cerpen karya Putraery Ussin
Kisah 1
CUACA keruh. Angin berpuput deras. Hujan akan melebat bila-bila masa sahaja. Seorang lelaki menerpa masuk ke dalam kedai sambil menjinjing beg plastik hitam.
“Makcik, boleh jahit butang baju ini?” Dia bertanya. Baju kemeja celoreng dikeluarkan daripada beg plastik hitam itu.
“Mari, biar makcik tengok dahulu.” Makcik Ani bangun lalu menghampar baju itu di atas meja besar yang terletak di tengah-tengah ruang kedainya.
“Allah, mana pula butang baju ini?” Kelam-kabut lelaki itu meraba setiap poket baju dan seluarnya. “Tercicir agaknya. Tadi kalut lari nak elak hujan.”
Dia kerenyih sambil menyapu dengan tapak tangan titisan air yang membasahi wajahnya. Segak orangnya. Makcik Ani merenung keikhlasan pada wajah pemuda di hadapannya.
“Cuba kamu tengok, butang mana yang berkenan? Boleh makcik jahit sekarang.” Makcik Ani mengunjuk sebekas butang baju dari dalam laci meja kerjanya.
Selonggok butang yang berada di dalam bekas plastik empat segi itu diperhati satu persatu. Namun, matanya lebih tertancap pada satu bekas kecil lutsinar terletak tidak jauh dari situ. Beberapa biji butang telah menarik perhatiannya. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal. Wajahnya ceria.
“Makcik, kalau butang yang dalam bekas kecil tu boleh tak?” Dia senyum lagi. Matanya bersinar-sinar.
Makcik Ani terdiam. Butang baju itu direnung lama. Senyumannya tiba-tiba pudar.
“Padan tak makcik, butang dengan baju ni?”
Makcik Ani serba salah. Butang itu sudah diletakkan di atas hamparan bajunya.
“Ah, terlupa pula! Dompet ada di dalam kereta. Sebentar ya, makcik, saya pergi ambil.” Dia berlari keluar.
Di luar, hujan lebat menggila. Angin menerbangkan segala-galanya. Ada pokok tumbang menghempas kereta yang diparkir di sepanjang jalan berdekatan deretan kedai.
“Ada orang terperangkap dalam kereta tu!” Tiba-tiba riuh-rendah orang ramai meredah hujan untuk membantu mangsa yang terperangkap.
Makcik Ani yang sudah siap menjahit butang baju itu terkejut.
Kedai jahitnya kembali sepi. Rindu dahulu sukar untuk dilepaskan pergi.
Kisah 2
“Aku tak mahu main pondok-pondok …” Wajah Morad mencuka. Sungguh-sungguh tidak mahu. Muktamad.
“Habis tu, kau nak main apa?” Dolah terpinga-pinga. Sedang seronok-seronok bermain tiba-tiba Morad buat kelaku bebal sebegitu.
Isa menggumam. Dia juga tidak faham dengan Morad yang memberontak itu. Memang itu permainan mereka bertiga jika bersama Ani. Lainlah jika sesama budak-budak lelaki. Mereka akan main aci ligan atau main sorok buah kelepung dalam pasir di dasar sungai. Tapi ini dengan Ani. sesuaikah permainan lasak sebegitu?
Jika Ani ajak main masak-masak sekalipun mereka bertiga akan setuju. Lebih-lebih lagi jika Ani ajak main kahwin-kahwin, dia suka sangat. Isa suka melihat Ani teragak-agak membuat pilihan antara mereka bertiga sebagai suami. Akhirnya, cabutan undi batang lidi akan dilakukan. Selalunya dia akan menang. Tidak kisahlah, walaupun itu permainan budak perempuan. Namun, kali ini lain benar sikap Morad. Apa masalahnya, tiba-tiba tidak mahu bermain dengan Ani?
“Morad nak jadi cikgu pulakah? Kalau begitu, biar Ani jadi murid.” Ani sudah meletakkan arang di atas papan perca tempat untuk menulis. Daun-daun kopi yang dijadikan kertas juga diletakkan ke tanah. Dia bergerak lalu duduk bersila menyertai kawan-kawannya sebagai murid.
“Tapi memang Ani kan yang selalu jadi cikgu?” Dolah cuba memahamkan Morad. Barangkali boleh mengubah sikap semberono kawannya itu.
“Aku tak nak jadi cikgu … aku nak jadi askar.” Morad hendak berlalu pergi. Dia kecil hati. Lebih baik dia tinggalkan kawan-kawannya. Belum sempat dia berlalu, tangannya disambar oleh Ani. Langkahnya terhenti.
