Bila AG pakai ‘banyak baju’ - Utusan Malaysia

Bila AG pakai ‘banyak baju’

zul jalil pm tepi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA berpeluang PM (private message) dengan pakar perlembagaan dan undang-undang, Tan Sri Dr. Rais Yatim kelmarin akan perihal heboh pasal bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas.

Buku tulisannya My Story: Justice in The Wilderness khabarnya bikin kontroversi. Kini dalam pemerhatian Kementerian Dalam Negeri dan mungkin diharamkan jika diputuskan menteri.
Tommy, menerusi buku setebal lebih 500 muka surat itu dikatakan melakukan tiga kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Daripada laporan polis yang dibuat beberapa pihak, beliau didakwa mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk bawah undang-undang kerahsiaan negara.

Saya beri ruang kepada Rais menjelaskannya. Amati hujah Rais berikut:

Kisah Peguam Negara orang putih

Tindakan Tommy (mendedahkan perkara sensitif dalam bukunya) disebut unprecedented (belum pernah terjadi sebelumnya).

Peguam Negara Tanah Melayu dari 1946-1948, E. Rover Sutton pernah dinyatakan oleh sarjana Barat, J.M Gullick “bahawa sebagai Peguam Negara British, dia tidak harus mengeluarkan apa jua perihal pengalamannya bersabit dengan rahsia state (negeri).”

Perkara ini walaupun tidak dihujahkan, ia kemudian menjadi prinsip kepada seorang Peguam Negara dan ada sebutan the secret dies with the Attorney General (AG). Itu prinsip lama masa Common Law di England.

Berdasarkan penyelidikan saya (Rais), itu prinsipnya. AG sebagai penasihat tertinggi yang dilantik oleh negara tidak boleh membawa keluar apa-apa pandangan berkenaan urusan rasminya. Ini disebabkan dia menasihati Kabinet, menteri serta Yang di-Pertuan Agong. Hak-hak Perlembagaan di dalam surat kontrak dua tahun itu harus dipegang dengan amanah sepenuh jiwa.

Sebelum angkat sumpah, AG menyebut perkataan-perkataan yang menjamin untuk menjaga Perlembagaan dan kerahsiaan. Untuk bab kerahsiaan sahaja, pelik dia (Tommy) cakap begitu begini (dalam buku) selepas habis jawatannya.

Tiada pengalaman penjawat awam

Tommy barangkali tiada pengalaman sebagai penjawat awam. Tidak dilatih di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Tidak menghayati saling hormat menghormati secara diraja. Ini geng tahun 1988. Saya bersama dia dalam kes krisis kehakiman melibatkan pemecatan ketua hakim negara waktu itu, Allahyarham Tun Salleh Abas. Dia ke depan dalam hak asasi selorong. Patut ada luak melambangkan rahsia kedirajaan, Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Kita mempunyai Peguam Cara Negara di bawah AG. Beliau dapat latihan di INTAN serta menghayati kerja tetapi Tommy tidak pernah dapat latihan. Perlu ikuti kursus budi bahasa guaman.

Pakai dua baju

Satu lagi baju yang AG pakai ialah Pendakwa Raya. AG boleh mendakwa sesiapa sahaja, waima Agong jika menyalahi Perkara 182. Dalam krisis Perlembagaan tahun 1993/94, atas desakan dan bimbingan Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan perkara diraja tahun itu, pindaan dibuat bahawa pihak diraja boleh didakwa di mahkamah jika menyalahi undang-undang. Pendakwaan atas sokongan Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara.

Jadi, bila ada pandangan yang menyokong bekas AG ini (Tommy) menulis dan menghurai kerja-kerja AG, ia tidak betul sebab bekas AG tidak boleh menghurai rahsia-rahsia negara dan hal-hal kerja AG (semasa dalam jawatannya). Rahsia klien mesti dijaga. Ini amali Common Law dan atas profesional undang-undang. Barangkali dia ada hujahnya, namun penulisannya bias, menceritakan peristiwa. Tidak boleh dia perincikan apa yang disebut Perdana Menteri dengannya kerana itu hubungan profesional antara Peguam Negara dan Perdana Menteri. Itupun rahsia rasmi. Hal ini boleh dihujah mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Lantikan politik

Semua maklum Tommy dilantik atas desakan parti politik tertentu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari, maka Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju. Saya semasa itu tergolong tidak bersetuju. Pernah saya telefon Tun M supaya hubungi AGC supaya dapatkan fakta. Ia tunjukkan kelangsungan tidak merujuk konvensyen negara. Jadi, saya cadangkan AG perlu dilantik dalam kalangan hakim mahkamah tinggi dan persekutuan.

Haramkan atau tidak?

Saya tidak fikir bukunya harus diharamkan. Desakan ini mesti diperhalusi. Tidak boleh gendang kecapi itu ini. Tindakan mengharamkan akan menjadikan bukunya best seller. Biarkan buku ini, siasat kemungkinan Tommy menyalahi OSA dan Seksyen 4 Akta Hasutan.

Yang keduanya, konvensyen. Kalau Tommy menyalahi konvensyen, ia terpijak pergi terlanda pulang (dalam keadaan sambil lewa), maka dari sudut fisiologi undang-undang, banyak pakar di situ.

Cuma saya nak ingatkan bahawa kes ini tidak boleh terlepas begitu sahaja, alih-alih macam buih gelombang pantai Port Dickson yang hanyut. Siasatan jangan memakan masa. Ini seharusnya menjadi pengajaran sebab dia penasihat raja dan Majlis Raja-raja.

Mana-mana terma undang-undang telaahlah betul-betul kerana polis dan AGC rapat. Apa-apa sesuatu klausa, terma dan perenggan dalam bukunya perlu diselidiki. Jawatan AG penting. Apa pun masalah raja-raja akan pergi ke dia AG. Semua akta dibuat dengan kelulusan AG. Semua jawapan atau triti di antara Malaysia dengan negara-negara luar mesti diluluskan oleh AGC. Apa sahaja melibatkan perundangan dibuat mesti dengan nasihat AGC.

Pisahkan kuasa AG dan Pendakwa Raya? Ini isu lama yang pernah terkandung dalam manifesto PH dahulu. Tetapi pisahkan dua kuasa ini adalah yang terbaik buat Malaysia kerana AG (kini) adalah lantikan politik. uatu ketika Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah selain masing masing adalah Peguam Negara dari 1963-1977 dan 1978-1980, mereka juga berjawatan menteri dalam Kabinet. Sekarang, tradisi itu tidak lagi diteruskan.

Caranya?

Untuk elakkan konflik perundangan, elok diasingkan urusan pendakwaan yang didelegasikan kepada satu kumpulan diketuai Ketua Pengarah Pendakwaan. Kuasa mutlak memutus atau meneruskan kes mahkamah harus dilihat dalam konteks panel. Contohnya dalam kes melibatkan seorang pemimpin negeri semasa era kerajaan PH, kes sudah berjalan, tetapi ‘putus separuh jalan’.

Semasa dulu waktu negara muncul sebagai Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Merdeka 1957 di bawah nasihat Jawatankuasa Reid, perkara ini sudah dipersoalkan. Malah mengikut draf yang dibuat di England, ia sudah ada perubahan pada 1970 dengan diwujudkan lantikan Pengarah Pendakwaan (Director Prosecution). AG di England tidak kedengaran lagi suaranya. Bagaimanapun di Malaysia, ia memerlukan pindaan Perlembagaan daripada pentadbiran undang-undang yang boleh dibuat di bawah suruhanjaya perkhidmatan undang-undang dan kehakiman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×