‘Allah dah bagi peluang...’ - Utusan Malaysia

‘Allah dah bagi peluang…’

HUSAM MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SELEPAS melepaskan jawatan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), DATUK HUSAM MUSA yang selama ini lantang mengkritik kepimpinan Pas serta kerajaan negeri Kelantan, menyepi diri dan hilang seketika dari radar politik.

Bagaimanapun, nama Husam kembali menjadi sebutan selepas tersebarnya spekulasi di media sosial baru-baru ini, mendakwa beliau akan bertanding di Parlimen Gombak mewakili PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Reaksi diterima bercampur-baur. Ada penyokong membantah, namun sebahagian lagi mengalu-alukannya dengan alasan, perkara itu pernah disuarakan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Husam, saya nak sebut, dia ni bukan sahaja Allah Taala buat untuk Kelantan tapi untuk Malaysia,” kata Nik Abdul Aziz.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZAAIN ZIN dan jurugambar ZULHANIFA SIDEK, beliau memberi reaksi terhadap spekulasi tersebut selain melontarkan kritikan keras terbaharu terhadap Pas dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

UTUSAN: Kenapa menyepi selepas letak jawatan Naib Presiden Amanah?
HUSAM: Saya sebenarnya bergerak dengan Yayasan Darul Hijrah yang kita tubuhkan selepas saya bertanding di Putrajaya lama dulu.
Tujuannya untuk kerja-kerja kebajikan. Kalau saya uar-uarkan, nanti pahala kurang. Jadi, kita bergerak tanpa liputan. Selagi mana ada dana, kita agih-agihkan kepada golongan memerlukan.

Bagaimana prestasi Pas sebagai kerajaan di Kelantan dan Persekutuan?
Saya ambil sikap tidak menyerang kerajaan Pas di Kelantan buat masa ini. Ada sebab saya berdiam dan tidak menonjolkan diri.

Sama ada di Kelantan atau di peringkat Pusat, ini masa tuan-tuan guru, ustaz-ustaz, membuktikan apa yang kita beritahu dulu bahawa Islam mampu menyelesaikan masalah, terbaik, pemimpin Islam paling cakna, berperikemanusiaan dan membantu rakyat.

Allah SWT telah beri anda peluang. Kelantan, anda sudah jadi kerajaan. Malaysia pun anda sudah jadi kerajaan. Ini peluang anda buat sesuatu.

Saya tidak mahu komen apa pencapaian anda, apa perasaan rakyat, tetapi gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya.

Apa persiapan Pakatan Harapan (PH) Kelantan menghadapi PRU-15?
Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Husain baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi PH negeri. Pemilihan beliau adalah sebulat suara oleh semua parti dalam gabungan PH.

Tentang persiapan parti, saya tak boleh nak komen, saya bukan siapa-siapa lagi. Cuma di Kelantan, kita kena lihat asing sedikit berbanding Malaysia.

Tugas kita parti politik, perlu kemukakan calon benar-benar layak. Jangan kemukakan calon kerana dia ada jawatan dalam parti, tetapi perlu ambil kira merit dia. Itu satu cara mendapat sokongan rakyat.

UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berebut kerusi, Pas gagal damaikan. Mungkin ini peluang PH rampas Kelantan dan Terengganu?
Kalau duduk jauh, kita kata duduk dekat. Kalau duduk dekat, kita kata duduk jauh. Jadi, sekarang kita kata masih duduk jauh lagilah.

Bergaduh sesama sendiri itu, dia boleh baiki (hubungan) bila-bila masa.

Terpulang kepada rakyat, kalau mereka kata kerajaan sekarang sudah lama dan mahu rasa pembaharuan, maka bangkitlah.

Khabar angin kata Datuk akan bertanding di Gombak atas tiket PKR?
Saya pernah beritahu sebelum ini, saya mencadangkan Parlimen tidak dibubarkan dalam masa terdekat. Siapa bubar Parlimen pada masa pandemik Covid-19, dia adalah penjenayah negara.