Wajah comot Ani yang terpalit arang di pipi dan di dahi diperhati lama. ‘Kau sungguh cantik Ani.’ Kata-kata itu tersangkut di kerongkongnya. Kawan-kawannya terlopong memandang tindakan Ani. Rasa sebal mula bercakaran. Perasaan mereka berbaur dengan sakit hati, iri, geram dan haru-biru.
Kisah 3
April 1976.
Tiga sahabat baik pulang ke kampung untuk bercuti. Kebetulan kali ini cuti mereka sama. Jika sebelum ini jarang dapat berkumpul sebegitu di kampung.
“Lepas solat Isyak tunggu aku tau … doa dulu jangan terus blah.” Pesan Isa sungguh-sungguh.
“Amboi, macamlah aku tak ada hajat nak minta daripada Allah! Bukan senang nak berjemaah dengan orang kampung macam ini. Sudah banyak tahun kita tak dapat bersama-sama macam zaman budak-budak dahulu, bukan?” Dolah mencebik.
“Yalah, habis Tingkatan 5, kita semua masuk askar … kena pula lain-lain kem. Nasib baik aku selalu tulis surat dekat kau berdua. Jika tidak haramlah kau orang nak ingatkan aku,” Morad ketawa. Belum sempat Dolah membalas azan sudah dilaungkan. Mereka bergegas untuk mengambil wuduk.
Seseorang melintas di hadapan mereka. Terkaku mereka di situ. Senyuman yang dilemparkan itu tidak pernah berubah, malah semakin manis.
Mata itu melirik sambil melangkah sopan, kemudian hilang ke dalam ruang solat.
Morad teringatkan suatu ketika mereka beramai-ramai berdiri menanti bas untuk pulang ke rumah.
“Minta butang baju itu sorang sebiji. Lagipun baju itu dah conteng-conteng … siapalah nak pakai baju macam tu.” Telapak tangannya dihulur.
“Kau nak buat apa dengan butang baju ni, Ani? Bukan boleh makan pun ….”
“Biar Ani simpan sebagai kenangan.” Suaranya lembut.
Permintaan itu memang sukar ditolak. Tambahan pula suara yang meminta itu sangat sopan. Apabila tersenyum muncul pula lesung pipit yang mempesonakan.
Perpisahan itu berlaku ketika hari terakhir persekolahan mereka. Kemudian segala-galanya lenyap. Hanya sekali-sekala mereka berselisih dan berkirim salam. Wajah Ani yang cantik itu menjengah ke dalam mata mereka bertiga.
Malam sudah lewat. Bulan tenggelam timbul di sebalik awan. Cahayanya sudah cukup untuk menyuluh pertemuan mereka di tempat yang sama ketika bermain pondok-pondok dahulu.
“Ani tak dapat buat pilihan. Maafkan Ani abang.” Air matanya tertumpah. Ani memeluk tubuhnya yang masih dibungkus kain telekung itu.
“Ani, kami bertiga dah sepakat ….” Morad cuba memujuk.
“Sungguh Ani … kami akan reda.”
“Ya, Ani … buatlah pilihan! Sesiapa pun di antara kami bertiga yang Ani pilih. Kami terima. Dan kami akan saling hormat-menghormati kerana itu adalah pilihan Ani.” Isa memberi pertimbangkan dengan penuh pengharapan.
Mereka berusaha memujuk. Sudah lama mereka memendam rasa kasih yang menggunung terhadap Ani. Lagipun perbincangan antara mereka sudah terpateri. Maka keputusannya terletak di tangan gadis itu. Mereka akan menghormati pilihan Ani.
Tidak lama lagi cuti mereka berakhir dan perlu kembali bertugas. Kali ini mereka bertiga akan bersama-sama untuk ke Gubir menghapuskan saki-baki pengganas Komunis yang bersarang di situ.
Jadi kata putus daripada Ani sangat penting. Sangat penting untuk mereka pergi bertugas demi negara dengan tenang. Kelak pulang sudah ada yang menanti salah seorang daripada mereka.
Ani menahan sebak, namun air matanya tetap tumpah di pipi. Kali ini tersedu-sedan. Bahu Ani sudah terhinggut-hinggut menahan tangisan.
Mereka masih menunggu kata seterusnya daripada Ani. Bulan tiba-tiba menjadi suram. Ani masih tidak bersuara.
“Baiklah … esok petang selepas solat Asar, datanglah ke rumah Ani. Ani akan nyatakan pilihan. Lagipun lusa, abang semua akan kembali bertugas, kan?” ujar Ani dengan perasaan sebak.
