastik untuk penggunaan seharian.

Kakitangan pentadbir di UIAM sentiasa komited bagi mewujudkan impian mereka membawa UIAM ke hadapan sebagai kelas pertama. Dengan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman mereka dalam membawa UIAM ke arah pendidikan berperikemanusiaan bagi melahirkan kakitangan yang seimbang melalui Maqasid Shariah dan pembangunan lestari, kakitangan pentadbir menyahut cabaran melalui projek-projek utama berkaitan SDG. Projek yang direalisasikan ini dapat membantu masyarakat dan alam sekitar ke arah kehidupan lestari dan mampan. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UIAM sentiasa cemerlang dalam membina pembangunan lestari bagi mencapai kemajuan negara, seterusnya dunia pada masa kini dan akan datang.

PENULIS ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)..

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×