SEMASA kecil, saya sangat seronok apabila ibu bapa membawa kami makan di luar. Lebih-lebih lagi berkunjung ke sebuah restoran kegemaran saya. Dalam perjalanan, saya sudah membayangkan betapa lazatnya sup bebola ikan yang akan dinikmati nanti.
Pernah suatu hari, oleh kerana terlalu gelojoh, saya menyuap sebiji bebola ikan tanpa menunggu ibu memotongnya terlebih dahulu. Bebola ikan itu terlalu besar sehingga saya tidak dapat menutup mulut ketika mengunyahnya. Betapa gelisahnya saya ketika itu. Saya malu kerana makan secara tidak beradab, lebih-lebih lagi di khalayak ramai.
Kita dididik supaya berasa malu jika bersikap kurang sopan atau melakukan perkara yang tidak baik walaupun secara tersembunyi. Malah, perasaan malu menjadi benteng untuk mengelakkan kita daripada melakukan perbuatan yang mungkar.
SI TANGGANG
Namun, ada kalanya kita malu tidak bertempat. Kita malu jika dikatakan tidak mengikut peredaran zaman sehingga sanggup melupakan identiti dan budaya bangsa. Kita bangga bertopi tetapi malu bersongkok. Ada pula yang sanggup bergolok-bergadai semata-mata kerana malu jika dilihat tidak bergaya seperti orang lain. Sehinggakan ada yang malu mengaku asal usul kita, ibarat Si Tanggang yang malu mengakui ibu bapanya sendiri.
Pengaruh negatif budaya luar telah lama meresap ke dalam kehidupan kita. Ramai yang terpengaruh dengan budaya bebas sehingga terhakis perasaan malu yang telah ditanam dalam jiwa.
Banyak perkara mungkar yang sudah dianggap sebagai satu kebiasaan sehinggakan ia tidak lagi dilihat asing pada mata masyarakat. Lihat sahaja adegan-adegan yang jelas bertentangan dengan hukum agama dan budaya kita dalam drama dan filem menjadi ikutan anak muda.
Pengaruh materialistik juga mendorong kita mengejar kemewahan sehingga tidak malu untuk melakukan apa sahaja. Ramai yang sanggup makan riba, menipu, memijak orang lain dan melakukan perbuatan tidak bermoral tanpa rasa bersalah.
Perasaan malu amat penting dalam menjaga iman. Ia dapat membentuk keperibadian mulia serta menjauhkan kita daripada melakukan kemungkaran dan kerosakan kepada diri sendiri dan masyarakat. Janganlah sampai kita bersikap beraja di hati, bersultan di mata.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.