Keadaan sepi lagi. Ani menyambung kata. “Persahabatan kita akan terasa janggal dan rosak nanti apabila Ani memilih salah seorang daripada abang-abang bertiga. Tapi jika sudah itu yang abang-abang mahukan … maka esok Ani akan putuskan.” ujar Ani tersekat-sekat.
Hari yang dinanti-nantikan telah tiba. Langit petang masih biru. Langsung tiada longgokan awan. Bayang-bayang burung yang berterbangan pun tidak kelihatan.
“Di dalam piring ini ada tiga biji kuih baulu. Ambillah … makan seorang satu. Jika sudah menjadi jodoh Ani, Ani terima.” Suara Ani terputus-putus. Sukar untuknya meluahkan pilihan. Semalaman dia menangis. Resah sungguh perasaannya memikirkan pilihan yang tepat serta tidak menyinggung hati tiga sahabat baiknya itu.
Kuih baulu itu tidak terus dijamah oleh mereka bertiga. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Lama keadaan itu berterusan. Tiada kata-kata lagi yang terbit dari mulut mereka.
Dengan isyarat mata, mereka serentak menjamah kuih itu. Ani masih tunduk menanti. Air matanya sekali lagi mengalir laju membasahi pipi. Dia seolah-olah tidak rela untuk mengetahui keputusan yang akan diterima nanti.
Tiba-tiba Morad mengeluarkan sesuatu dari dalam mulutnya. Lalu diletakkan di atas piring yang telah kosong tadi. Dolah dan Isa saling berpandangan. Kuih mereka masih berbaki di tangan.
Sudah kedengaran esakan daripada Ani. Ani masih menanti reaksi daripada Dolah dan Isa. Sehingga habis kuih dimakan, tiada sebarang reaksi daripada mereka. Ani sabar lagi menanti dalam esakan yang semakin menggila.
Akhirnya dalam sedu sedan Ani bersuara. “Ani telah meletakkan butang baju abang-abang dahulu dalam kuih itu.
Sesiapa yang dapat kuih berinti butang itu, orang itulah bakal suami Ani.” Tersekat-sekat suaranya. Kedua-dua tapak tangan ditekup ke wajahnya.
“Tahniah Morad … Memang sudah tersurat jodoh Ani dengan Morad.” Dolah yang terlebih dahulu menepuk-nepuk bahu Morad.
“Ya, Ani … tak perlu Ani menangis lagi. Tahniah. Moga kalian berdua bahagia selama-lamanya.” Isa bersuara sayu memerhati Morad.
Morad masih duduk-duduk di situ. Terlintas di mindanya hari bahagia mereka berdua kelak. Persandingannya dengan Ani biarlah berlangsung ala kadar.
Hanya tetamu istimewa dan saudara mara terdekat sahaja yang hadir. Dia mahu Ani nampak anggun berbaju pengantin. Tak mahu sendat dan ketat. Lagipun Ani sudah cantik dan menawan.
Segala-galanya terjawab, Isa dan Dolah bersedia untuk melangkah pulang. Keputusan sudah muktamad. Jodoh Ani adalah bersama Morad.
“Morad … Ani … moga bahagia nanti. Ini kenangan ketika kanak-kanak kita, aku nak kembalikan kepada Ani.” Dolah bersuara yakin.
“Ini pula daripada aku ….” Isa tersenyum. Mereka bertiga bersalaman sebelum berlalu pergi.
Ani terlopong melihat dua biji butang baju yang berada di tapak tangannya. Segala-galanya seperti sia-sia. Dolah dan Isa sudah berlalu pergi. Perasaan Ani kian retak dan perlahan-lahan berkecai.
Kisah 4
Ani susun menegak tiga butang baju itu. Dia merenung sayu. Butang baju itu mewakili kedukaan yang berpanjangan. Semuanya telah menjadi impian yang tidak berkesudahan.
Butang-butang baju yang disusun menegak itu dijentik kuat lalu terpelanting jatuh menimpa naskhah akhbar tulisan jawi. Muka depan akhbar itu diperhatikan hiba. Hatinya tersayat. ‘Tiga Sahabat Baik Terkorban di Gubir.’
Peristiwa Gubir menyayat hati. Kisah anak muda kampung mereka yang terkorban dalam operasi membanteras komunis. Namun, orang kampung tetap berbangga bercerita tentang peristiwa itu.
Kisah pahlawan-pahlawan yang berjasa itu terus menjadi buah mulut. Ani hilang kata-kata. – Mingguan Malaysia