fbpx

Islam dipersenda secara terbuka

KESUCIAN agama Islam perlu dipelihara melalui sistem perundangan yang padu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

SAUDARA PENGARANG,

KEPUTUSAN dua kes mahkamah syariah yang tidak menyebelahi kerajaan Pusat dan negeri wajar diberi perhatian serius terutama oleh pemimpin politik Melayu.

Impak daripada keputusan kes-kes berkenaan adalah amat jelas bahawa pelaksanaannya tidak selari dengan kehendak Perlembagaan negara.

Sebagai rujukan mudah, kes lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melibatkan enakmen undang-undang syariah Selangor tidak sah pelaksanaannya. Begitu juga kes kalimah Allah perlu dipinda supaya tidak mudah dicabar oleh pihak-pihak tertentu.

Namun, terdapat isu berbangkit dalam usaha meminda Perlembangaan kerana ia perlu mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen sedangkan kedudukan ahli Parlimen Melayu-Islam semakin mengecil akibat kiblat politik yang berteraskan kluster berlainan ragam dan sandiwara.

Kes kalimah Allah walaupun penggunaannya telah bermula sejak 1985, namun tindakan perundangan yang hanya dikuatkuasakan 13 tahun lalu tidak menjadi agenda penting dan utama sehinggalah Mahkamah Tinggi memutuskan isu berkenaan berasaskan kepada fakta, baru-baru ini.

Semua pihak perlu akur dan menerima keputusan berkenaan, malah tidak wajar ditafsir melalui sudut politik yang sempit, sebaliknya kerajaan masih berpeluang mengemukakan rayuan sehingga peringkat Mahkamah Persekutuan.

Selagi pemimpin politik Melayu-Islam tidak ikhlas sesama sendiri dan selagi wujud unsur tikam belakang, maka selagi itulah ruang terbuka luas bagi pihak tertentu untuk mempersendakan Islam secara terbuka.

Terkini, lihatlah bagaimana DAP yang bermodalkan 42 kerusi Parlimen berani mengkritik agama Islam dengan membandingkan isu lompat parti dengan murtad kerana pada pandangan parti berkenaan, kedudukan serta penyatuan kepimpinan Melayu-Islam sudah menjadi cacamarba serta tidak bersatu dan ini amat berbahaya.

Tiada satu parti pun yang berkemampuan berdiri di atas platform sendiri kerana ego. Maka menjadi tanggungjawab pemimpin parti Melayu-Islam dari UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) memastikan kekuatan ummah dijadikan keutamaan supaya anak bangsa tidak merempat di negara sendiri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik dan bekas ahli DAP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN