PKR sudah ‘bersih’ – Rodziah - Utusan Malaysia

PKR sudah ‘bersih’ – Rodziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Politik dalaman PKR suatu ketika dahulu pernah mengalami pergolakan apabila parti itu memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, Februari tahun lalu.

Pemecatan kedua-duanya dikatakan kerana berlaku pengkhianatan yang jelas bertentangan dengan pendirian parti dalam perkara kedudukan Perdana Menteri yang boleh menjejaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selain memberi kesan kepada ekonomi dan politik.

Bahkan, krisis itu seakan-akan virus menjangkiti Wanita PKR apabila Timbalannya, Dr. Daroyah Alwi yang juga Ketua Wanita PKR Selangor mengumumkan keluar daripada parti serta-merta dalam tempoh tidak sampai empat bulan selepas Mohamed Azmin dan Zuraida dipecat.

Bukan itu sahaja, PKR menerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd. Talha selepas dua minggu Daroyah mengumumkan keluar parti.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SITI ROHAIZAH ZAINAL dan jurugambar ZULFADHLI ZAKI, Ketua Wanita PKR Selangor, RODZIAH ISMAIL berkongsi hala tuju dan persiapan Wanita PKR Selangor dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Rodziah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor.

 

UTUSAN: Apa tindakan pertama sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Wanita PKR Selangor?
RODZIAH: Saya dilantik bersama beberapa individu lain termasuk Ketua Wanita PKR Pusat, Fuziah Salleh pada Julai tahun lalu.
Apabila diberikan amanat, saya melihat dari pelbagai sudut termasuk kepimpinan di 22 cabang dan membuat lantikan baharu.

Pemerhatian secara keseluruhan di semua cabang?
Saya dapati kesemua Wanita cabang masing-masing berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, dua cabang sahaja agak terkesan iaitu Ampang dan Sabak Bernam. Dua cabang ini terkesan kerana majoriti ahlinya keluar parti mengikut pemimpin mereka dahulu.

Saya membuat lantikan baharu untuk semua cabang dan proses ini selesai dalam tempoh sebulan sahaja.

Cabaran mengemudi Wanita PKR Selangor?
Setakat ini semua berjalan lancar, cuma cabaran paling utama ialah untuk membimbing barisan pemimpin supaya lebih memfokus ke akar umbi dan mempunyai skil.

Mana-mana individu yang pergi, kita tidak boleh halang. Cuma bagi 22 cabang Wanita, saya akan lakukan program pemantapan organisasi supaya mereka memahami ideologi dan tugas sebagai pemimpin untuk berhadapan PRU-15.

Apa tumpuan masa ini?
Setiap bulan kita mengadakan mesyuarat dengan kehadiran ahli yang mencukupi berbanding dahulu. Saya akan memastikan setiap bulan mesyuarat jawatan kuasa negeri diadakan selain turut memantau mesyuarat peringkat cabang.

Kita juga akan memastikan program pemantapan ilmu dan kemahiran dilaksanakan untuk ahli-ahli.
Kesemua lantikan telah selesai dan tanggungjawab sekarang adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lebih baik selain memperkasakan gerak kerja untuk PRU-15.

Program yang sedang dilaksanakan?
Kita ingin mendahului dalam mengangkat isu-isu melibatkan wanita. Oleh demikian, kita mewujudkan Komuniti Waspada yang peka dengan masalah-masalah rakyat di sekeliling. Wanita PKR menjadi pusat untuk mengumpul maklumat seterusnya memberi bantuan dengan menyelesaikan sebarang masalah dihadapi rakyat. Setakat ini program di peringkat awal dan hanya dilaksanakan di PKR Pusat. Pada masa akan datang bakal diwujudkan di negeri dan cabang masing-masing.

Adakah isu pemecatan dan keluar parti memberi kesan besar?
Ada kira-kira 200,000 ahli PKR di Selangor. Daripada jumlah itu, separuh adalah wanita. Dengan ada yang keluar parti, ia sebagai proses pembersihan dalam memastikan tiada ruang bagi mereka yang ingin menjadi duri dalam daging. Kita bercakap tentang reformasi dan ini yang sedang kita lakukan yang mana pengikut setia akan terus bersama parti. Sekiranya ada individu tergelincir sana sini, itu perkara biasa kerana niat masing-masing berbeza dan kita tidak boleh nak menghalangnya.

Saya berpendapat, PKR telah mengambil langkah pantas. Contohnya, apabila berlaku pemecatan dan ramai keluar parti, PKR Pusat terus bertindak dengan membuat lantikan baharu.

Pada saya normal, pemimpin datang dan pergi. Cuma yang perlu dilihat adalah bagaimana sesebuah organisasi mampu bertahan. Buktinya, PKR sehingga kini masih utuh dan Wanita PKR Selangor bertahan. Malah di bawah kepimpinan saya, kami kini semakin aktif dengan pelbagai program.

Persiapan menjelang PRU-15?
Kita sudah menilai individu-individu yang layak untuk bertanding. Kita sedang dalam proses memperlengkapkan keupayaan mereka yang bukan sahaja mampu menjadi wakil rakyat atau ahli majlis tetapi memainkan peranan serta memahami dasar-dasar yang perlu diketengahkan.

Kita bukan sahaja menjadi Wanita PKR yang memperjuangkan kebajikan tetapi dipimpin dan memimpin orang lain untuk mendepani isu-isu berkaitan wanita.

Jangan pertikai pelantikan Fuziah

Haniza Mohd. Talha ada mengatakan, lantikan Fuziah Salleh sebagai Ketua Wanita PKR menggantikannya tidak sah? Komen?
Dia tidak boleh berkata demikian kerana semua yang dilantik bukan mengambil jawatan begitu sahaja. Jangan keluarkan kenyataan politik seperti itu kerana semua lantikan telah diteliti dan mengikut proses yang betul.

Lantikan Fuziah sah mengikut fasa yang mana mengatakan sekiranya Ketua Wanita dan Timbalannya tiada secara serentak, lantikan boleh dibuat Majlis Pimpinan Pusat. Lantikan ini telah diteliti dan kami sayangkan parti. Kami tidak mahu hanya kerana kesilapan teknikal, pelantikan digugurkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Kita berhati-hati dalam membuat apa jua proses dalam sebarang keputusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×