Usahakan 81,000 hektar tanah terbiar - Utusan Malaysia

Usahakan 81,000 hektar tanah terbiar

Kita masih bergantung kepada daging import dari negara-negara luar seperti Australia, New Zealand dan India. – Gambar hiasan/Abdul Rashid Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Negara dikejutkan dengan isu daging import yang menggunakan loga halal palsu, baru-baru ini. Rupa-rupanya, perkara ini berjalan sekian lama tanpa disedari. Lebih menyedihkan, logo halal disalahgunakan dengan cara begitu licik sekali.

Negara kita menghadapi cabaran getir apabila sumber makanan bernilai RM45 bilion diimport dari luar. Daging dibeli dari Australia, New Zealand dan India. Buah-buahan diimport dari Amerika Syarikat dan Australia. Begitu juga bekalan ikan dari Thailand, sayur-sayuran dari Holand, susu segar dari Australia dan New Zealand serta pakaian dari China. Dikatakan sesebuah negara yang lemah adalah negara yang tidak mampu mengeluarkan makanan untuk keperluan rakyatnya sendiri.

Rakyat amat sedih apabila mendapati beberapa projek yang mampu menghasilkan makanan dan sayur-sayuran segar kurang mendapat sambutan. Kita sudah tidak mendengar lagi Rancangan Buku Hijau. Tiada lagi promosi dan galakan minum air kelapa muda di hotel-hotel besar. Sayup-sayup kedengaran projek fertigasi sayur-sayuran di bandar. Begitu juga projek-projek agro tani yang mampu menghasilkan daging segar daripada ternakan puyuh, rusa, selembu, seladang dan kerbau.

Namun demikian, Belanjawan 2021 memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk projek pertanian organik, RM150 juta penambahbaikan nelayan serta RM100 juta projek ternakan dan pertanian berimpak tinggi. Rakyat mengharapkan peruntukan yang disediakan mampu menambah keupayaan petani, penternak dan peladang untuk menambah penghasilan keluaran makanan negara.

Pada masa sama, kita mendengar beribu-ribu rakyat menghadapi masalah kesihatan jantung, hati, hempedu dan buah pinggang a akibat kekurangan pengambilan serat, daging segar dan ikan segar. Akibatnya, kos perubatan rakyat meningkat. Kerajaan pula perlu menampung kos tinggi berkenaan. Oleh yang demikian, pemakanan seimbang amat diperlukan. Tentu sekali pemakanan seimbang datang daripada sumber makanan berkhasiat dan segar.

KHAZANAH

Amat malang sekali, dalam masa negara bergelut dengan usaha untuk menggembleng tenaga menghasilkan makanan sendiri, mengurangkan import dan meningkatkan eksport, kita digemparkan dengan isu daging import yang disalahgunakan. Permit dan logo serta sijil halal yang asli dipalsukan. Sesungguhnya, mereka yang terlibat dalam perkara ini merupakan petualang bangsa, agama dan negara. Tindakan sekeras-kerasnya perlu diambil pihak berkuasa.

Walaupun demikian, selain tindakan tegas, kita perlu mencari jalan penyelesaian kepada kekurangan keluaran makanan dalam negara. Fakta yang amat penting adalah negara kita mempunyai khazanah pertanian dan makanan yang kaya dan tanahnya subur serta topografi yang sesuai untuk pelbagai jenis tanaman dan ternakan. Buktinya, kita mampu menghasilkan sayur-sayuran, epal, strawberi dan teh berkualiti di Cameron Highlands, ternakan lembu di Pahang, epal di Sabah dan ikan air tawar di seluruh negara.

Barangkali kelemahan kita adalah penggunaan teknologi tinggi dan kelemahan modal insan dalam bidang pertanian dan ternakan. Sedihnya, apabila pakar-pakar yang berada di universiti yang terletak di luar bandar melupai keutamaan penyelidikan dalam bidang pertanian tetapi lebih cenderung menyelidik isu-isu berkaitan keperluan di bandar. Ramai juga yang menggugurkan silibus pertanian dalam program akademik mereka.

Sehubungan itu, jalan penyelesaian perlu dicari. Salah satu cara untuk menambah baik pengeluaran hasil pertanian dan ternakan adalah melalui wakaf ternakan dan pertanian. Secara umumnya, dana wakaf boleh dikumpul melalui pelbagai cara. Kerajaan boleh mengeluarkan wakaf irsod, wakaf tunai boleh dijana melalui pendanaan awam dan sebagainya.

Dengan pengumpulan dana wakaf ini, bantuan loji dan jentera pertanian dan penternakan boleh disumbangkan (secara wakaf) kepada badan-badan berkaitan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Felda dan Felcra.

TERBIAR

Lagipun, dilaporkan kira-kira 81,000 hektar tanah pertanian terbiar berpotensi untuk dimajukan di seluruh negara. Dalam hal ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mampu memberi khidmat nasihat berkaitan potensi tanah untuk maksud perternakan dan pertanian berskala besar serta berimpak tinggi.

Sudah tentu kita perlukan penyelarasan dan kepimpinan. Maka, Dasar Pertanian Negara perlu dikaji semula secara bersepadu termasuk perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pensijilan halalnya. Justeru, satu Pelan Induk Penternakan dan Pertanian Negara perlu diperkenal dan dilaksanakan. Semua pihak termasuk agensi berkaitan pertanian (ABP) dan pemegang taruh yang berkaitan hendaklah bahu-membahu menjayakannya.

Begitu juga modal insan yang perlu diberi latihan dan bantuan berkaitan. Dalam hal ini, pihak universiti mampu menyediakan tenaga pakar dan penyelidik manakala Kementerian Sumber Manusia dan agensi-agensi kerajaan yang lain boleh mengendalikan latihan.

Dalam usaha bersepadu untuk menjayakan pengeluaran makanan berkenaan, selain ABP, agensi lain seperti Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (Jawhar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia, universiti awam dan swasta, Jabatan Hutan, Jabatan Kimia serta Jabatan Pengairan dan Saliran perlu mengorak langkah lebih serius dalam perkara ini.

Namun demikian, semangat dan buah fikiran sahaja masih belum mencukupi. Yang lebih penting adalah mengorak langkah dengan mantap untuk melaksanakannya. Justeru, sektor awam dan kerajaan perlu dibantu dan disokong kuat sektor swasta yang mempunyai kepakaran tinggi. Pakar-pakar pertanian dan penternakan yang ada di dalam negara perlu digembleng bersama pakar dari luar negara.

Namun, yang kita risaukan adalah kecurangan dan kesialan yang menjadi duri dalam daging.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) dan pensyarah bidang hartanah dan wakaf di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×