Mesej kena tepat, usah berbunga-bunga - Utusan Malaysia

Mesej kena tepat, usah berbunga-bunga

TINDAKAN tegas perlu diambil bagi menangani penyebaran berita palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di era maklumat berada di hujung jari, agensi-agensi kerajaan kelihatan berhadapan dengan cabaran yang besar untuk mengurus, mengawal dan menangani penyebaran berita palsu. Kemunculan pelbagai platform maya dikenali media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter terus mengeruhkan lagi keadaan dan dengan mudah disalah guna oleh netizen yang tidak bertanggungjawab.

Walaupun kita ada undang-undang dan hukuman untuk menyekat aktiviti tidak beretika ini, termasuk penguatkuasaan secara berterusan, namun aliran trafik berita palsu tetap terus sesak. Ironinya, bukan mudah untuk menyekat aliran masuk berita palsu ke kotak pemikiran rakyat dan agensi kerajaan pula sering menjadi sasaran fitnah dan tohmahan melalui penyebaran berita palsu dalam usaha pihak tidak bertanggungjawab menjejaskan imej dan reputasi kerajaan.

Pandemik Covid-19 serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) turut menjadi mangsa keadaan apabila bermacam-macam berita palsu bertebaran dalam internet dan media sosial. Misalnya, data sehingga 23 Mac lalu menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah membuka 289 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan Covid-19. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 115 kes masih dalam siasatan, 51 kes sudah didakwa di mahkamah dan 12 kes diberi notis amaran. Dalam hal ini, seramai 30 individu didapati bersalah, manakala 20 lagi dalam proses perbicaraan. Penularan terlalu banyak berita palsu tentang wabak ini juga menyebabkan Pasukan Respons Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terpaksa mengeluarkan sebanyak 432 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu Covid-19.

Bagi sesetengah netizen yang ada agenda tertentu, mereka menganggap penyebaran berita palsu ini bukan lagi satu kesalahan sebaliknya ada juga yang mengambil upah dan menjadikannya sebagai kerjaya sama ada sepenuh masa mahupun sambilan. Kelompok ini kebiasaannya diupah oleh golongan tertentu yang mempunyai agenda sama ada mahu merosakkan imej seseorang ahli politik, institusi mahupun kerajaan secara keseluruhannya.

Itulah sebabnya apabila kerajaan mengumumkan sebarang perancangan atau inisiatif baru untuk membangunkan negara mahupun menjaga kebajikan rakyat, dalam sekelip mata akan ada penyebaran berita-berita yang cuba mengelirukan rakyat. Netizen ini menggunakan kemahiran untuk memesongkan fakta dan data yang ada supaya rakyat marah dan membenci kerajaan.
Jelas sekali berita palsu semakin menjadi senjata yang cukup berkesan dalam merosakkan pemikiran rakyat dengan cepat dan menggunakan cara yang mudah. Justeru, bukan mudah untuk sesebuah agensi kerajaan menangani penularan berita palsu ini. Tuntasnya, cabaran menguruskan berita palsu semakin kompleks.

Bagi berhadapan dengan serangan berita palsu ini, adalah dicadangkan setiap agensi kerajaan perlu ada pasukan khas seperti PRP, KKMM bersiap siaga 24 jam untuk mematahkan berita palsu dengan fakta yang sahih serta penerangan yang lebih jelas dan terperinci. Antara lain tugas pasukan petugas khas ini ialah, sentiasa peka dan pantau dengan teliti aliran maklumat di semua media terutamanya media sosial yang beroperasi 24 jam sehari.

BERBUNGA-BERBUNGA

Selain itu, pasukan ini juga perlu dianggotai oleh pakar-pakar yang boleh menyediakan jawapan balas dengan segera. Dalam hal ini, penerangan yang hendak diberikan mestilah ringkas, padat dan menyentuh terus isu yang dibangkitkan supaya kumpulan sasaran mudah memahaminya. Elak menggunakan bahasa yang berbunga-bunga, tersirat dan sukar difahami oleh khalayak. Harus diingat kumpulan sasaran kita terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya dari segi taraf pendidikan dan juga umur. Justeru, mesej kita perlu jelas dan mudah difahami.

Pada dasarnya, setiap agensi kerajaan perlu memberi perhatian yang serius terhadap berita palsu yang tersebar seterusnya meneliti dengan cermat sebelum mengambil tindakan. Berita palsu yang berbentuk fitnah dan pemesongan fakta misalnya perlulah dijawab dengan segera kerana khuatir masyarakat akan percaya berita palsu tersebut jika tidak diperbetulkan atau dinafikan.

Cuma dalam kita memberi respons yang segera, pastikan maklumat yang hendak disampaikan itu tepat dan tidak mengelirukan. Harus diingat dalam kita kelam kabut menyediakan jawapan, ada kemungkinan kita terlepas pandang maklumat penting. Oleh itu perlu ada lapisan pegawai yang menyediakan jawapan dan mengesahkan maklumat tersebut sebelum dihebahkan kepada umum. Dalam konteks ini, integriti maklumat yang terkandung dalam jawapan cukup penting untuk dijadikan sebagai senjata ampuh mematahkan berita palsu tersebut.

Secara prinsipnya walaupun berita palsu ini berniat jahat dan tidak betul, namun agensi kerajaan tidak boleh menafikan kewujudannya serta kerosakan reputasi dan imej yang boleh dibawa bersama. Justeru, kawalan kerosakan itu perlu dilaksanakan segera dengan penuh teliti dan berhati-hati berserta proses komunikasi krisis yang efisien. Dengan ini, kita boleh mematahkan semua berita palsu yang tersebar secara tuntas dan cermat.

Ironinya, bukan mudah untuk mengurus berita palsu dan cabarannya semakin hari semakin kompleks, namun kita tidak ada pilihan selain mesti memeranginya sehabis-habisan. Oleh itu, di samping tindakan pihak berkuasa, setiap agensi kerajaan juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif secara agresif agar bersedia untuk berhadapan dengan serangan berita palsu.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×