PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) meraih 12 kemenangan termasuk anugerah Pelanggan Terbaik di Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia 2024 (MLAA14).
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi syarikat untuk terus mempertingkatkan industri seni bina dan memacu norma reka bentuk terkini.
Menurutnya, kemenangan itu juga menunjukkan penekanan strategik Sime Darby Property untuk mengintegrasikan kelestarian dalam pembangunannya di seluruh negara.
“Kami percaya reka bentuk landskap dan seni bina yang baik dapat meningkatkan kesejahteraan komuniti kami dan menyumbang kepada usaha kelestarian secara positif, khususnya dalam biodiversiti bandar.
“Setiap pengiktirafan ini menunjukkan usaha syarikat dalam mencipta komuniti mampan berpandukan matlamat kami untuk menjadi pengganda nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan planet,” katanya dalam kenyataan.
Sime Darby Property menerima Anugerah Kecemerlangan untuk Bandar Elmina bagi kategori Anugerah Pelan Induk Landskap manakala KL East menerima Anugerah Penghormatan.
Syarikat itu turut meraih dua Anugerah Penghormatan dalam kategori Pembangunan Landskap untuk Bandar Elmina dan Nilai Impian.
Usaha Sime Darby Property dalam mendorong agenda kelestarian turut diiktiraf dengan tiga Anugerah Penghormatan bagi kategori Pengurusan Alam Sekitar & Landskap untuk Bandar Elmina dan Bandar Bukit Raja.
Selain itu, kejayaan yang dibuktikan syarikat itu dalam sentiasa memastikan kemampanan alam sekitar dianugerahkan dalam kategori Infrastruktur Hijau untuk Bandar Serenia.
Syarikat itu juga memenangi empat Anugerah Kepujian bagi kategori Analisis Landskap dan Kajian untuk Bandar Elmina, Bandar Serenia dan Nilai Impian, dan dalam Anugerah Reka Bentuk Landskap untuk Bandar Elmina.
Dianjurkan pada setiap tahun sejak 2007 oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) dan disokong oleh Persekutuan Arkitek Landskap Antarabangsa (IFLA), anugerah MLAA14 berprestij itu meraikan kecemerlangan dalam bidang seni bina landskap. – UTUSAN










