Sifat ambil peduli itu ibadah - Utusan Malaysia

Sifat ambil peduli itu ibadah

Bagi yang bekerja dari rumah dan mengamalkan penggiliran kerja, sikap ambil peduli ialah dengan memastikan perubahan atau norma baharu dalam gaya dan kaedah bekerja dapat diadaptasikan dengan tenang dan selesa. – Utusan/Muhamad Iqbal Rosli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Firman Allah SWT maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (surah al-Ma’idah: 2)

Seiring dengan galakan saling membantu dalam Islam, maka nilai asas melalui sifat ambil peduli dalam kehidupan adalah tingkah laku terpuji dan melaksanakannya merupakan ibadah. Apatah lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 yang menimbulkan pelbagai situasi ketidaktentuan, keresahan dan kesusahan masyarakat. Selain untuk menzahirkan perasaan cakna dan kasih sayang, sifat ambnil peduli juga mampu membuahkan perasaan tolak ansur dalam berurusan dan mengeratkan hubungan.

Kajian tentang Indeks Kerisauan Nasional (NWI) 2020 yang dibangunkan oleh EMIR Research berdasarkan 12 soalan untuk mengenal pasti faktor kebimbangan menunjukkan rakyat Malaysia berada pada tahap kebimbangan maksimum iaitu 0.79, satu takuk di bawah paras tidak sihat, 0.80. Empat perkara yang menjadi tumpuan analisis termasuk kos sara hidup, keselamatan pekerjaan, ekonomi dan isu keselamatan.

Kajian Indeks Kebahagian Dunia pula menunjukkan salah satu faktor kebahagiaan ialah kemurahan hati masyarakat dan sokongan sosial. Selain faktor lain iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kesejahteraan, pendapatan, kebebasan, kepercayaan, kesihatan dan tahap rasuah. Masyarakat yang memiliki sifat ambil tahu, ambil berat dan saling membantu dapat menyumbang kepada kebahagian.

Justeru, amalan sedemikian wajar terus dijadikan budaya untuk mencapai matlamat kebahagiaan duniawi dan ukhrawi bukannya sifat ambil peduli yang biasa difahami dalam peribahasa Melayu, jaga tepi kain orang untuk dijadikan bahan buah mulut, fitnah dan gosip. Sifat ambil peduli majikan terhadap pekerja dan pelanggan adalah suatu tindakan prihatin kebajikan yang merupakan suatu ibadah. Firman Allah bermaksud: “Tidak ada bagi tiap-tiap seseorang manusia melainkan menurut apa yang diusahakannya.” (surah al-Najm, ayat 39)

Amalan sifat sifat ambil peduli melalui bertanya khabar, berbincang, mendengar huraian dan alasan, memahami latar belakang masalah, memberi nasihat dan panduan serta bertolak ansur adalah watak dan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat perlu dalam norma baharu pekerjaan. Begitu ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui contoh teladan baginda, antaranya keprihatinan terhadap sahabat Abu Umamah r.a kerana kerisauannya yang berada dalam keadaan berhutang.

Sabda baginda bukan sahaja mengandungi doa tetapi juga nasihat dan panduan untuk kekal tenang dan tidak putus asa berusaha. Sebagaimana Hadis Abu Said al-Khudri r.a. daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah r.a sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini yang maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah r.a berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” (riwayat Abu Daud (4/353)
Menurut Abu Zuhrah dalam Tarikh al-Madhahib al-Fiqhiyyah, sesuatu tindakan itu boleh dibezakan kualitinya bergantung kepada sejauh mana kebajikan masyarakat terjamin.

B40

Bagi pekerja yang bekerja dari rumah dan mengamalkan penggiliran kerja, sifat ambil peduli ialah dengan memastikan perubahan atau norma baharu dalam gaya dan kaedah bekerja dapat diadaptasikan dengan tenang dan selesa.

Contohnya, dalam kalangan pekerja golongan B40. Sifat ambil peduli dalam memastikan halangan yang dihadapi ketika bekerja dari rumah, keselesaan ruang dan fasiliti untuk bekerja, kemampuan menseimbangkan antara amanah kerja dan keluarga, kecukupan maklumat, kemampuan capaian internet, pemahaman jelas terhadap arahan kerja, agihan kerja seimbang, waktu dan jangka masa menyiapkan tugasan perlu diambil kira dalam norma baharu tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.

Sifat ambil peduli majikan pula perlu dihargai oleh pekerja dengan mencuba yang terbaik selaras dengan matlamat dan sasaran perkhidmatan. Begitu juga sifat ambil peduli terhadap pelanggan dalam aspek pembayaran seperti mempercepatkan sesuatu proses tuntutan sama ada pampasan, subsidi upah, insurans dan memastikan pembayaran gaji secara mengikut jadual.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain).” (surah al-Syarh: Ayat 5-7)

Justeru, norma baharu perkhidmatan ini wajar bukan sahaja mengubah cara kita bekerja mengikut SOP tetapi juga watak kita kepada sifat ambil peduli. Watak ambil peduli, cakna, tidak mementingkan diri sendiri dan bertolak ansur sesuai dengan kemampuan yang dianugerahkan kepada kita adalah antara hikmah di sebalik musibah pandemik Covid-19. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah : ayat 286 bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.

PROFESOR Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail ialah Ketua Penyelidik Kluster (Sosio Budaya & Kekeluargaan), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×