Pertubuhan Lapan Negara Membangun atau singkatannya D-8 mungkin tidak begitu diketahui oleh kebanyakan kita dan komuniti Muslim antarabangsa. D-8 merupakan sebuah pertubuhan kerjasama yang memfokuskan kepada pembangunan ekonomi serantau lapan negara membangun iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Tarikh 15 Jun 1997 merupakan detik bersejarah apabila D-8 ditubuhkan secara rasmi menerusi Deklarasi Istanbul yang diisytiharkan dalam sidang kemuncak pertama diadakan di ibu negara Turki itu. Melihatkan penyertaan dari negara-negara membangun yang berpotensi besar, maka objektif penubuhan organisasi ini secara khususnya untuk mempertingkatkan kedudukan negara-negara ahli dalam ekonomi global, mempelbagaikan dan mencipta peluang-peluang baharu dalam hubungan perdagangan termasuklah meningkatkan penglibatan dalam proses membuat keputusan di peringkat antarabangsa serta membaiki taraf hidup masyarakat. Namun, keahlian bagi menyertai D-8 adalah terbuka kepada mana-mana negara yang berminat.
Setiausaha Agung D-8 sekarang ialah Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, seorang diplomat Malaysia yang begitu berpengalaman luas. Beliau yang pernah melanjutkan pendidikan dalam Diplomasi Asas di Institut Pembangunan Jerman di Berlin pernah berkhidmat sebagai Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Laos (1991-1993), Penasihat Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (1993-1994), Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Croatia (1994-1995) dan Jordan (1998-2001), Duta Besar Malaysia di Qatar (2004-2007), Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei (2007-2010), dan Duta Besar Malaysia di Mesir dan Palestin dari 2013 hingga 2017.
KONFRONTASI
Saya sangat berbangga kerana berpeluang bertemu dengan Ku Jaafar sewaktu melawat ibu pejabat D-8 di Istanbul pada 2019. Apa yang lebih membanggakan, Ku Jaafar telah melaksanakan pelbagai program bermanfaat dan pembaharuan yang ketara sejak tiga tahun menjadi Setiausaha Agung D-8.
Sejarah penubuhan D-8 tercetus daripada idea Perdana Menteri Turki ke-23, Profesor Dr. Necmettin Erbakan. Beliau berkongsi cadangannya sewaktu seminar Kerjasama dalam Pembangunan yang diadakan di Istanbul pada Oktober 1996. Bayangan negara-negara yang akan turut serta dalam kerjasama tersebut merentasi dari Asia Tenggara sehingga ke Afrika. Seminar bersejarah itu dihadiri oleh perwakilan-perwakilan dari Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria dan Pakistan. Persidangan tersebut merupakan titik tolak kepada penubuhan D-8.
Beberapa objektif utama digariskan menerusi Sidang Kemuncak Deklarasi (Istanbul, 1997), antaranya untuk menggerakkan pembangunan sosioekonomi sesuai dengan prinsip-prinsip yang telah disepakati seperti keamanan bukannya konflik, dialog bukannya konfrontasi, kerjasama bukannya eksploitasi, keadilan bukannya pilih kasih, kesamarataan bukannya diskriminasi dan yang terakhir, demokrasi bukannya penindasan. D-8 turut memiliki status sebagai pemerhati (observer) dalam majlis umum, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
UNIVERSITI ANTARABANGSA
Untuk memastikan objektif dalam bidang sains dan teknologi tercapai, D-8 mengorak langkah secara lebih sistematik dengan penubuhan Universiti Antarabangsa D-8 yang berpusat di Bu-Ali Sina University, Hamedan, Iran setelah mendapat persetujuan oleh kesemua negara ahli. D-8 memberi tumpuan dalam pelbagai bidang berbeza yang memfokuskan kajian ilmiah, akademik, inisiatif teknologi dan inovatif serta kerjasama dengan institusi serantau antarabangsa. Sehingga kini, D-8 mempunyai kerjasama dengan Bank Pembangunan Islam (IsDB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Masyarakat Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), Institut Forum Pelancongan Dunia, Badan Kerjasama dan Penyelarasan Turki (TIKA), Pusat Petikan Sains Dunia Islam (ISC) dan Chatham House.
Di sini, saya sertakan bidang-bidang kerjasama yang boleh dijalankan bersama D-8 bagi mereka yang berminat. Pertama, pertanian dan keselamatan makanan seperti baja, makanan haiwan, keselamatan benih, piawaian pasir dan isu-isu perdagangan serta laut dan perikanan. Kedua, perdagangan. Ketiga, pengangkutan mencakupi penerbangan awam dan penghantaran.
Keempat, industri seperti automotif, kuasa, industri makanan, teknologi, kimia dan petrokimia, tekstil, besi dan keluli, elektronik dan teknologi, komunikasi maklumat (ICT), jentera, peralatan farmaseutikal dan perubatan. Kelima, tenaga dan mineral. Antaranya perlombongan dan mineral serta tenaga yang boleh diperbaharui. Pelancongan dan kesihatan juga merupakan dua bidang yang termasuk dalam segmen kerjasama. Anda boleh layari laman sesawang rasmi D-8, developing8.org bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Saya melihat D-8 kini berwajah baharu dengan segala gerak kerja lebih efisien, teratur dan berkesan. Pelbagai program dan inisiatif yang sangat bermanfaat telah atau bakal dilaksanakan seperti pembangunan pelaburan teknologi yang mempelbagaikan kaedah, projek rangkaian pemindahan dan pertukaran teknologi sesama negara ahli. Bahkan, D-8 juga dilihat begitu aktif dalam menerokai segala peluang yang wujud di Afrika seperti kejayaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara D-8 dan ECOWAS. Kerjasama ini mampu mempertingkatkan kerjasama dalam pembangunan sosioekonomi menerusi kesaksamaan, faedah bersama dan saling hormat-menghormati.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










