Membina nilai nasional menghayati Rukun Negara - Utusan Malaysia

Membina nilai nasional menghayati Rukun Negara

Rukun Negara sepatutnya dijiwai dalam setiap sanubari kita dan bukan sekadar laungan dan ikrar. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa tahun belakangan ini, kita sering membaca dalam pelbagai media tentang keperluan Rukun Negara diperkenalkan dalam Perlembagaan Persekutuan kita. Terdapat segelintir pihak yang mempunyai pandangan, seandainya Malaysia ingin maju di persada antarabangsa, merentasi struktur politik, ekonomi dan sosial, maka isu bangsa dan agama tidak patut dipolitikkan. Apatah lagi sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama. 

Oleh itu, kedua-dua pihak berpendapat, pastinya perpaduan rakyat menjadi tonggak dan wujudnya dasar keutuhan negara melalui satu sistem demokrasi bersepadu bagi pemerintahan berlandaskan sistem nilai yang dapat menghakis isu perkauman dan agama yang menggugat perpaduan.

Oleh yang demikian, untuk negara bangkit semula, maka kita harus menitikberatkan setiap persoalan daripada berasaskan perkauman kepada suatu yang berteraskan nilai. Sememangnya kita mempunyai formula kejayaan ini dalam rupa bentuk Rukun Negara ataupun prinsip nasional kita. 

Tidak pula keterlaluan sekiranya Rukun Negara dianggap sebagai ‘akidah kebangsaan’ kita. Yang menjadikan tanda tanya ialah seandainya akidah kebangsaan ini merupakan formula kejayaan kita, maka mengapa sebagai rakyat kita tidak berdiri teguh dan menghayatinya dalam urusan kehidupan seharian? 

Pada pandangan saya, tidak perlu kita memperkenalkan Rukun Negara  dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang perlu dilakukan sebagai rakyat, kita mesti mula menghayati aspirasi yang terkandung dalam rukun tersebut secara mendalam dan bukan setakat berlegar pada prinsipnya sahaja.

Apabila kita menyelami tujuan asas Rukun Negara diperkenalkan, ia menjurus kepada mengekalkan keutuhan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Maka kita akan memahami bahawa kekuatan kita berakar umbi dalam pengertian sebenar ‘perpaduan dalam kepelbagaian.’ 

Sekiranya kekuatan ini dibina, maka ia menjadi identiti atau ‘jenama Malaysia.’ Kebetulan pula, Jata Negara kita menekankan aspek Bersekutu Bertambah Mutu yang menguatkan kepercayaan bahawa perpaduan kita adalah unik dan teramat nilai. 

Seharusnya, kita mempercayai bahawa prinsip yang terkandung dalam rukun tersebut adalah intipati yang memperkasakan keharmonian serta perpaduan kaum bagi memastikan kejayaan dan kestabilan negara. Aspirasi Rukun Negara ini pula memantapkan dan mengetengahkan  kekuatan dalam keazaman kita untuk memperhebatkan perpaduan ini.

Marilah kita merenung sejenak dan mengimbas kembali ikrar kita yang dilafazkan pada 1970:

Bahawasanya negara kita, Malaysia mendukung cita-cita hendak:

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; 

Memelihara cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

Kepercayaan kepada Tuhan

Kesetiaan kepada raja dan negara

Keluhuran Perlembagaan

Kedaulatan undang-undang

Kesopanan dan Kesusilaan

Sekarang timbul pula persoalannya. Bagaimanakah kita boleh memperhebatkan aspirasi ikrar ini dalam membina kehidupan kita seharian? Persoalan ini akan terjawab dengan memperkenalkan ‘nilai nasional di mana Rukun Negara menjadi pedoman bagi mencorak arah politik, sosial, persekitaran dan ekonomi kita. 

Sistem nilai ini akan dibangunkan sekitar perkataan ‘muhibah’. Semangat muhibah ini merupakan sesuatu yang rapat dan bergema dalam masyarakat kita pada tahun 1970-an. Secara keseluruhannya, semangat muhibah inilah yang menentukan cara hidup kita dalam era tersebut.