Bila Parlimen tidak bubar, PH mungkin akan ambil balik kuasa. Jadi, isu bertanding mana-mana tempat ini belum berbangkitlah.

Bersedia tinggalkan Kelantan, bertanding pula tiket PKR?
Ada dua tahun lebih lagi (sebelum tamat penggal), saya nak jawab macam mana?

Menurut AJK Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh, tak mengapa Pas main dua kolam asalkan sah. Komen Datuk?
Saya tidak mahu komen panjang sebab orang Pas macam Nik Abduh, dia bijaksana. Dia nak main berapa kolam, dia punya hal tetapi saya nak beritahu, rakyat yang ada kesedaran moral, kena tengok kepada pematuhan prinsip moral.

Kalau UMNO rasa dia boleh benarkan Pas main banyak kolam macam itu dan sanggup jadi mangsa banyak kolam, kita nak buat macam mana?

Jika PH bersama UMNO dalam PRU-15, bolehkah Amanah terima?
Dia bukan macam kahwin, kita kena tengok parameternya. Negara kita mesti ada kestabilan politik. Nak ada kestabilan, kena ada tunjang. PH dah ada tunjang iaitu 92 kerusi dan UMNO pula tunjang kedua terbesar.

UMNO parti paling besar dalam Perikatan Nasional (PN). Bersatu ada berapa orang? Dari segi susunan itu dalam politik, bila anda yang sedikit tunggang yang besar, itu sebab jadi tidak stabil.

Negara kita kena stabil. Kita masih ada dua tahun setengah lagi untuk tempoh Parlimen tamat. Jadi, berikan mandat balik kepada PH dan UMNO boleh jadi tunjang kedua. Pas pula boleh jadi tunjang ketiga. Kita bukan nak buang Pas terus.

Macam mana nak koordinat antara UMNO dan PH? Itu orang besar di atas (pucuk pimpinan) kena fikirlah. Itu parameternya.

Bukan semestinya dia bersama kita dalam gabungan. Tetapi kita bersama dalam pemerintahan supaya negara stabil dan maju, tolong rakyat dan kembangkan balik ekonomi negara.

Saya tak kata mesti ada coalition atau mesti ada pakatan yang muktamad. Tetapi dalam keadaan dekat ini, PH dan UMNO adalah dua tunjang utama dari segi bilangan kerusi.

PN sedang dipecah belahkan dari dalam, komen Datuk?
Menteri Besar Kedah baru-baru ini ada berkata, orang yang hendak pecah belahkan PN ini sebagai syaitan.

Saya nasihatkan Pas supaya tak ada yang jadi syaitan. Apa kata sembilan daripada 18 kerusi Parlimen yang Pas menang, berikan kepada UMNO. Bila UMNO sudah dapat kerusi lebih, dia tak keluarlah daripada PN, maka PN pun tak pecah.

Itulah pengorbanan yang perlu dilakukan Pas memandangkan Bersatu tak mahu serah kerusi yang dia ambil daripada UMNO manakala UMNO pula nak kerusi lebih, jadi macam mana cara selesai?

Pas kenalah mengalah dan bersikap zuhud. Ambil kerusi dia beri kepada UMNO, barulah dia jadi malaikat dan orang lain pula tak jadi syaitan.

Dalam ucapan terkini, Datuk sebut tentang Pas dan kaitkan dengan darurat, boleh huraikan?

Sekarang di tangan mereka, bukan sahaja Kelantan tapi seluruh negara diisytihar sebagai darurat. Impak pertama, pasaran saham jatuh, pelabur lari, ekonomi kita merudum dan rakyat sengsara.

Wabak Covid-19 pula menjadi tiga kali ganda kerana siapa? Di tangan reformis Islam, di tangan orang Islam, di tangan parti Islam, mereka ini menjadi sebahagian daripada peristiwa darurat itu.

