Jangan beramal kerana like - Utusan Malaysia

Jangan beramal kerana like

TINDAKAN memuatnaik gambar di laman sosial semasa beribadah boleh mengundang riak dan menghilangkan pahala. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nasihat terbuka pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun kepada sebuah akaun kumpulan Facebook agar tidak menggunakan perkataan riak untuk tujuan bergurau, adalah antara yang menarik untuk dibincangkan.

Menerusi perkongsiannya di Facebook tiga hari lalu, Ustazah Asma’ menegur pentadbir kumpulan ‘Riak Apa Hari Ini’ supaya menukar nama atau terus menutup kumpulan itu yang disifatkan mengindahkan perbuatan riak.

Mohon admin group ‘Riak Apa Hari Ini’ boleh tukar tajuk atau tutup terus. Pelbagai kemungkaran dan dosa sedang dihalalkan atas nama gurauan.
“Perbualan bebas bergurau senda lelaki perempuan, dedah aurat sebab nak tunjuk putih melepak dan emas sampai lengan, tunjuk harta dengan kepsyen riak tapi kata gurau dan lain-lain yang sangat aib. Jangan indahkan perkataan keji riak atas nama gurauan,” katanya.

Ya, kita semua maklum tentang pengaruh media sosial yang amat hebat masa kini. Rata-rata semua isi rumah kita mempunyai akses internet dan mempunyai akaun media sosial.
Yang luar biasa adalah nama ‘Riak Apa Hari Ini’. Kreativiti masyarakat Malaysia memang hebat. Termasuklah kewujudan nama akaun media sosial tersebut. Ternyata strategi untuk menarik pengguna laman sosial berjaya kerana menggunakan nama yang cathcy.

Difahamkan kumpulan tersebut dicipta agar pelayar Facebook boleh menunjuk-nunjuk kemewahan bagi tujuan bergurau dan menghiburkan semata-mata. Akaun yang dicipta pada awal Februari itu kini mempunyai lebih 120,000 pengikut.

Memang tabiat manusia suka menunjuk-nunjuk terutama jika beroleh kejayaan, kebaikan atau mencapai sesuatu yang menjadi idaman dan memuaskan hati. Cuma, yang dibimbangi adalah gugurnya pahala akibat ‘suka’ menayang-nayangkan terutama dalam bab amalan.

Paling dikhuatiri adalah tidak lagi ikhlas beramal. Sebaliknya buat ibadat kerana mahu dipuji atau dalam bahasa netizen sekarang, mahu post kita trending dan mengejar like.

Ikhlas mudah disebut tetapi sukar direalisasi kerana ia terletak dalam hati. Namun, ia menjadi dasar penilaian Allah SWT terhadap amalan hamba-hamba-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu. (riwayat Muslim).

Satu lagi analogi, ikhlas itu ibarat seekor semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di malam yang gelap.

Demikianlah sukarnya mencapai ikhlas. Ia menjadi syarat ibadat diterima Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu, maka sembahlah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyukai amalan kamu itu. (Ghafir: 14)

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ayyuhal Walad ketika menasihati muridnya berkata: “Dan engkau bertanyakan kepadaku tentang ikhlas, maka ikhlas itu bahawa engkau menjadikan segala amalanmu hanya untuk Allah SWT dan hati engkau tidak rasa senang dengan pujian manusia dan engkau tidak peduli akan kecaman mereka.”

Media sosial
Antara halangan utama ikhlas beribadat masa kini adalah ‘lambaian’ media sosial sama ada Twitter, Instagram mahu pun Facebook. Hanya tekan satu butang telefon pintar, pantas maklumat atau gambar yang kita post beredar ke sasaran dan netizen.

Memanglah niat asalnya baik untuk memberi semangat kepada kawan-kawan melakukan ibadat yang sama. Contohnya, dapat pergi umrah. Biasanya ramai yang hantar gambar-gambar selepas selesai tawaf. Biasanya diiringi keterangan gambar: “Alhamdulillah, selesai umrah pertama” dan sebagainya.

Yang dibimbangkan adalah niat asal itu mungkin bertukar kepada rasa megah atau riak. Daripada niat asal memberi semangat bertukar kepada mahu dapat pujian orang. Ini biasa berlaku kerana kita mudah terpedaya dengan bisikan syaitan yang kerjanya memang menyesatkan manusia.

Ini dirakam dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, daripada hadapan mereka serta daripada belakang mereka, dan daripada kanan mereka serta daripada kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (al-A’raaf: 16-17)

Allah SWT menuntut manusia ikhlas beribadat kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya. Syirik ada dua maksud. Pertama syirik dalam akidah dalam erti kata menyembah selain Allah SWT, seperti menyembah patung-patung berhala yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain iaitu yang menyembah ‘tuhan’ selain Allah. Ini dipanggil syirik jali atau syirik terang (nyata). Kategori ini mudah dikesan.

Bagaimanpun syirik yang kedua iaitu syirik tersembunyi atau syirik khafi lebih bahaya. Ia merujuk kepada melakukan ibadat tetapi bukan kerana mencari keredaan Allah. Sebaliknya ada matlamat lain selain Allah.

Antara yang biasa dilakukan manusia ialah melakukan amalan kebaikan untuk dilihat oleh orang lain dan menunjuk-nunjuk atau riak. Ada yang beramal kerana mahu dipuji oleh manusia dan suka mendengar pujian manusia (sum’ah); atau melakukan amalan ibadat dan rasa bangga serta kagum dengan diri sendiri kononnya kita lebih baik daripada orang lain (ujub).

Ikhlas tidak dapat dipamerkan dan ia bukan hanya kata-kata. Ungkapan “saya ikhlas” itu pun belum menjamin itulah ikhlas.

Ikhlas itu tersembunyi dalam hati seorang hamba Allah kerana hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui sama ada seorang itu ikhlas atau sebaliknya dalam segala amal ibadah mahupun apa jua pekerjaan yang diusahakannya.

Justeru, berwaspadalah kita tentang perangkap riak ini. Amalan pun boleh dikira dan sering melakukan dosa. Bertambah malang jika amal kita yang sedikit itu dilakukan kerana perkara lain dan bukannya ikhlas.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din menjelaskan; “Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya”.

Untuk itu, hendaklah kita berusaha untuk mencapai tahap ikhlas dalam beramal. Antara cara memastikan setiap perkara yang dilakukan itu benar-benar ikhlas adalah buatlah amalan tanpa perlu dicanang sehingga diketahui oleh orang lain.

Contoh perkara itu adalah amalan qiamullail. Sebabnya, ia dilakukan waktu lewat tengah malam ketika orang lain sedang tidur. Jadi sudah tentu ibadat dilakukan kerana Allah SWT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×