Risau selipar nenek hanyut - Utusan Malaysia

Risau selipar nenek hanyut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali banjir, saya pasti terkenang satu peristiwa yang berlaku lebih 10 tahun lalu. Ketika itu di kampung di Kuala Terengganu, saya dikejutkan pada awal subuh oleh arwah ayah. Ayah memberitahu, kami perlu bertolak pulang pada masa itu juga bagi mengelak terkandas dalam perjalanan.
Hujan begitu lebat dan air mula bertakung di pekarangan rumah arwah atuk. Kami memeluk dan mencium atuk dan nenek sebelum masuk ke kereta. Seperti biasa, atuk mengucapkan selamat tinggal dalam bahasa Jerman, auf wiedersehen sambil melambai sehingga kami hilang dari pandangannya.
Sepanjang perjalanan, banyak kawasan telah dinaiki air. Di beberapa kawasan rendah, air sudah melimpah ke atas jalan. Kami semua berdoa agar tidak terkandas. Itulah kali pertama saya melihat sendiri keadaan banjir teruk.
Setibanya di ibu negara, kami mendapat maklumat, beberapa jalan dilalui tadi telah ditutup oleh pihak berkuasa. Mujurlah kami selamat.
Tiba-tiba saya diberitahu, pekarangan rumah nenek sudah digenangi air. Pada usia itu, saya amat risaukan kasut dan selipar nenek, kalau-kalau dihanyutkan air banjir. Risau bagaimana atuk dan nenek mahu keluar membeli makanan jika semua kasut dan selipar hanyut?

INSAN TERSAYANG
Semasa menonton siaran berita di televisyen, barulah saya sedar, bukan hanya selipar mangsa yang hanyut tetapi juga kehilangan segala-galanya termasuk insan tersayang.
Namun, ketika banjir ada yang mendapat rezeki dengan menangkap ikan air tawar. Ada pula yang seronok bermain air. Malah di sesetengah tempat, keadaannya seolah-olah sebuah pesta. Mungkin kerana saya tidak pernah bermain air banjir, sukar untuk saya bayangkan suasana itu.
Pada masa sama, aspek kesihatan dan keselamatan mesti diutamakan, tambahan kita sedang berdepan penularan pandemik Covid-19. Selain aliran air deras, terdapat bahaya lain seperti penyakit bawaan air dan binatang berbisa. Terdapat juga mangsa yang cedera akibat renjatan elektrik ketika mengharung air banjir.
Dalam keghairahan merakam suasana banjir dan ombak besar untuk dimuat naik ke media sosial, ada yang leka dan mengabaikan aspek keselamatan diri. Ada juga pemandu yang cuba meredah banjir tanpa memahami keadaan jalan raya serta gagal mengagak kedalaman dan kederasan air.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga mangsa-mangsa banjir diringankan beban dan mendapat pertolongan Allah SWT berkat kesabaran mereka. Bersyukurlah bagi kita yang selamat. Al-Fatihah kepada mereka yang terkorban dan takziah kepada keluarga mereka khususnya rakan saya, Abang Aqil yang kehilangan dua orang saudara terdekat. Mudah-mudahan keadaan negara akan segera pulih.

PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×