Malu kita kalau tidak boleh kuasai bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Malu kita kalau tidak boleh kuasai bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ibu suka menyelitkan peribahasa tatkala berbual. Antara peribahasa yang sering disebut ibu ialah bahasa menunjukkan bangsa. Maksud tersirat peribahasa ini saya jadikan pedoman kerana ia mengaitkan bahasa dengan asal keturunan kita.

Bahasa pertuturan seharian menggambarkan siapa diri kita. Ia mampu menzahirkan akhlak, budi pekerti, asal usul, budaya hidup serta jati diri kita.

Pendedahan kepada bahasa yang indah mendorong kita menghargai kehebatan bahasa dan budaya sendiri.

Tingginya nilai estetika bahasa dan budaya Melayu membuktikan kehebatan tamadun kita. Budaya Melayu amat menitikberatkan adab terpuji serta budi pekerti mulia. Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Ketika kecil, saya lebih selesa menulis dalam bahasa Inggeris kerana kebanyakan buku yang saya baca adalah dalam bahasa tersebut. Namun, kini saya mula sedar betapa cetek pengetahuan saya tentang perbendaharaan dan lenggok penulisan bahasa Melayu. Saya berasa malu kepada diri sendiri lalu berusaha menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik.

SOMBONG

Gaya hidup moden serta kebolehan berbahasa asing dengan baik tidak boleh dijadikan sebab untuk kita mengabaikan bahasa dan budaya sendiri. Tidak salah mempelajari bahasa dan budaya asing tetapi pada masa sama, kita harus menghayati dan mengangkat identiti dan jati diri bangsa sendiri.

Jangan sesekali kita bersikap sombong dan meninggi diri. Nasihat ibu kepada saya, hidup biar ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Bukannya membawa resmi lalang yang makin lama makin tinggi. Justeru, walau setinggi mana pun kita berada, kita harus sentiasa bersikap rendah diri serta menghormati orang lain. Jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya.

Hilang bahasa, lenyaplah bangsa. Maruah sesebuah negara bangsa terletak pada martabat bahasanya. Maka, memperlekehkan bahasa Melayu adalah satu sikap yang sangat tidak patriotik.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Identiti negara harus dipertahankan agar negara kita dapat terus berdiri kukuh, dipandang tinggi serta dihormati.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN