ADA orang bercakap, kalau pemimpin politik mula asyik bercerita pasal perpaduan, itu petanda pilihan raya umum sudah dekat.
Saya ajukan pertanyaan kepada Penegrusi Biro Perpaduan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), AZMAN MOHD. HASHIM kerana kebetulan biro itu baru dilancarkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Isnin lalu.
Jawabnya, ada benar dan tidak benar. Sambil berseloroh beliau berkata, petanda paling ketara adalah apabila wakil rakyat kerap balik kawasan tiudak seperti sebelum ini.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN, Azman, 53 berkongsi panduannya tentang perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini. Juga fungsi dan objektif Biro Perpaduan Pejuang.
UTUSAN: Isnin lalu, Pejuang memperkenalkan barisan ahli majlis eksekutif pusat parti juga mengumumkan pelantikan ketua jawatankuasa-jawatankuasa bagi Biro Kebajikan, Biro Guaman, Biro Ekonomi dan Biro Perpaduan. Adakah ini persiapan kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam masa terdekat?
AZMAN: Bukan sebab pilihan raya. Dengan keadaan kita diletakkan dalam undang-undang darurat, masalah pandemik Covid-19 yang masih belum nampak jalan penyelesaian, kita tidak tahu bila PRU-15 nak dibuat.
Kita harap bukan dalam masa terdekat sebab tempoh penggal PRU-14 ada lagi sehingga 2023. Lagi satu sebab, pandemik Covid-19 membahayakan nyawa, takkan nak diadakan juga pilihan raya. Kita tidak mahu ulang kesilapan pada Pilihan Raya Negeri Sabah lalu hingga kes positif Covid-19 naik mendadak.
Lagipun Biro Perpaduan Pejuang sudah merangka banyak program untuk mempromosi dan memupuk perpaduan. Program-program ini sepanjang masa, bukan tujuan pilihan raya sahaja.
Bagaimana anda melihat tahap perpaduan dalam kalangan rakyat sekarang?
Saya suka nak terangkan dengan menjelaskan dahulu suasana Malaysia yang unik. Kita tidak mengamalkan sistem asimilasi sejak mula-mula mencapai kemerdekaan. Negara yang mengamalkan sistem ini, rakyatnya ada satu identiti sahaja seperti satu bahasa dibenarkan. Tapi di Malaysia, setiap kaum dibenarkan mengekalkan identiti, budaya, agama. Boleh berbahasa Mandarin, Tamil dan bebas menganut Buddha, Hindu dan sebagainya.
Kita di Malaysia walaupun dibesarkan dalam pelbagai kaum, ada Melayu, Cina, India, etnik-etnik lain, ibu bapa dan guru secara natural mendidik kita menghormati rakan-rakan dan jiran-jiran yang berbeza agama, bahasa dan budaya. Secara tidak langsung kita sudah didedahkan kepada konsep perpaduan sejak kecil.
Generasi sekarang bukan macam mereka yang membesar pada 1960-an dan 1970-an. Yang mana datuk nenek yang datang dari negara asal masih hidup, masih mengingatkan mereka tentang asal usul.
Generasi yang ada sekarang benar-benar berjiwa Malaysia. Lahir dan dibesarkan di Malaysia, tidak kira apa kaum. Jadi, perpaduan antara rakyat adalah baik secara keseluruhan. Tidak dinafikan semua perkara tidak 100 peratus sempurna lebih-lebih lagi kita yang berbeza bahasa, agama dan budaya. Namun kalau ada pun masalah, kita mampu uruskan.
Secara ringkasnya, tahap perpaduan semua kaum di negara ini memang tinggi. Semua kaum bersetuju apabila kita cakap kita tolak pemimpin korup dan salah guna kuasa juga mengamalkan kleptokrasi.
Apa kelemahan-kelemahan yang boleh diperbaiki bagi mengukuhkan lagi perpaduan?
Saya berpendapat, kita harus berterusan mempromosi kesedaran tentang pentingnya perpaduan terutama budaya hormat menghormati, toleransi antara kaum.
Dari segi pendidikan juga penting. Pendidikan bukan sahaja di sekolah malah dari rumah. Bermula dengan ibu bapa mengajar anak masing-masing menghormati kaum-kaum lain. Dengan cara ini, saya percaya perpaduan kaum dapat diurus dengan baik sekali gus menjamin keharmonian.
Komen anda tentang Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, baru-baru ini?
Untuk tujuan memupuk perpaduan negara, saya alu-alukan. Ia sebuah dasar yang akan dilaksanakan untuk jangka masa 10 tahun hingga 2030. Jadi, kita harap ia dapat dilaksanakan seperti mana dibentangkan. Dengan tiga teras utama disokong 12 strategi, ia sudah merangkumi semua aspek untuk memelihara perpaduan. Tapi ini di atas kertas. Kita lihat nanti pelaksanaannya macam mana.
Namun ada perkara yang saya sedikit tidak setuju apabila masih diungkit peristiwa 13 Mei 1969. Dalam buku dasar itu ditulis, tragedi 13 Mei 1969 adalah pencetus kepada usaha dan komitmen kerajaan dalam menangani isu perpaduan. Saya rasa tidak perlu kita kaitkan lagi kisah sejarah hitam untuk justifikasi usaha memupuk perpaduan di zaman sekarang.
Itu kisah 52 tahun dahulu. Rasanya sudah tidak relevan lagi. Sudah terlalu klise. Saya lebih suka kita ambil kajian komtemporari. Sesuai pada zaman ini, era terkini, persekitaran terkini.
Lagi satu, dalam buku dasar tersebut dinyatakan salah satu cabaran perpaduan adalah persekitaran politik berasaskan perkauman. Saya tidak setuju dengan kenyataan ini sebab tiada politik yang berasaskan perkauman. Yang ada politik berasaskan kaum. Yang perkauman adalah individu tertentu, yang mungkin datangnya dari suasana politik yang tidak berasaskan kaum.
Bagaimanapun, saya ucapkan tahniah dan selamat berjaya dalam melaksanakan Dasar Perpaduan Negara.
Apa peranan boleh dimainkan oleh Biro Perpaduan Pejuang untuk rakyat pelbagai kaum?
Mula-mula perlu kita fahami. Biro Perpaduan adalah biro dalam parti politik.
Fungsi utama kami adalah sebagai jambatan penghubung antara parti dan kaum-kaum yang ada. Ahli-ahli jawatan kuasa bukan sahaja di peringkat pusat malah di setiap negeri. Maka aktiviti kami, insya-Allah akan sampai kepada semua rakyat.
Selain mempromosi perpaduan antara kaum, peranan biro adalah menyampaikan maklumat tentang matlamat perjuangan parti iaitu menentang rasuah, salah guna kuasa dan amalan kleptokrasi.
Seperti mana kita tahu, banyak maklumat daripada media sosial yang tidak pasti kesahihan kandungannya. Mungkin ia dibuat oleh mereka yang membenci kita atau cybertrooper, Justeru, tugas kita adalah menerangkan kepada rakyat yang maklumat itu bukan daripada kita.










