Perlu bertindak lebih profesional - Utusan Malaysia

Perlu bertindak lebih profesional

Kakitangan kerajaan perlu terus menzahirkan komitmen dalam memastikan negara berjaya mengekang penularan pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGISYTIHARAN proklamasi darurat yang berakhir 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh lebih awal sekiranya angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan menimbulkan persoalan mengenai peranan perkhidmatan awam.

Hal ini timbul kerana masih ramai yang kurang memahami tafsiran darurat yang diisytiharkan di samping tidak menyedari peranan penting perkhidmatan awam ketika tempoh ini.

Antara pengiktirafan terbesar kepada perkhidmatan awam adalah apabila Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang bertanggungjawab membendung penularan pandemik tersebut.

Ia termasuk penjajaran sementara yang memerlukan perkhidmatan tambahan. Di samping itu, aset kerajaan yang kurang digunakan seperti kenderaan jabatan dikongsi untuk menyokong kelancaran operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan terselaras.

Bangunan dan fasiliti kerajaan yang bersesuaian juga dijadikan pusat pengambilan ujian calitan.

Oleh itu, kerajaan meletakkan harapan tinggi terhadap perkhidmatan awam dalam membantu menangani krisis kesihatan yang sedang dihadapi dengan memastikan jentera pentadbiran berfungsi dengan lebih lancar dan efisien dalam tempoh darurat.

Justeru, setiap penjawat awam perlu berlapang dada dan bersedia berkorban dan memikul harapan serta tanggungjawab besar terutama dalam mematuhi arahan penjajaran atau penempatan sementara khususnya dalam perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.

Hal ini penting kerana kedua-dua perkhidmatan itu dilihat semakin terdesak dan memerlukan sokongan tenaga kerja tambahan.

Inilah masanya penjawat awam membuktikan sumbangan dalam membantu memerangi wabak ini.

Untuk itu, kita perlu berfikir dan bertindak dengan lebih rasional, profesional, matang serta fleksibel. Penjawat awam boleh mengambil peluang penjajaran ini untuk membuktikan kemampuan dalam melaksanakan skop tugas yang pelbagai dengan cekap dan efisien.

Hakikatnya, sumbangan dan peranan mereka terutama ketika negara berhadapan pelbagai krisis tidak boleh dinafikan.

Namun, dalam apa jua situasi atau krisis, jentera perkhidmatan awam tetap berjalan dengan lancar dan efisien terutama dengan pelaksanaan pelbagai norma baharu termasuk amalan bekerja dari rumah.

Pelbagai inovasi yang diperkenalkan atas paksi norma baharu seperti peningkatan pelbagai perkhidmatan dalam talian dapat membantu rakyat dengan lebih cepat dan mudah.

Justeru, rakyat perlu terus menyokong dan meletakkan keyakinan tinggi terhadap komitmen serta sumbangan perkhidmatan awam dalam mengharungi tempoh darurat.

Semoga slogan Berkhidmat Untuk Negara menjadi azimat penting dalam meneruskan momentum sumbangan sekali gus melestarikan kecemerlangan perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya