Manfaat golongan pemikir kita - Utusan Malaysia

Manfaat golongan pemikir kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUHAMMAD SHAFIQ BORHANNUDDIN

 

Penyair Muslim abad ke-13, Sa’di Shirazi pernah menyebut: “Bani Adam, satu sama lainnya anggota daripada satu hakikat, ia dicipta. Tatkala satu musibah menimpa salah satunya
anggota yang lain tiada menentu jadinya. Jika kau tiada bersimpati dengan penderitaan orang lain Kau tidak layak disebut Bani Adam.”

Krisis dunia sedang dilalui yang saling berhubung-kait (systemic) menunjukkan betapa rapuh sistem kehidupan pada masa kini. Ia memaksa ramai dari pelbagai bidang untuk meneliti kembali persoalan-persoalan besar mengenai keadaan peradaban masa kini dan hala tuju masa depannya.

Walaupun munasabah untuk kerajaan-kerajaan hari ini menumpukan kepada soal pemulihan ekonomi dan mengatasi wabak yang sedang melanda, adalah membimbangkan sekiranya para penggubal dasar dan pemimpin pelbagai bidang tidak mengendahkan keperluan generasi masa akan datang serta soal hala tuju peradaban kita yang bersifat jangka masa panjang.

Seperti yang pernah disebut oleh pemikir besar tamadun China, Kung Fu-Tse (Confucius): “Sekiranya seseorang itu tidak mengendah tentang perkara pada masa depan, dia akan merasai kesengsaraan dengan lebih dekat. (“If a man takes no thought about what is distant, he will find sorrow near at hand”).

Di Barat sendiri terdapat usaha-usaha yang tidak membataskan soal berfikiran jauh dalam kerangka Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (Sustainable Development Goals 2030) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti Future of Humanity Institute di Universiti Oxford, Centre for the Study of Existential Risk di Universiti Cambridge, Future of Life Institute, Foresight Institute, Foundational Questions Institute yang mengkaji persoalan-persoalan besar sedang atau akan dihadapi oleh peradaban manusia.

Kemungkinan besar jutaan dolar Amerika Syarikat telah pun dilaburkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memajukan pandangan hidup dengan suatu agenda peradaban yang meminggirkan soal ketertiban alam, soal keluhuran budi, soal kesejahteraan rohani mahupun soal Pencipta Sekalian Alam dalam perkiraan mereka.

Tentu sekali perkiraan entiti-entiti seperti ini tidak mengendahkan bahawa agama Islam serta golongan terpelajar dalam kalangan mereka yang berilmu dan arif mempunyai cara pandangan tersendiri dari sudut soal hakikat alam (cosmology), hakikat insan (psychology), hakikat ilmu (epistemology) dan hakikat kewujudan (ontology).

Perkara yang membimbangkan, saya mendapati tidak ada negara Islam yang melabur dan menumpukan tenaga kepada senario jangka masa panjang ini. Adakah kita akan mengikut sepenuhnya kehendak dan cara berfikir Bill Gates, Elon Musk, Klaus Schwab atau Yuval Harari bila diberi peluang oleh kerana kekayaan dan pengaruh mereka di dunia?

Turut membimbangkan ialah dunia Islam seperti tidak memberi perhatian kepada pemikir-pemikir besar yang masih hidup dalam kalangan mereka mahupun pemikir-pemikir muda dalam kalangan kaum Muslimin yang berupaya untuk sama-sama mengatasi persoalan-persoalan besar ini. Tiada dana diperuntukkan untuk tujuan ini dan hampir kesemua ke arah sains gunaan (applied sciences).

Perkara yang menjejaskan lagi keadaan, negara-negara Muslim sering mengharapkan pedoman golongan pakar runding (consultants) dari Barat untuk menentukan hala tuju pendidikan dan negara mereka. Terdapat sebuah negara Arab yang kaya contohnya, menjemput Rand Corporation untuk membawa pembaharuan kepada sistem pendidikan mereka.

HOLISTIK

Umat Islam harus sedar, pakar runding Barat ini sering kali berfikir dalam corak penduaan yang bertentangan (dualistic) oleh kerana proses sekularisasi pemikiran yang berlaku berkurun lamanya dalam peradaban Barat. Inilah sebabnya mengapa isu-isu seperti pencemaran alam sekitar, tekanan perasaan atau kezaliman dilihat sebagai isu-isu berasingan sedangkan dalam pandangan hidup Islam ia saling berkait antara satu sama lain.

Inilah sebab mengapa matlamat-matlamat “Pembangunan Lestari PBB” misalnya, dilihat sebagai matlamat-matlamat yang terpisah untuk dicapai secara berasingan atau terpisah-pisah oleh kementerian, kumpulan atau pihak berkepentingan yang berbeza-beza. Dalam peradaban Islam contohnya, pembangunan dilihat dari sudut pandang yang lebih integrasi atau holistik di mana hakikat zahir dan batin dilihat sebagai saling berkaitan.

Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyebut dalam artikelnya, “Peranan Universiti di Asia pada Abad ke-21” (1990): “Pada hakikatnya, pelbagai masalah dunia moden tidak dapat dilihat hanya dari sudut bidang-bidang sedia ada di universiti. Banyak masalah yang rumit perlu dikaji melalui pendekatan rentas disiplin.”

Pada pengetahuan saya, Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas juga merupakan antara tokoh pemikir Islam yang telah lama berusaha mengatasi permasalahan ini melalui karya-karyanya yang dizahirkan dalam institusi-institusi dipimpinnya.

Hakikatnya, ahli politik, penggubal dasar dan pemimpin dalam pelbagai sektor tidak dapat mempertimbangkan hal-hal seperti ini, apalagi persoalan yang bersifat peradaban dan jangka masa panjang yang sering tidak disentuh oleh perunding dasar (policy consultants) mahupun penggubal dasar sendiri.

Oleh itu, ia menjadi suatu tanggungjawab golongan penggubal dasar dan pemimpin pelbagai sektor untuk menjalinkan hubungan lebih akrab dengan golongan pemikir yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai soal peradaban atau ketamadunan serta jujur kepada diri.

Apa yang dapat ditawarkan oleh golongan pemikir kepada urusan lebih amali atau praktikal adalah pendekatan dan penyelesaian pemikiran lebih integrasi terhadap masalah dan krisis sistemik yang melanda dunia hari ini.

Oleh itu, adalah suatu tindakan yang strategik lagi bijaksana sekiranya pelbagai pihak daripada sektor awam dan swasta sama-sama berganding bahu demi memberi ruang kepada golongan pemikir untuk benar-benar berperanan dalam hala tuju peradaban kita.

Saya juga berpendapat, suatu tuntutan moral bagi pemerintah untuk melabur sewajarnya dalam menyokong projek penyelidikan dan pendidikan mereka termasuk melatih generasi pemikir masa depan dalam pelbagai bidang dan sektor. Kegagalan berbuat demikian boleh dianggap sebagai suatu kezaliman terhadap diri dan anak cucu kita. Wallahu’alam.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×