Kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan budak-budak sekolah timbul. Saya bukan nak membincangkan gelagat murid sekolah rendah yang sudah kembali ke sekolah walaupun sesetengah negeri masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Tapi nak membincangkan gelagat pelajar sekolah menengah kerana sesetengah daripada golongan inilah yang sering mencetuskan pelbagai masalah disiplin dan tingkah laku tidak menyenangkan warga pendidik serta masyarakat sekeliling.
Baru-baru ini, beberapa pelajar mencemarkan imej sekolah. Usai peperiksaan, ada yang membuang buku ke dalam sungai, ada yang bermotosikal tanpa memakai topi keledar serta berbaju tertulis perkataan menghina guru selain kenderaan ditahan pihak berkuasa kerana diubah suai.
Hal ini merperlihatkan pelajar memandang remeh ilmu yang diperoleh, tidak menghormati guru sebagai sumber ilmu dan penyuluh masa depan serta mencabar undang-undang kerana melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.
Sudahlah malas membaca, dibuang pula buku-buku yang ada ke dalam sungai. Sudahlah malas belajar, dimaki hamunnya pula guru. Sudahlah melanggar peraturan jalan raya, mengganggu orang lain pula.
SUJUD
Beberapa hari lalu, saya amat kagum membaca berita pelajar-pelajar sebuah sekolah melakukan sujud syukur selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tindakan itu melahirkan rasa terharu guru yang berada di dewan peperiksaan. Tindakan sebegini bukanlah perkara baharu. Dua tahun lalu pun saya pernah baca berita yang sama. Saya tidak pasti sama ada tindakan tersebut lahir daripada hati atau keinginan pelajar atau guru mereka. Kalau daripada pelajar itu sendiri, ia petanda baik tetapi jika atas suruhan guru, setidak-tidaknya mereka boleh dikategorikan sebagai golongan yang menghormati guru.
Apa-apa pun, sesiapa pun tentu berharap ia boleh dijadikan amalan setiap kali pelajar selesai menduduki peperiksaan dan bukannya merempit, bermain mercun dan mempamerkan pelbagai aksi negatif terutama di luar kawasan sekolah.
Kita sangat memahami pengaruh persekitaran sangat kuat membelenggu pelajar sehingga mereka sanggup melakukan pelbagai aksi yang melanggar peraturan disiplin sekolah dan menyimpang daripada norma hidup masyarakat.
Dalam soal ini, tentulah ibu bapa tidak boleh memandang remeh soal disiplin dan tingkah laku anak-anak. Di tangan merekalah letaknya tanggungjawab mengawal tingkah laku anak-anak supaya tidak mencemarkan nama baik pelajar, sekolah dan keluarga.
Oleh demikian, institusi keluarga sangat penting. Nasihat mestilah sentiasa diberikan agar mereka tidak berkelakuan liar di dalam dan luar sekolah. Di sekolah, mereka menjadi milik guru tetapi di luar sekolah, mereka menjadi milik masyarakat.
Apabila didikan di rumah sudah lengkap, tentulah anak-anak tidak sukar dibentuk di sekolah. Tugas guru yang pelbagai itu akan dapat dikurangkan dan tidaklah perlu membuang masa memikirkan kerenah anak-anak murid. Masyarakat sekeliling pula mestilah berusaha mengekang salah laku pelajar dan remaja.
Dalam soal ini, ketepikan peribahasa jangan jaga tepi kain orang kerana bimbang anak-anak kita juga terlibat sama dalam salah laku membabitkan pelajar atau golongan remaja di luar kawasan sekolah.
Penulis ialah penganalisis sosial dan bekas guru.










