`Girlfriend kau takut Covidlah..." - Utusan Malaysia

`Girlfriend kau takut Covidlah…”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasanya tiada seorang pun pemandu Grab yang gembira apabila terpaksa mengambil penumpang yang diketahui baru sahaja keluar dari Hospital Sungai Buloh kerana jangkitan Covid-19.
Walaupun sudah tahu penumpang bebas virus, tapi hati tetap berasa cuak. Jadi sepanjang masa berdoa supaya kita sendiri tak dijangkiti walaupun pelitup muka tertepek penuh.
Begitu cerita seorang rakan perempuan yang pernah mengambil seorang penumpang ketika saat awal berlakunya pandemik ini setahun lalu.
Kata teman saya bernama Nanee ini, waktu tersebut dia kebetulan bekerja sehingga tengah malam. Sekitar pukul 11 malam, dia mendapat pesanan Grab di Petaling Jaya. Penumpangnya seorang lelaki muda berbangsa Cina.
Sebaik sahaja dia duduk di kerusi belakang, terhidu bau alkohol yang agak kuat. Aduh…mabuk ke ini, getus hati Nanee.
Apa pun, Nanee cuba bertenang dan memandu seperti biasa. Cuma dia tersentak apabila si penumpang memberitahunya khabar yang tak enak didengar.
“You nak tahu, saya sebenarnya baru keluar kuarantin dari Hospital Sungai Buloh sebab terkena Covid-19. You tak takut ke?” tanya lelaki tersebut.
Kata Nanee, masa itu memang berderau darah.
Namun lelaki ini berbudi bahasa. Berkali-kali dia minta maaf sebab terlebih minum malam itu dan meyakinkan Nanee yang dia sudah sah negatif selepas dua minggu dikuarantin.
Dia sah positif Covid-19 sekembalinya ke Malaysia dari Filipina atas urusan perniagaan.
“You jangan takut, pasti tak jangkit you sebab saya sudah sihat. Cuma malam ini saya minum banyak sebab stres,” katanya.
Si penumpang ini sebenarnya mahu ke sebuah kondominium teman wanitanya di Klang. Sepanjang perjalanan ke sana, berpuluh kali menelefon kekasih hati, tapi tidak dijawab.
“Rupanya sampai di kondominium itu, dia ambil gambar dan hantar pada teman wanitanya, bukti dia dah sampai. Kemudian minta aku hantar balik ke rumahnya di Sentul.
“Dalam kereta, dia asyik tanya ‘perempuan nak apa sebenarnya’. Dia tak faham sebab teman wanitanya tak nak jawab telefon sejak dia balik ke Malaysia lagi.
“ Kata si penumpang ini, dia tahu teman wanitanya ada lelaki lain tapi dia masih sayang dan boleh maafkan.
“Dalam hati aku cakap, ‘ perempuan itu takut nak jumpa kau sebab kau kena Covid lah,” kata Nanee bercerita sambil ketawa
Apa pun kata Nanee, dari pukul 11 sampai ke pukul 2 pagi melayan kerenah penumpang itu, perjalanannya berbaloi sebab dibayar melebihi RM200.
“Yang seronoknya, si penumpang itu puji aku ini pendengar yang baik kepada cerita dia.
“Mana tak baiknya, apa pilihan yang aku ada masa itu, takkan nak tinggal dia tepi jalan? Nak tak nak, kena bawa juga. Mujur berbaloi tambangnya. Bila sampai ke rumah, lama aku mandi bawah shower sebab takut Covid,” katanya ketawa. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×