Perhilitan sahkan kehadiran harimau kumbang di Taman Gunung Mas

Perhilitan sahkan kehadiran harimau kumbang di Taman Gunung Mas

PENDUDUK Taman Gunung Mas 2, Tampin, Haris Hamidi Hassan menunjukkan kawasan di mana dia melihat kehadiran harimau kumbang di taman perumahan itu, baru-baru ini. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan mengesahkan kehadiran harimau kumbang di kawasan perumahan Taman Gunung Mas 2 di sini seperti didakwa oleh penduduk.

Jabatan tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan, kakitangan Perhilitan Gemas telah menjalankan siasatan di lokasi aduan dan mendapatinya berasas.

Menurutnya, Taman Gunung Mas terletak berhampiran Bukit Tampin di dalam Hutan Simpan Gunung Tampin dan harimau kumbang itu dipercayai datang dari hutan berdekatan.

“Jarak lokasi kawasan perumahan dengan hutan simpan adalah dalam lingkungan satu kilometer. Dipercayai harimau kumbang tersebut dari Hutan Simpan Gunung Tampin yang berdekatan.

“Harimau kumbang itu disyaki hanya melalui kawasan taman tersebut dan telah masuk semula ke kawasan hutan simpan. Ini kerana tiada haiwan ternakan yang dilaporkan mati di sekitar lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan turut memaklumkan, bagi mengurangkan konflik hidupan liar khususnya harimau kumbang di kawasan berkenaan, khidmat nasihat kepada penduduk setempat turut diberikan.

“Penduduk dinasihatkan mengambil langkah-langkah mitigasi seperti tidak melakukan provokasi sekiranya terserempak dengan hidupan liar atau harimau kumbang.

“Mereka juga dinasihatkan mengurung haiwan ternakan dan anjing peliharaan pada waktu malam, selain memastikan sisa makanan tidak dibuang merata-rata,” katanya.

Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan juga akan melakukan rondaan malam dan berharap penduduk setempat memberi kerjasama agar dapat membenteras masalah konflik hidupan liar atau harimau kumbang.

Media pada 9 Mei lalu melaporkan, penduduk di Taman Gunung Mas 2 di sini mendakwa melihat kehadiran harimau kumbang di kawasan taman perumahan itu pada waktu tengah malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN