Antara pengumuman yang menggembirakan umat Islam di Malaysia adalah kebenaran operasi bazar Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan solat tarawih di semua negeri mulai 13 April ini.
Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapat pandangan Kementerian Kesihatan berhubung kebenaran operasi perniagaan dan solat Tarawih pada Ramadan tahun ini.
Ia diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Selasa lalu. Ini sekali gus menceriakan sesetengah golongan bapa yang masih seram-seram sejuk untuk mengulangi tugas imam solat tarawih walaupun sudah berpengalaman tahun lalu.
Hari ini kita sudah berada pada 5 Syaaban. Maknanya dalam 24 hari lagi kita akan menyambut penghulu segala bulan, Ramadan al-Mubarak.
Bergembiralah dengan kedatangan Ramadan. Rasulullah selalu memberikan khabar gembira kepada para sahabat setiap kali datangnya Ramadan. Antaranya, sabda Nabi SAW yang bermaksud: Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan kepada kamu untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka. (riwayat Ahmad)
Sementelahan, kita sudah biasa makan siang selama 11 bulan, ada baiknya kita mula melatih perut untuk berpuasa dalam Syaaban. Ia supaya perut tidak terkejut apabila masuk ke fasa Ramadan di mana umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga.
Saranan membanyakkan puasa sunat dalam Syaaban adalah bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW, daripada Utsamah bin Zaid, beliau berkata: Aku telah berkata: Wahai Rasulullah! Tidak aku melihat dikau berpuasa akan sesuatu bulan dari semua bulan-bulan, seperti dikau berpuasa pada Syabaan. Baginda bersabda: (Itu adalah bulan yang teralpa manusia darinya, di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat di dalamnya seluruh amalan kepada Rabb Sekalian Alam. Justeru aku suka untuk amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa). (riwayat Ahmad).
Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk menyesuaikan diri puasa Ramadan dalam bulan ini. Antaranya puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa hari putih (13,14 dan 15 Syaaban) atau puasa Nabi Daud iaitu sehari puasa, sehari berbuka.
Bagi para wanita, bulan ini adalah masa kritikal untuk mereka menggantikan puasa Ramadan lalu yang ditinggalkan. Pun begitu, tidak jadi masalah untuk mereka puasa qada kerana Saidatina Aisyah juga melakukan perkara yang sama. Sebabnya, kerana ingin mengiringi Nabi SAW yang banyak puasa sunat pada Syaaban.
Hadis daripada Aisyah r.ha, beliau berkata yang bermaksud: Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban”. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam dianjurkan berazam melakukan pelbagai ibadah, antaranya:
Pertama, banyakkan puasa sunat dan qiamullail. Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah SAW pada bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah puasa sunat pada 15 terakhir Syaaban.
Ambillah peluang ini membiasakan diri dengan ibadah puasa supaya ia tidak menjadi keberatan apabila tibanya Ramadan. Demikian juga, menunaikan solat tahajud dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutama pada malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban).
Inilah masa yang sesuai untuk memperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan Allah SWT.
Ia berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiamullail pada malamnya, dan berpuasa pada siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah di sana orang yang memohon keampunan? lalu Aku mengampunkan dia. Adakah di sana orang yang memohon rezeki? lalu Aku memberi dia rezeki. Adakah di sana orang yang diberi ujian bala bencana? lalu Aku menyejahterakan dia. Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar. (riwayat ibn Majah).
AMALAN TERBAIK
Justeru, apakah amalan terbaik pada malam itu? Jawapannya adalah saling maaf-memaafkan, merapatkan saf sesama Islam dan mencari titik perpaduan.
Umat Islam wajib merebut tawaran pengampunan Allah SWT itu dengan mengukuhkan perpaduan sesama Islam dan mengusahakan perdamaian serta penyatuan sesama muslimin.
Inilah sunnah Nabi SAW. Baginda bersegera menyelesaikan masalah umat Islam hingga perpaduan dapat dikekalkan. Sahl ibnu Said r.a menceritakan penduduk Quba’ berselisih faham hingga saling melemparkan batu sesama mereka. Lantas Nabi SAW bersabda: Pergilah kamu bersama-sama kami untuk mendamaikan mereka. (riwayat Bukhari)
Kedua, perkukuhkan tali silaturahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ia bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah SWT.
Sebarang permusuhan hendaklah digantikan dengan saling bermaafan. Ini kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka tidak saling bermaafan.
Ketiga, istiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian.
Beristiqamah membawa maksud sentiasa melakukan amal ibadah tersebut tiap-tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, Daripada Aisyah r.ha dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit. (riwayat Bukhari)
Keempat, banyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari, bahkan alpa dengan segala dosa yang dilakukannya saban waktu.
Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa-dosa kecil akibat melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan.
Semua dosa ini sebenarnya menjadi titi-titik hitam di dalam hati yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh daripada petunjuk Allah SWT.










