Empat penjuru warnai PRU-15? - Utusan Malaysia

Empat penjuru warnai PRU-15?

Amat menyedihkan jika kuasa politik Melayu hari ini menjadi satu bebanan kepada perpaduan ummah disebabkan tidak kembali kepada ajaran Islam. – Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan raya umum bakal diadakan setelah negara ini mampu menangani pandemik Covid-19 melalui usaha vaksinisasi. Ramai yang ingin melihat pertandingan dua penjuru antara Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH). Tetapi hal ini tidak akan berlaku. Seperti mana diketahui, Barisan Nasional (BN) bukan dalam gabungan PN dan Muafakat Nasional (MN) yang bukan suatu organisasi berdaftar.

Apa yang berlaku, BN hanya menyertai PN untuk membentuk kerajaan campuran bukannya kerajaan perpaduan. Jadi, tidak salah BN melawani PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Tidak patut dipersalahkan kepada UMNO yang mengetuai BN untuk menentang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)dalam PRU-15.

Umum mengetahui, Pas tidak akan bersama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam sebarang bentuk kerjasama mahupun bersekutu dalam PRU-15. Begitu juga UMNO, tidak akan bersama atau bersekutu sebagai satu gabungan dalam PRU-15. Ini adalah soal hati.

Tiada siapa yang boleh memaksa untuk tidak bersetuju kepada bersetuju. Pengalaman pahit yang dialami oleh Pas sewaktu krisis 2015 menyebabkan mereka keluar dari PH disebabkan terdapat duri dalam daging yang akhirnya melahirkan Amanah. Begitu juga UMNO yang telah melalui pengalaman paling pahit sehingga gagal membentuk kerajaan Pusat disebabkan oleh ahli UMNO yang akhirnya keluar menyertai Bersatu yang bergabung dengan PH. Maka adalah sukar untuk menyatukan Bersatu dengan UMNO seperti mana sukarnya menyatukan Pas dan Amanah.

Tetapi perlu diingatkan juga, dalam PH kini terbahagi kepada dua iaitu kumpulan pro-Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kumpulan pro-Dr. Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad). Mahu atau tidak, akan wujudnya dua penjuru dalam PH. Jika kumpulan pro-Anwar masih tidak belajar daripada sejarah terbentuknya kerajaan PN selepas ‘Langkah Sheraton’, ini bermakna pisang akan berbuah lebih tiga kali dalam pengkhianatan Dr. Mahathir ke atas kumpulan pro-Anwar dalam PH.

BERPECAH

Selain itu, terdapat juga kumpulan yang tidak terikat dengan BN atau PN atau PH pro-Anwar atau kumpulan pro-Dr. Mahathir. Kumpulan ini seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan sebagainya juga akan menyertai PRU-15.

Ini bermakna kerusi Melayu majoriti yang terdiri daripada 120 kerusi bakal dipertandingkan dengan lebih empat penjuru terutama di negeri-negeri yang amat panas. UMNO bakal berentap dengan Bersatu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Selangor dan Kedah.

Jika Pas turut menyertai PN, bermakna UMNO turut berentap dengan Pas di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Seterusnya, kumpulan pro-Dr. Mahathir bersama Putra, Berjasa dan parti-parti kecil lain akan turut berentap dengan PH di kebanyakan kerusi Pantai Barat.

Ini bermakna, Melayu dengan Melayu akan berpecah dan berentap untuk merebut kerusi. Di samping itu, bakal berlaku adalah tawar menawar kerusi kepada parti bukan Melayu untuk mendapatkan undi bukan Melayu di kerusi majoriti Melayu. Situasi ini bakal berlaku jika kuasa politik Melayu dipecahkan dan dilemahkan apabila pertandingan sesama parti politik Melayu di satu kerusi majoriti Melayu melebihi empat penjuru. Ini juga adalah keterpaksaan untuk menyerahkan kerusi majoriti Melayu agar undi bukan Melayu mengundi sesuatu parti. Amat menyedihkan jika situasi ini berlaku.

TANJUNG PIAI

Apa yang berlaku di Tanjung Piai yang melihat undi Cina kembali kepada MCA sebenarnya tidak berlaku. Perubahan undi Cina kembali kepada MCA adalah disebabkan strategi penyokong DAP untuk melihat adanya wakil Cina dalam kerusi Parlimen kerajaan PN.

Bagi pengundi Cina, kepentingan wakil mereka lebih penting daripada kepentingan agenda peribadi dan parti. Mereka melihat kedudukan sebagai kaum minoriti memerlukan wakil dalam kerajaan PN yang didominasi oleh kaum bumiputera. Situasi hal ini juga bakal berlaku nanti dalam PRU-15. Akan berlaku tawar menawar antara MCA dan DAP dalam mewujudkan wakil dalam kerajaan yang bakal terbentuk nanti.

DAP berkemungkinan tiada masalah untuk menyerahkan 10 hingga 20 kerusi Parlimen kepada MCA jika benar kerajaan campuran formula kini terbentuk nanti. Jika formula kerajaan campuran tidak berlaku, maka akan terbentuk formula kerajaan diterajui BN, sudah pasti ada wakil Cina dalam kerajaan itu.

Ini bermakna DAP dan MCA akan menjadi penimbang tara dalam pembentukan mana-mana formula kerajaan. Maka tidak rugi jika DAP berkongsi kerusi dengan MCA. Inilah dinamakan strategi pintar. Sebab mereka sudah tahu adalah sukar untuk menyatukan UMNO dengan Bersatu dan situasi ini turut sama berlaku sukar menyatukan Amanah dan Pas.

Maka yang menjadi pilihan kini adalah antara dua gergasi parti politik yang benar-benar berentap dan mempunyai keupayaan untuk menang. Bagi mereka, sama ada kumpulan pro-Dr. Mahathir atau mana-mana parti kecil seperti Putra, Berjasa dan sebagainya turut bertanding tidak akan memberi impak kepada pembentukan kerajaan nanti. Amat menyedihkan jika kuasa politik Melayu hari ini menjadi satu bebanan kepada perpaduan ummah disebabkan tidak kembali kepada ajaran Islam.

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×