SAUDARA PENGARANG,
DI KALA pentadbiran kerajaan pusat Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bertungkus lumus mendepani penularan wabak pandemik Covid-19 serta barisan hadapan juga sedang berjuang berkorban nyawa memastikan keselamatan rakyat terjaga, rakyat Selangor dikejutkan dengan hebahan berita isu konspirasi penamatan kontrak penanaman semula hutan oleh kerajaan negeri Selangor.
Hal ini menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor berdepan tindakan saman di Mahkamah. Bagaimana syarikat-syarikat kecil yang tiada kepakaran perhutanan diberikan permit perhutanan?
Hal ini sedikit sebanyak telah menimbulkan keraguan orang ramai terhadap ketulusan pentadbiran serta integriti kerajaan di bawah pimpinan PH di Selangor.
Sebagai rakyat serta anak jati negeri itu, kami wajar berasa bimbang kerana ia melibatkan perihal pentadbiran serta pimpinan kerajaan yang dikhuatiri boleh terjerumus ke arah skandal tadbir urus, penyelewengan dan kemungkinan salahguna kuasa.
Selangor yang mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri seharusnya dijadikan contoh kepada negeri lain yang sentiasa mengamalkan sistem telus lagi dipercayai oleh rakyat marhaen. Jika tadbir urus ekonomi tidak dijalankan dengan baik, maka pasti tiada pelabur akan melabur lagi di Selangor.
KHIDIR JAMIL
Ketua Armada Bersatu Bahagian Bangi
Exco Armada Bersatu Negeri Selangor










