ABMS tingkat keyakinan klien - Utusan Malaysia

ABMS tingkat keyakinan klien

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, genap 17 tahun penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM). Ditubuhkan pada 2004 bertujuan melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN), kini diganti dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sebagai pelan pelengkap PIN. Sehingga hari ini, IIM terus komited membangunkan kompetensi dan kapasiti semua sektor awam dan swasta terutama dalam aspek governans, integriti dan antirasuah. Bertemakan Membanteras Rasuah Melalui Pengurusan Yang Sistematik, ulang tahun ke-17 ini bukan sekadar memperingati tarikh penubuhan tetapi lebih kepada meningkatkan kesedaran mengenai pendekatan berbeza dalam memerangi rasuah.

Tema ini diharapkan dapat memberikan mesej bahawa kini sudah tiba masanya semua agensi kerajaan mahupun swasta menggunakan kaedah lebih sistematik, komprehensif dan inklusif dengan mengabungjalinkan kepenggunaan sistem aplikasi pendigitalan perkhidmatan, kerenah birokrasi dan risiko rasuah dapat dikurangkan. Selain itu menjimatkan kos dalam memerangi rasuah di organisasi masing-masing. Pengurusan yang sistematik sudah pasti akan meningkatkan kualiti dan inilah yang benar-benar menggambarkan integriti. Di samping itu, pengurusan sistematik yang dinyatakan dalam tema ini juga merujuk kepada pensijilan MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

PENCEGAHAN

Secara ringkasnya, ABMS adalah sistem yang menggunakan pendekatan pencegahan awal (preventive measures) dengan mengenal pasti risiko-risiko rasuah di sesebuah organisasi berdasarkan fungsi-fungsi jabatan, unit mahupun bahagian yang sama sekali akan menutup ruang dan peluang rasuah. Jika dari awal lagi ruang dan peluang aktiviti rasuah ditutup, sudah pasti kes-kes rasuah dapat dikurangkan. Dalam kata lain, sistem ini sentiasa berada beberapa langkah di hadapan. Namun sekiranya masih ada yang melakukan rasuah, aduan boleh dibuat oleh sesiapa sahaja melalui saluran pendedahan maklumat atau whistleblowing channel. Saluran pendedahan maklumat dalam sistem ini selamat dan berkesan. Tiada satu aduan pun akan terlepas pandang memandangkan keseluruhan sistem ini akan melalui proses audit yang ketat. Inilah yang dimaksudkan dengan pengurusan sistematik.

Ulang tahun ke-17 amat signifikan apabila IIM sendiri berjaya memperoleh pensijilan ABMS daripada badan pensijilan yang diktiraf antarabangsa, iaitu SIRIM QAS International Sdn. Bhd., awal tahun ini. Selain melaksanakan sistem pengurusan yang sistematik melalui pensijilan ini, IIM juga berhasrat menonjolkan sifat kepimpinan melalui teladan dan memberikan contoh yang baik kepada segenap organisasi di luar sana. Lebih-lebih lagi apabila dinamakan sebagai agensi peneraju dalam NACP bagi melaksanakan objektif-objektif strategik yang digariskan dalam pelan tersebut.

Setakat Februari lalu, IIM membantu 20 organisasi membangunkan ABMS yang mana sembilan daripadanya menerima pensijilan.

EFEKTIF

Sudah pasti ramai tertanya-tanya sama ada sistem pengurusan antirasuah ini benar-benar efektif atau sebaliknya. Berdasarkan kajian keberkesanan oleh IIM, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan SIRIM Berhad melibatkan lapan organisasi yang telah mendapat pensijilan ABMS, hasil dapatan menunjukkan peningkatan aduan salah laku dalam organisasi terbabit berikutan adanya saluran untuk berbuat demikian yang merupakan salah satu elemen penting dalam ABMS. Hasil dapatan kajian juga mendapati ABMS berkesan dalam meningkatkan prestasi dan reputasi organisasi.

Terkini, cuma kira-kira 90 organisasi di negara ini melaksanakan sistem pengurusan antirasuah ABMS dan jumlah tersebut boleh dikatakan masih kecil. Namun, sekiranya lebih banyak organisasi melaksanakan sistem ini, maka tidak mustahil rasuah di negara kita dapat diturunkan sekali gus membaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun akan datang. Jika kita melihat dari perspektif berbeza, pensijilan ABMS akan meningkatkan keyakinan rakan-rakan perniagaan, klien malahan pembekal untuk berurusan dengan organisasi terbabit.

Apabila menyentuh CPI, tindakan yang lebih drastik perlu diambil bagi memperbaiki kedudukan dan skor negara kita pada tahun mendatang. Ini berikutan penurunan sebanyak dua mata dan kejatuhan enam anak tangga kepada 57 berbanding tahun lepas. Selari dengan tema ulang tahun ke-17, IIM terus optimis bahawa pelaksanaan ABMS adalah jalan terbaik dalam menurunkan kadar rasuah sekiranya lebih banyak organisasi melaksanakannya lebih-lebih lagi kementerian dan jabatan kerajaan. Tambahan pula, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali baru-baru ini menyarankan agar pensijilan AMBS dijadikan sasaran KPI pada tahun ini.

Sempena ulang tahun ke-17, IIM menyeru semua pihak agar mula melaksanakan pengurusan yang sistematik dalam membanteras rasuah khususnya melalui pelaksanaan ABMS. Diharapkan penulisan ini dapat menterjemahkan dengan jelas mesej yang ingin disampaikan melalui tema sambutan ulang tahun penubuhan IIM. Ia bukanlah tema semata-mata tetapi satu arah tuju jelas yang harus dijadikan teras agar rasuah dapat dibanteras!

PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×