Malangnya, penghayatan Rukun Negara ini tidak menyeluruh apabila hanya dijadikan sebagai hiasan di belakang buku latihan sekolah dan secara perlahan, keberkesanan aspirasinya pula berkurangan apabila program promosi yang sepatutnya menjurus kepada membina dedikasi dan penghayatannya dalam kehidupan seharian tidak begitu diperhebatkan. 

Akibatnya, aspirasi rukun tersebut mula dilupakan dan kita rakyat Malaysia mula berpecah tanpa hidup dalam suasana bersepadu. Atas sebab inilah, segala perbincangan setakat memperkenalkan Rukun Negara dalam Perlembagaan Persekutuan tidak memadai tanpa menghayati aspirasi dan mengadakan program pendekatan yang berkesan. 

Malah cara memperkenalkan Rukun Negara dalam Perlembagaan Persekutuan mungkin menghasilkan nasib sama seperti yang kita saksikan apabila diperkenalkan hanya pada buku latihan sekolah tanpa sebarang program susulan dan berkesan. 

Nilai Nasional yang dicadangkan bagi memperlengkapi aspirasi dan prinsip Rukun Negara dengan menggunakan akronim ‘muhibah’ adalah diterangkan seperti berikut:

Memupuk Minda (mindfulness) – Kemampuan untuk memupuk minda kita sepenuhnya bagi melahirkan kesedaran di mana kita berada sekarang, apa yang diperlakukan dan tidak berketerlaluan atau terharu dengan apa yang berlaku dipersekitaran kita. Dengan nilai ini, kita dapat menambahkan lagi dedikasi kita terhadap negara.

Utuh perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) – Bekerjasama dalam kewujudan bersama rakyat Malaysia melalui semangat ukhuwah dalam membina keutuhan ‘perasaan bersatu’ walaupun berbeza dari segi etnik, bahasa dan agama agar menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.

Hidup rajin bekerja (hard work) – Dijadikan sebagai sifat semula jadi kita dalam segala pencapaian kehidupan melalui kemampuan untuk bertumpu dan menggunakan amalan rajin bekerja agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Integriti (integrity) – Keutuhan dalam perwatakan dengan amalan yang didorong oleh sikap bermoral sebagai petunjuk dalam mempertahankan prinsip kesusilaan.

Berbudi-pekerti (courtesies) – Amalan kita untuk mempamerkan sifat

Pemurah, kesopanan, baik hati dan tingkah-laku yang tenang melalui pakaian, bahasa badan dan membina sikap kesabaran dalam kehidupan seharian kita. Kita mesti menjadikan budi pekerti sebagai amalan dan budaya hidup kita bagi melahirkan identiti rakyat Malaysia di kaca mata dunia.

Akur sikap Sombong dan malu (attitude of pride and shame) – Ia menentukan maruah kita dengan memperoleh penghormatan dan menjadikan kita sebagai teladan negara yang baik. Sekiranya kita membuat sesuatu angkara, maka ia membawa malu kepada reputasi, pengaruh, martabat dan penghormatan terhadap kita sehingga menggugat prinsip kesopanan dan kesusilaan.

Hargai kemanusiaan (humanity) – Sifat semula jadi kita untuk cinta, berbelas kasihan dan hidup secara harmoni dengan ciptaan lain serta memulihara alam sekitar dengan menghormati dan bukan dengan menafikan hak asasi orang lain dengan menerima nilai mereka tersendiri melalui penghayatan hak masing-masing untuk hidup. Kekayaan negara kita sebenarnya wujud dengan pencapaian keharmonian dalam menghargai nilai kemanusiaan bagi membina suatu masyarakat yang progresif.