Saya berasa sayu, dulu kita mengata UMNO, mengata Tun Dr. Mahathir (Mohamad) tetapi sekarang kumpulan inilah yang menjadi barisan hadapan untuk menjustifikasikan dengan nas-nas agama, satu langkah yang salah dari segi demokrasi, yang kita semua tahu ia adalah darurat politik sama dengan darurat pada 1978 di Kelantan yang tujuannya ambil alih kuasa.

Kes sekarang pula, dia berlindung di belakang Covid-19. Padahal sebab sebenarnya pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak cukup majoriti.

Saya hairan bagaimana orang Pas macam Tuan Guru (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang tiba-tiba ditakdirkan Tuhan, menjadi sebahagian daripada proses mendaruratkan negara. Saya rasa malu.

Kalau mereka bukan orang Islam, saya tak kisah tetapi ini gerakan dan parti yang membawa imej Islam.

Demokrasi mati di tangan Tuan Guru Hadi Awang. Bayangkan, apa perasaan saya?

Tun Dr. Mahathir 22 tahun jadi Perdana Menteri, dia tidak daruratkan negara. UMNO pecah, dia nyaris kalah. Pada 1999 kita menang besar, dia kalah. Dia tidak daruratkan negara. Sekarang kita yang bawa al-Quran, tasbih dan kitab hadis yang daruratkan negara. Ini teruk.

Lepas itu kata perpaduan Melayu Islam, saya ini pun baca al-Quran, Islam dan Melayu juga. Mat (Mohamad) Sabu, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Datuk Seri) Salahuddin Ayub, (Datuk Seri) Wan Azizah (Wan Ismail), semua Melayu. Kenapa mereka tidak boleh masuk dalam konsep penyatuan disebutkan Tuan Guru Hadi Awang?

Dalam sembilan bulan ini, apa naiknya Melayu Islam? Dalam ekonomi? Pendidikan? Saya fikir Melayu menjadi lebih miskin di bawah Pas.

Pas tidak sepatutnya berada dalam PN?
Pada pendapat saya, langkah Pas menyertai kerajaan ini memberi imej sangat buruk kepada Islam kerana kita gambarkan Islam itu menjunjung proses demokrasi dan menjamin hak rakyat.

Lebih-lebih lagi apabila dilakukan darurat. Orang jadi menyampah kerana darurat itu menjadikan ekonomi lebih parah.

Dia cakap tidak ambil kira politik tetapi ia memberi kesan kepada politik, lebih-lebih lagi Parlimen tidak boleh bersidang. Tidak boleh tipu rakyat. Kalau darurat kerana Covid-19, kenapa pula Parlimen tidak boleh bersidang? Kemudian datang pula alasan kerana umur 60 tahun ke atas.

Ahli Parlimen boleh datang bersidang dengan pakaian ‘angkasawan’. Apa salahnya kita bekalkan pakaian itu? Ahli Parlimen 222 orang campur speaker, bentara ada dalam 300 orang. Saya pun boleh taja pakaian walaupun saya tidak ada duit banyak.

Jadi apa Datuk harapkan Pas buat?
Pas perlu tarik diri daripada kerajaan yang sudah tidak ada majoriti, barulah imej Pas, kedudukan Pas dan sedikit sebanyak kedudukan Islam dapat dipulihkan.

Pas tidak boleh terus-menerus bersekongkol dengan kerajaan yang tidak cukup majoriti dengan alasan darurat. Kalau ikutkan kata Tuan Guru Hadi Awang dan pemimpin Pas dulu, bukan setakat dunia, bahkan mereka perlu bertanggungjawab di akhirat.

Please be considered. Kalau nak jadi menteri, bukan ini caranya. Kalau nak jadi kerajaan, bukan ini caranya. Banyak lagi cara untuk anda jadi kerajaan dan menteri yang lebih bersih, terhormat, demokratik dan diredai Allah SWT.

Kalau kita tak beri peringatan, kita sendiri pun lupa. Adakah peringatan saya dipandang atau tidak? Itu tak mengapa. Sekurang-kurangnya saya dah jalankan tanggungjawab apabila disoal di akhirat kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×