Menunggu aksi presiden - Utusan Malaysia

Menunggu aksi presiden

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH sampai masanya UMNO bertindak tegas terhadap sesiapa yang menjadi ‘duri dalam daging’ dan ‘gunting dalam lipatan’ mengkhianati struktur parti.

Jika tiada tindakan tegas, maknanya akan menunjukkan ketiadaan undang-undang dalam parti terhadap mereka yang secara terang-terangan mengkhianati parti. Lantas, sekali gus mengakibatkan ahli-ahli parti tidak lagi menghormati institusi itu sendiri.

Presiden harus berani dalam membuat sesuatu keputusan melibatkan kepentingan dalaman parti tanpa rasa takut dan gentar. Keberanian dan ketegasan ini sangat-sangat dituntut ketika keadaan dan suasana politik yang semakin rumit dan mencabar.

Krisis keyakinan kepada presiden yang semakin hari kian merudum adalah akibat perbuatan beberapa individu yang berkepentingan peribadi. Diburukkan lagi dengan tujahan beberapa blok yang menghalakan meriam menembak presiden bagi menjatuhkan kredibiliti dan keupayaannya.

Tiada siapa dapat membantu dan memulihkan imej presiden, melainkan presiden sendiri dengan cara menggunakan segala peruntukan undang-undang perlembagaan parti bagi mengukuh dan menyelamatkan UMNO.

Ahli UMNO melihat dengan pembawaan persepsi bahawa presiden tidak bertindak tegas, tidak teguh dalam melakukan sebarang pendirian. Bahkan, ada segelintir pandangan mengatakan beliau tidak berupaya menjadi seorang presiden parti terbesar bagi orang Melayu.

Presiden harus bangkit daripada lena dan momokan bertali arus musuh-musuh dalaman yang merendahkan dan secara dalam – halus membunuh karier politik presiden secara berterusan. Act as a President.

Andai presiden mahu membuat penjajaran politik baharu, mengapa tidak dibangkitkan dalam ucapan dasar perhimpunan agung Ahad ini? Kenapa perlu dengar cakap Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)? UMNO, terutamanya presiden harus mengambil posisi menyerang, bukannya defensif dalam menentukan hala tuju parti. Presiden harus tunjukkan kekuatan diri dan parti, yang bukan bermakna mendedahkan strategi yang bila dijolok sedikit, sudah beralah.

Jika penjajaran politik baharu suatu tuntutan masa kini, apa salahnya UMNO bekerjasama dengan DAP? MCA sudah tidak boleh deliver lagi. Ini sudah dibuktikan dalam keputusan siri pilihan raya umum lepas. Bukankah DAP parti yang berdaftar secara sah di negara ini? Jadi, buat apa UMNO hendak berbincang secara sorok-sorok dengan mereka?

UMNO harus berhikmah dalam menguruskan situasi politik terkini. Zaman dua pertiga UMNO ‘menguasai’ sudah tiada. UMNO harus bergerak secara berpasukan, bukan secara blok mahupun individu.

PINTU RUNDINGAN

Parti ini harus bersifat terbuka untuk membuka seluas-luasnya pintu rundingan dengan mana-mana parti politik tanpa perlu jumud dengan mana-mana ideologi politik.
UMNO harus bijak menilai kawan yang bermusuhan dan musuh yang berkawan.

UMNO perlu jelas dalam berpendirian, lebih-lebih lagi dalam menyusun strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15. UMNO harus bergerak dan berstrategi ibarat dalam permainan catur. There is only one King. UMNO perlu mendapat mandat dan bergerak secara berpasukan.

Parti pejuang kemerdekaan ini harus perkasakan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu, bukan Muafakat Nasional (MN), tidak juga Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH). UMNO perlu noktahkan diri daripada menjadi kingmaker. UMNO perlu menjadi King dalam mendepani suasana politik terkehadapan.

Tidak perlu bagi UMNO sekarang tunduk kepada mana-mana desakan, tetapi harus membuka seluas-luasnya pintu rundingan kepada semua parti di Malaysia. Natijahnya, UMNO boleh dianggap parti terkuat ketika ini jika diperbanding dengan mana-mana parti yang lain.

Parti ini tidak boleh mengkhianati harapan ahli-ahli yang telah lama setia dan memberikan dukungan tidak berbelah bahagi. Kuasa majoriti senyap ahli inilah yang telah meruntuhkan UMNO kerana mereka kecewa dan rasa ‘diperkosa’ oleh kepimpinan UMNO.

Gunakanlah pentas Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu dan Ahad ini sebagai medan membuktikan keberanian dan ketegasan. Dan bukannya memomokkan unsur-unsur ketakutan kepada ahli-ahli dengan slogan-slogan tertentu yang akibatnya akan menyebabkan UMNO rebah dan tersungkur.

Belajar daripada kebijaksanaan dan hikmah Presiden Jokowi dalam membentuk kerajaan merangkumi politik keterbukaan – yang akhirnya membawa kepentingan ekonomi negara dan rakyat sebagai agenda utama dalam memimpin sesebuah negara.

Belajarlah juga daripada kebangkitan LDP di Jepun. Bagaimana dari zero, mereka menguasai semula sebuah kerajaan dan makin bertambah kukuh.

FOBIA

UMNO perlu buang sifat takut dan fobia. UMNO perlu berpijak di bumi yang realis. Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang membawa pelbagai kepentingan. Tanpa memperjudikan kepentingan orang Melayu dan Islam, UMNO perlu bijaksana dalam merungkai perpaduan nasional yang memperlihatkan UMNO sebagai parti yang adil dan saksama untuk semua kaum di Malaysia.

UMNO perlu meninggalkan sifat retorik politik. Tidak perlu mengajak ahli-ahlinya bersifat haluan ekstrem kanan yang akhirnya bila berpencak silat di pentas terbuka mengakibatkan menang sorak seluruh dewan tetapi tergadai kalah di seluruh kerusi seluruh negara.

Ini bukan masanya untuk mendabik dada melawan siapa yang kuat. Sebaliknya rakyat dan ahli dahagakan satu formula berkesan dalam mengembalikan kemakmuran ekonomi domestik yang dapat dinikmati langsung oleh rakyat.

Persefahaman antara kaum menjadi tunjang kepada ekosistem ekonomi yang berbilang kaum di Malaysia.

Ayuh kepimpinan UMNO, bangkit sebagai Pejuang dan Pemenang!

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN