Finas jangan sibuk dengan dana dan lesen saja – Al-Jafree - Utusan Malaysia

Finas jangan sibuk dengan dana dan lesen saja – Al-Jafree

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pergolakan membabitkan pemain industri dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kebelakangan ini semakin panas.

Ini gara-gara wujud segelintir pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati tentang gerak kerja Finas yang dilihat tidak membela nasib penggiat filem tanah air. Tambahan pula, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada industri, susulan garis panduan baharunya.

Mingguan Malaysia sempat menemu bual, salah seorang penggerak utama petisyen yang cuba menjatuhkan pihak atasan Finas termasuk Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Idham Ahmad Nadzri. Beliau yang dimaksudkan ialah Al-Jafree Md. Yusop, seorang pengarah, penulis lakon layar serta pengasas Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Bagaimana gerakan petisyen menyingkirkan Pengerusi Finas dan Ahmad Idham bermula?
Petisyen ini bermula selepas lebih 20 hari PKP 2.0 diumumkan. Finas masih belum membentangkan SOP penggambaran filem kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), sedangkan pada 11 Januari lalu, Ahmad Idham membuat kenyataan, kononnya esok (12 Januari) Finas akan membentangkan SOP penggambaran filem yang telah dikemas kini mereka. Namun ini tidak berlaku sehinggalah MKN keluarkan SOP tersebut pada 8 Februari lalu.

Ketika itu penggiat filem berada dalam keadaan sangat terkesan kerana pendapatan terjejas. Kebanyakan pekerja freelance hanya mendapat bayaran apabila ada proses penggambaran. Bermula dari situlah satu gerakan dipanggil Art Revolt memulakan petisyen.

Kenapa mahu menyingkirkan dua sosok ini dari jawatan di Finas?
Finas ditubuhkan selama 40 tahun. Namun sehingga hari ini masih belum memenuhi tanggungjawabnya sebagai badan pembangunan filem. Kalau dilihat rata-rata peranan badan pembangunan filem seluruh dunia, tugas utama adalah menubuhkan arkib filem yang extensive bagi tujuan menyimpan serta menjalankan proses restorasi. Namun kita tidak melakukannya secara menyeluruh.

Malah perkara ini hanya dibuat secara sendirian seperti laman web Sinar yang diusahakan oleh seorang pencinta filem tempatan bernama Ali Agung. Ini sepatutnya dilakukan oleh Finas.

Pimpinan baharu yang dilantik cukup mendukacitakan kerana mereka tiada usaha melakukannya. Yang mereka tahu hanya buat pengumuman demi pengumuman tetapi tiada apa-apa pelaksanaan.

Finas harus sedar pembangunan filem bukan sekadar bermaksud membangunkan pembikinnya tetapi melahirkan penonton yang bijak. Tanpa mereka tidak ada gunanya menghasilkan filem bermutu tinggi. Saya bagi contoh badan pembangunan filem di Argentina (INCAA ). Pada 2016 mereka mula memperkenalkan subjek apresiasi filem bermula di sekolah rendah. Ini membuktikan betapa seriusnya INCAA menjalankan tugas. Mereka menyedari pentingnya peranan seni filem untuk masyarakat.

Finas bukan badan kebajikan, tetapi menjadi perantara yang efektif antara persatuan berkaitan filem dengan syarikat produksi serta stesen TV tempatan. Ini sebagai langkah menjaga kebajikan pekerja pekerja filem.

Saya bagi contoh pada 1964, Presiden Amerika Lyndon B Johnson mewujudkan satu akta yang dinamakan National Arts and Cultural Development Act 1964. Dalam akta ini diwujudkan National Council of the Arts yang menyelaraskan semua cabang seni di AS dengan bekerja rapat dengan National Endowment of the Arts yang bertanggungjawab dalam pengurusan dana. Dalam akta ini juga American Film Institute (AFI) ditubuhkan.

Segala usaha membangunkan seni ada di dalam akta ini. Ia jadi lebih efektif kerana dilindungi undang-undang. Oleh itu, kebajikan pekerja pekerja seni juga terkawal. Usaha-usaha inilah yang harus dicontohi Finas. Bukan hanya sibuk dengan pengurusan dana dan pelesenan.

Banyak perkara yang tidak dilakukan dalam tempoh 10 bulan ini. Pandemik tidak boleh dijadikan alasan kerana jika kita lihat British Film Commission, awal lagi menyediakan SOP setebal 55 muka surat untuk penggambaran filem. Ia begitu terperinci kalau mahu dibandingkan SOP dikeluarkan Finas.

Jika disingkir, siapa pula yang layak menggantikan mereka?
Pemilihannya haruslah dibuat dengan teliti. Contohnya, di National Arts and Cultural Development di AS. Sudah dinyatakan syarat pelantikan jawatan Pengerusi Majlis Seni itu haruslah individu yang arif dan berkelayakan dalam bidang seni. Di Malaysia main tangkap muat sahaja. Macam tak serius.

Pengerusi Finas pula dalam wawancara dengan portal tempatan secara terang-terangan mengatakan tidak tahu sangat tentang filem. Persoalannya, mengapa dia menerima (tawaran pelantikan) itu kerana seluruh industri bergantung pada kewibawaannya?

Setakat mana perasaan tidak puas hati itu? Adakah Pengerusi Finas dan Ahmad Idham tak berfungsi menggalas jawatan itu?
Jawapan telah saya berikan tadi. Tapi saya ingin tambah mengenai isu yang mana CEO ada muat naik satu status di IG Story yang mengatakan ‘ramai yang menyalak macam anjing’. Mungkin dia tujukan kepada individu tertentu, tetapi sebagai seorang yang memegang jawatan tinggi, amatlah tidak manis. Status itu terus menjadi viral dan kontroversi.

Kalau kita lihat presiden atau pengarah pembangunan filem di serata dunia, biasanya mereka akan muat naik status berkenaan seni dan industri filem sahaja, Tak ada pula posting yang menghina begitu. Mungkin hanya di Malaysia.

Adakah penyingkiran ini bersifat peribadi atau demi kepentingan umum?
Tuntutan penyingkiran ini untuk kepentingan umum. Langkah pertama untuk perubahan adalah dengan menukar kepimpinan Finas. Filem adalah industri penting dalam negara. Pada 2018 sahaja jumlah kutipan tiket di panggung melebihi RM125 juta. Ini bermakna sumbangannya kepada negara sangat besar.

Pada 1999, majalah Time dalam isu milleniumnya menjangka filem menjadi antara komoditi penting di dunia. Tahun 2009 sahaja jumlah kutipan tiket di AS mencecah AS$30 bilion. Itu tidak termasuk daripada sumber lain berkenaan filem. Sebab itu, penting memilih pengurusan yang betul dan proaktif. Bukan setakat mengaku proaktif, tetapi tiada apa-apa usaha.

Sejauh mana sokongan setakat ini? Siapa menyokong?
Sudah hampir 4,000 orang menandatangani petisyen ini. Ia terdiri daripada pemain industri dan orang awam. Jumlah itu dijangka meningkat.

Bagaimana respons pihak kementerian terhadap petisyen ini?
Belum ada sebarang kenyataan atau respons rasmi dari pihak kementerian. Bagaimanapun bila tiba masanya nanti petisyen ini akan dihantar juga kepada mereka. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN