PADA 3 Januari lalu, 10 minit sebelum tengah malam, aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg yang pernah berucap penuh kemarahan di Sidang Kemuncak Tindakan Iklim 2019 di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York, membuat ciapan di Twitter miliknya.
Ciapan yang turut dipetik agensi berita asing seperti Reuters dan saluran berita CNN, jika diterjemahkan bermaksud lebih kurang:
“Terima kasih banyak atas semua ucapan selamat hari lahir saya yang ke-18! Malam ini anda akan menemui saya di pub tempatan, mendedahkan semua rahsia gelap di sebalik (kempen) iklim dan konspirasi mogok sekolah dan pengendali jahat saya yang tidak lagi dapat mengawal saya! Saya bebas akhirnya!!”
Sebulan selepas itu, pada 3 Februari, gadis yang menghidap sindrom Asperger iaitu sejenis penyakit gangguan saraf yang ada kaitan dengan autisme turut berkongsi berita CNN mengenai protes petani di New Delhi, India sambil membuat ciapan: “Kami bersolidariti dengan #FarmersProtest di India.”
Banyak protes telah dianjurkan di India bagi membantah akta pertanian baharu yang didakwa petani akan mendedahkan mereka kepada eksploitasi syarikat swasta.
Cukup menarik kerana bersama-sama ciapan itu, Thunberg turut memuat naik dalam bentuk dokumen pelan tindakan dan nama kumpulan yang terlibat mengadakan protes di India yang kemudiannya telah dipadamkan olehnya.
Hantaran itu memudahkan polis India mengenal pasti dan menahan pihak-pihak yang didakwa menjadi dalang protes tersebut.
Apa sebenarnya telah terjadi kepada Thunberg yang diiktiraf sebagai Orang Terbaik 2019 oleh majalah Time ketika dia baru berusia 16 tahun?
PONTENG
Ketika umur 15 tahun, Thunberg melancarkan kempen peringkat akar umbi dengan menggalakkan pelajar ponteng sekolah setiap Jumaat untuk mengadakan bantahan di luar bangunan Parlimen Sweden bagi menggesa pemerintah negara itu supaya memenuhi matlamat bagi mengurangkan pengeluaran gas karbon.
Kempen Thunberg itu kurang mendapat layanan pemimpin dunia. Presiden Rusia, Vladimir Putin misalnya, menganggap dia gadis baik dan ikhlas yang telah dimanipulasi pihak tertentu untuk kepentingan mereka.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pula menyifatkannya mempunyai masalah pengurusan kemarahan dan harus lebih banyak bersantai.
Kenapa Thunberg terlalu mengikut emosi dan memberontak? Untuk memahaminya, kita perlu menelaah satu kisah lain sebelum ini mengenai remaja genius matematik berdarah kacukan Pakistan dan Melayu yang mengambil kursus ijazah sarjana matematik di Universiti Oxford pada usia 13 tahun.
Gadis berkenaan telah memberontak, lalu melarikan diri dari universiti itu sekitar 2000, berkahwin pada usia 19 tahun dan kemudiannya terlibat sebagai pekerja seks selama beberapa bulan pada 2008.
Kes sedemikian boleh difahami jika kita membaca pengalaman 15 tahun pakar psikologi kanak-kanak dari AS, Dr. Eric Schleifer yang menyifatkan sikap memberontak yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dan remaja perempuan bukan mengamuk tetapi lebih teruk daripada itu iaitu ‘letusan gunung berapi’.
BERMAIN
Menurut beliau, ramai kanak-kanak dan remaja perempuan memilih untuk menyimpan dalam diri perasaan tidak menyenangkan seperti kebimbangan, kesedihan dan kemarahan. Mereka memilih untuk tidak menghiraukan daripada menghadapinya.
Strategi itu tidak berfungsi untuk tempoh lama kerana emosi-emosi berkenaan tidak akan hilang tetapi berkumpul serta bertimbun dengan banyak dan kemudiannya meletus seperti aliran lava gunung berapi.
Ini berlaku kerana dalam tubuh wanita terdapat hormon estrogen dan progesteron yang membuatkan mereka lebih peka dengan perasaan dan bertindak mengikut emosi seperti ketika haid.
Dalam pada itu, ibu bapa perlu tahu, antara aktiviti disukai anak-anak adalah bermain dan bersosial dengan rakan sebaya.
Apabila kanak-kanak dan remaja diminta terlibat dengan kegiatan serius seperti menjadi aktivis iklim, pelajar peringkat sarjana atau menjadi isteri pada usia muda, mereka memerlukan bantuan untuk menyeimbangkan antara kedua-duanya terutama dalam menguruskan tekanan.
Anak-anak tidak mempunyai kemahiran semula jadi untuk menangani peralihan daripada bermain kepada terlibat dengan aktiviti lebih serius yang kebiasaannya mudah dibuat orang dewasa.
Jika tidak diuruskan dengan betul, kanak-kanak dan remaja akan mengalami tekanan sangat hebat dan menurut Schleifer, perasaan mereka ketika itu boleh disimpulkan dengan ungkapan: “Saya tidak mahu semua ini, anda boleh memilikinya.”
Cukup membimbangkan, jika letusan emosi itu disertakan dengan perlakuan negatif yang sangat ekstrem. Jika itu berlaku, ibu bapa yang mahu anak-anak mereka menjadi sangat hebat pada usia muda mungkin patut menyalahkan diri sendiri. Wallahuaklam.