Akhir sekali, nilai nasional bagi menguatkan semangat perpaduan dalam kalangan kita dapat dicapai dengan mempertimbangkan cadangan berikut, walaupun tidak menyeluruh tetapi dijadikan sebagai titik permulaan dalam proses memantapkan perpaduan:

Wakil rakyat mesti mengambil sikap serius dalam mempromosi aspirasi dan prinsip Rukun Negara. Mereka mesti mengambil tekad untuk memelihara cara hidup demokratik dengan melindungi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Sikap serius mereka boleh ditunjuk dengan menerapkan aspirasi dan prinsip Rukun Negara dalam dasar-dasar kerajaan.

  • Membina kekayaan negara atas landasan ‘penciptaan kekayaan’ dan bukan bergantung kepada ‘pengagihan kekayaan.’ Apabila ciptaan mendahului pengagihan, secara automatik pengagihan dapat dilaksanakan bagi mencipta satu masyarakat yang adil dan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil serta saksama. Sehingga prinsip ini mencapai matlamatnya, bersama-samalah kita berganding bahu memastikan seluruh rakyat dapat bermegah pada suatu hari bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
  • Nilai nasional ini patut diperkenalkan di sekolah bukan sekadar mata pelajaran sahaja tetapi merangkumi aktiviti dan projek melibatkan masyarakat setempat. Sekali imbas, semasa dibangku sekolah, saya pernah berkongsi semangkuk mee dengan rakan Melayu tanpa sebarang halangan, walaupunamalan ini tidak digalakkan sekarang akibat wabak Covid-19.
  • Apa yang perlu diambil sebagai iktibar ialah perkongsian ini memberi kita contoh di mana perkara ini menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan kita yang kaya dan pelbagai corak. Secara langsung, dapat menangkis salah faham terhadap perkataan ‘liberal’ yang wujud sejak kebelakangan ini. Apa yang patut kita lakukan ialah mencari pendekatan yang liberal agar aspirasi Rukun negara dapat membina kekuatan perpaduan kita.
  • Ibu bapa pula mesti memainkan peranan agar anak mereka dipupuk dengan sikap rajin mengerjakan ibadah dan pengajaran agama. Kita mesti memupuk disiplin bagi menggalakkan amalan harian seluruh keluarga melaksanakan ibadah untuk melahirkan konsep ‘keluarga yang beribadah bersama akan bersatu selalu.’ Amalan murni ini akan memberi kekuatan kepada anak-anak kita untuk mendukung prinsip kepercayaan kepada Tuhan.
  • Selaras dengan aspirasi membina satu masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden, sudah tiba masanya negara kita menuju kepada suatu sistem pendidikan yang jitu dan mengikut peredaran zaman. Dalam erti kata sebenar, pendidikan merupakan ukuran penentu kesejahteraan atau kemunduran sesebuah negara.

Dengan mempertimbangkan saranan ini, Rukun Negara sedia ada tidak akan dipandang sebagai suatu retorik yang diwarisi zaman ke zaman ataupun hilang ditelan zaman apabila penghayatannya tidak dititikberatkan. 

Sambil kita menuju ke hadapan dalam dunia serba moden ini, janganlah kita alpa dan menjadi punca kemundurannya pula tetapi menjadi sebab bagi kejayaannya dengan menguat serta meraikan semangat kepelbagaian kita.

Rukun Negara sepatutnya dijiwai dalam setiap sanubari kita dan bukan sekadar laungan dan ikrar bagaikan menanam tebu di bibir mulut agar kita bermegah di persada dunia sebagai warga yang berjaya dengan perpaduan dalam kepelbagaian kita. Seandainya kita gagal berbuat demikian, kita akan terus terperangkap dalam tragedi Mei 1969 yang masih membelengui pemikiran kita tanpa berganjak ke hadapan mengikut peredaran zaman. 

Hasilnya, secara langsung kita akan hilang segala peluang yang boleh dikecapi oleh kekuatan perpaduan kita bagi memajukan negara kita ini.

Ayuh! Marilah kita secara keseluruhan mengerjakan aspirasi dan prinsip dalam Rukun Negara, demi Negaraku ini.

PENULIS ialah pakar bidang sumber manusia, penyedia latihan sektor korporat berimpak tinggi dan Pengerusi Persatuan Usahasama Perkembangan Ukhuwah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya