Menurut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember lalu. Malah ada pakar ekonomi menjangkakan tidak mustahil angka pengangguran mencecah sejuta orang dalam beberapa bulan lagi.
Hal ini berlaku berikutan ketidakseimbangan ketara antara jumlah pertambahan jawatan yang ada berbanding keperluan terutama setelah mengambil kira pertambahan bilangan graduan baharu.
Justeru, bidang keusahawanan dilihat sebagai pilihan terbaik untuk rakyat menjana sumber pendapatan sendiri bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.
Dalam konteks ini, kita menyokong penuh penubuhan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) yang bakal menjadi pemangkin untuk mencapai impian menjadi negara keusahawanan unggul menjelang 2030.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, MPKN akan bertindak sebagai platform perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di samping menyelaras dasar dan hala tuju pembangunan keusahawanan, memperakukan langkah serta inisiatif strategik bagi menangani isu, cabaran dan halangan yang dihadapi usahawan dalam pelbagai peringkat secara holistik dan bersepadu.
COVID-19
Saya melihat penubuhan MPKN ini hadir tepat pada masanya kerana serangan pandemik Covid-19 memberi kesan amat serius kepada pertumbuhan ekonomi negara sekali gus menjejaskan peluang kerjaya rakyat. Jadi, dalam situasi ekonomi yang getir serta kekurangan peluang pekerjaan, usaha untuk memperkasa ekosistem keusahawanan ini wajar dilihat sebagai memberi harapan baharu kepada rakyat untuk menjana pendapatan serta menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.
Umum mengetahui, bidang keusahawanan menyediakan pelbagai peluang untuk memajukan diri, namun malangnya masih tidak menjadi kerjaya pilihan masyarakat terutama golongan graduan dan belia. Majoriti masih memilih untuk mencari kerja makan gaji baik di sektor kerajaan mahupun swasta atas pelbagai alasan seperti terjamin, mendapat gaji dan imbuhan tetap di samping mempunyai pelbagai kemudahan perkhidmatan lain. Jadi, kita berharap ancaman pandemik ini akan membuka mata semua pihak untuk melihat sisi positif dan kelebihan bidang keusahawanan.
Justeru, dalam konteks ini, kita memohon kerajaan agar terus menyediakan pelbagai kemudahan untuk menggalakkan rakyat menceburi bidang keusahawanan. Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah kewujudan peluang seimbang dan sama rata, penyediaan kemudahan atau fasiliti mesra usahawan serta bimbingan dan bantuan kewangan secukupnya. Untuk itu, semua kementerian dan agensi terlibat perlu melihat ini sebagai agenda utama dalam konteks mencapai impian menjadi negara keusahawanan.
Tuntasnya, tidak boleh ada lagi halangan mahupun pelbagai kerenah birokrasi yang melemahkan semangat masyarakat terutama golongan belia yang berminat menjadi usahawan. Sebaliknya dicadangkan setiap kementerian menubuhkan Bahagian atau Unit Pembangunan Usahawan masing-masing bagi menyelaras dan memudahcara segala agenda pembangunan keusahawanan.
Dengan ini, baik usahawan baharu atau sedia ada dapat terus diberi perhatian dan bantuan sewajarnya.
FOBIA
Pada masa sama, usaha untuk membuang stigma dan fobia masyarakat terhadap bidang keusahawanan juga perlu diberi perhatian khusus. Persepsi keusahawanan adalah kerjaya kelas kedua serta tidak mempunyai masa depan yang cerah perlu diperbetulkan dan diubah segera. Dalam hal ini, elemen kesedaran melalui pembudayaan keusahawanan perlu dititikberatkan di semua peringkat sistem pendidikan negara. Hakikatnya, bukan mudah untuk mengubah sikap dan pemikiran orang, jadi perlu ada usaha bersepadu daripada semua pihak untuk membentuk dan menerapkan agenda serta budaya keusahawanan dalam kalangan anak muda negara ini. Ringkasnya, anggota masyarakat perlu diyakinkan yang bidang ini menjanjikan masa depan lebih baik.
IBU BAPA
Dalam konteks ini, ibu bapa juga wajar memainkan peranan. Misalnya, perlu memberi galakan dan suntikan motivasi kepada anak-anak supaya memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.
Tindakan ibu bapa sendiri yang sering ‘memaksa’ anak-anak menceburi kerjaya profesional yang keluarga mahukan perlu dihentikan dengan segera. Bagi ruang untuk anak-anak membuat pilihan dan seeloknya galakkan mereka untuk berdikari dengan menjadi usahawan.
Realitinya pada hari ini bilangan graduan semakin bertambah, manakala peluang pekerjaan dilihat tidak begitu banyak. Krisis kesihatan dan ekonomi global pula mengeruhkan lagi keadaan.
Majikan pula mempunyai banyak pilihan untuk memilih pekerja yang mereka mahukan. Maka dalam persekitaran sebegini, apa lagi pilihan yang graduan dan belia kita ada? Justeru, adalah penting untuk kita mengambil inisiatif bagi menyedarkan golongan pencari kerja ini betapa zaman kerja mencari kita sudah lama berlalu dan kita perlu mengambil segala peluang yang ada untuk meneroka bidang baharu terutama keusahawanan.
Hakikatnya, apa jua dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak akan memberi apa-apa manfaat jika kita gagal melaksanakannya dengan betul dan berkesan terutama apabila anggota masyarakat tidak menyedari dan mengambil peluang. Jadi, diharap MPKN ini dapat diterjemahkan melalui tindakan dengan membentuk dan melaksanakan pelan tindakan komprehensif membabitkan setiap kementerian dan semua golongan anggota masyarakat. Semoga pada akhirnya kita mampu mencapai impian untuk mewujudkan negara keusahawanan unggul seperti yang dihasratkan.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










