fbpx

2 Mac 2021, 1:15 pm

  TERKINI

Sokong haram buku Tommy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BUKU tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice In The Wilderness menimbulkan kegemparan besar. Tidak hairan, lebih 135 laporan polis dibuat dan ada yang mahu menyaman serta menuntut ganti rugi di mahkamah.

Memanglah buku itu ditulis berdasarkan pengalaman peribadi beliau tetapi dengan menulis sedemikian, aspek kebenaran dan ketelusan perlu diambil kira.

Apabila beliau menyatakan Tun Abdul Razak Hussein sebagai perancang kejadian 13 Mei 1969 dan mahu segera menjadi Perdana Menteri, nampak sangat kedangkalan hujahnya.

Tidakkah api perkauman dibakar oleh penunjuk perasaan yang merayakan kemenangan pembangkang menjadi pemangkin utama hingga mengundang tindak balas orang Melayu?

Sedih sekali negarawan dan Bapa Pembangunan kita dipalit dengan dakwaan palsu. Tommy tanpa segan silu juga mendedahkan beliau terlibat secara langsung dalam pelantikan hakim-hakim hingga boleh menamakan dan menolak pelantikan mereka.

Tidakkah hal itu melanggar Akta Rahsia Rasmi? Beliau juga mempertikaikan kualiti perkhidmatan pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara dengan dakwaan tidak cekap, lambat, mementingkan kenaikan pangkat dan hadiah persaraan.

Begitukah sikap seorang ketua kepada orang bawahannya sedangkan kakitangan di jabatan itu terkenal cekap dan berwibawa?

Banyak isu ditimbulkan dalam buku setebal lebih 500 muka surat tetapi soal pengguguran kes rasuah Lim Guan Eng dan penyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) hanya disebut ringkas atau tidak disebut langsung.

Pelik sungguh. Pembatalan tindakan tanpa sebab-sebab sahih jelas melanggar amalan keluhuran undang-undang.

Banyak pendedahan Tommy menjadi kesalahan mengikut Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan 1948. Maka sudah sewajarnya beliau diambil tindakan undang-undang, mendapat kecaman ramai dan bukunya diharamkan.

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor