Politik kita masih di takuk lama - Utusan Malaysia

Politik kita masih di takuk lama

Suatu ketika rakyat memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dengan harapan parti-parti dalam gabungan tersebut mampu membawa perubahan kepada tadbir urus negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mencatat sejarah dalam politik kepartian di Malaysia. Buat pertama kalinya selepas negara mencapai kemerdekaan, tampuk kekuasaan negara diambil alih oleh satu kuasa gabungan baharu iaitu Pakatan Harapan (PH). Sokongan rakyat kepada PH adalah bersandarkan bahawa parti-parti dalam gabungan tersebut mampu membawa perubahan kepada tadbir urus negara.

Bagaimanapun, setelah 22 bulan pemerintahan PH, keadaan politik negara masih lagi hangat dan terus meresahkan apabila kestabilan ekonomi mendapat perhatian dan kritikan berterusan daripada rakyat. Kegagalan menunaikan sebahagian besar janji dalam manifesto terus mengundang kritikan.

Krisis dalaman PH sampai ke kemuncak apabila beberapa pemimpin kanan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak meninggalkan pakatan tersebut, seterusnya bersama UMNO, Pas dan beberapa parti lain di Sarawak membentuk satu gabungan kerajaan yang baharu tanpa melalui pilihan raya.

Harapan rakyat untuk melihat pembaharuan politik dan pentadbiran negara di zaman PH pudar apabila timbul pelbagai isu. Kemelut politik dalaman PH menyumbang kepada tumbangnya kerajaan ‘Malaysia Baharu’ selain isu ketegangan kaum dan polemik berkaitan jawatan Perdana Menteri.

RAKUS

Isu ini jelas menunjukkan elit politik masih lagi rakus dengan kepentingan untuk mendapatkan kuasa peribadi. Isu perebutan kuasa berkaitan siapa dan parti mana yang harus menjadi Perdana Menteri sentiasa berlegar sepanjang pemerintahan PH sehinggalah membawa kepada runtuhnya sebuah kerajaan tanpa sempat untuk membuktikan apa-apa pembaharuan kepada rakyat melainkan hanya perebutan kuasa demi kepentingan peribadi elit politik.

Mutakhir ini, UMNO, Pas dan Bersatu juga kelihatan kembali berpolemik. UMNO berulang kali bertegas untuk tidak menjalinkan kerjasama secara rasmi dengan Bersatu dalam menghadapi PRU-15. Namun demikian, Pas dilihat lebih terbuka dalam menjalinkan kerjasama bersama UMNO dan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) dan juga Muafakat Nasional (MN) atas alasan memperkukuhkan politik Melayu-Islam.

Pas mengulangi pendirian bahawa ketiga-tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Bersatu tidak akan mampu mencapai kemenangan dalam PRU-15 jika bertanding secara berasingan. Justeru, langkah selamat adalah dengan kekal bergerak sebagai sebuah gabungan sama ada melalui PN atau MN bagi menghadapi saingan daripada PH.

UMNO juga menegaskan, Pas harus mencari jalan keluar daripada PN kerana kedua-dua parti tersebut telah menandatangani perjanjian dalam MN. Gabungan UMNO bersama Bersatu dalam kerajaan hanyalah melibatkan ahli Dewan sahaja dan bukannya kerjasama politik. Hal tersebut bakal mengundang polemik baharu terhadap kedudukan dan kestabilan kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU-15.

Keengganan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Bersatu memberi isyarat bahawa UMNO masih lagi ingin mempamerkan kekuatannya sebagai parti dominan kepada orang Melayu yang ingin bertanding sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya, seterusnya menunjangi kembali kerajaan. Sekiranya tiada persefahaman dicapai, ada kemungkinan UMNO, Pas dan Bersatu akan bertembung sesama sendiri dalam PRU-15, khususnya di kawasan majoriti Melayu sekali gus mampu menyebabkan kekalahan. Hal yang harus difikirkan adalah ketiga-tiga parti tersebut berkongsi segmen pengundi yang sama, iaitu Melayu.

BERCAKARAN

Persoalannya, adakah Pas bersedia mengorbankan kerusinya di Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi memberi laluan kepada UMNO atau Bersatu bertanding dan begitulah sebaliknya? Sekiranya kerjasama politik masih gagal dicapai, maka negara sekali lagi bakal berdepan dengan krisis politik baharu pasca PRU-15 sekiranya tiada parti berjaya mencapai majoriti kerusi di Parlimen.

Hal ini jelas menunjukkan gaya berpolitik dalam kalangan elit politik sama ada semasa era pemerintahan PH dan PN tidak banyak bezanya. Elit politik masih lagi mengekalkan sikap kurang matangnya dalam berpolitik apabila lebih mendahulukan kepentingan kuasa peribadi dan saling bercakaran berbanding memikirkan kepentingan rakyat.

Gerakan sivil yang dipacu rakyat bagi memoralkan politik dan pentadbiran negara masih gagal dicapai apabila masa depan negara masih dicatur oleh elit politik berkepentingan. Definisi politik baharu yang dicanang oleh ahli akademik juga masih gagal diterjemahkan secara lahiriah apabila definisi itu hanya diukur berdasarkan runtuhnya unsur primordial dalam pilihan raya dalam kalangan pengundi sahaja tetapi gagal melihat perubahan tindak-tanduk elit politik yang masih mengamalkan praktis politik lama yang kurang matang serta rakus kepada kekuasaan sehingga menyebabkan negara berada dalam keadaan kurang stabil.

DR. Ilyas Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN