Pemakanan bukan sahaja halal tapi... - Utusan Malaysia

Pemakanan bukan sahaja halal tapi…

PENDUDUK Wuhan, China, gemar memakan haiwan eksotik kerana ia dikatakan mempunyai khasiat yang tersendiri. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAIWAN eksotik merangkumi perbincangan dari pelbagai sudut seperti ekologi dan pemakanan. Haiwan eksotik dalam konteks pemakanan merupakan jenis-jenis haiwan yang bukan menjadi kelaziman dalam masyarakat untuk dijadikan hidangan, bahkan dianggap jijik untuk dimakan misalnya tenggiling, kelawar, ular, katak, labi-labi, serigala dan anjing.

Tidak terlintas di fikiran kebiasaan manusia untuk menjadikan haiwan-haiwan tersebut sebagai santapan harian. Apabila dibayangkan sebagai makanan, ia boleh menimbulkan rasa geli dan loya.

Namun, hidangan berasaskan haiwan-haiwan tersebut bukanlah sesuatu yang asing bagi sesetengah masyarakat, bahkan ia menjadi kegemaran dalam sesetengah budaya.

Sekiranya berkunjung ke Pasar Tomohan di Sulawesi Utara, Indonesia atau Pasar Makanan Laut di Wuhan, China, hidangan eksotik dijual dalam pelbagai jenis masakan, seperti sup, salai dan goreng.

Hidangan eksotik menjadi pilihan kerana ia digembar-gemburkan dengan khasiatnya yang tersendiri. Antara dakwaan berhubung khasiat haiwan eksotik ialah berupaya mencegah dan merawat penyakit, melancarkan peredaran darah, menambah tenaga dan mengekalkan awet muda. Misalnya, sisik dan darah yang diambil daripada tenggiling dikatakan boleh merawat barah.

KEPUPUSAN

Meskipun sehingga kini tiada bukti saintifik tentang keberkesanannya, ia masih diburu untuk tujuan berkenaan sehingga spesies-spesies tenggiling menghadapi risiko kepupusan. Tambahan pula, terdapat penemuan saintifik yang menunjukkan haiwan-haiwan eksotik yang dijadikan makanan menjadi punca kepada tersebarnya wabak penyakit yang mengancam kesihatan global.

Walaupun dakwaan mengenai punca perebakan itu merupakan suatu perbincangan sensitif, ia juga merupakan suatu peringatan yang penting. Manusia perlu kembali mencari pedoman dan panduan daripada agama untuk mengelakkan kesan buruk yang tidak dapat dijangka.

Dalam Islam, apabila membincangkan perihal pemakanan, terdapat panduan asas perlu dijadikan pegangan, iaitu mengamalkan pemakanan yang bukan sahaja halal tapi baik. Perkara ini disebutkan dalam surah al-Maidah, ayat 88, yang bermaksud: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik.”

Pada masa sama, al-Quran turut memperincikan tentang pengambilan makanan yang tidak baik. Hal ini ditekankan dalam surah al-A’raf, ayat 157 yang bermaksud: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

Menurut al-Maraghi dalam kitab tafsir yang ditulis olehnya, ‘benda yang buruk’ atau perkataan Arabnya, al-khaba’is merujuk kepada makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya. Hal ini berbeza dengan al-tayyibat, iaitu makanan baik-baik disukai dan diingini oleh jiwa manusia yang bersih. Haiwan eksotik yang dijadikan makanan merupakan sesuatu yang jijik dan bersalahan dengan naluri manusia yang sukakan kepada perkara baik.

Pengambilan sesuatu bersifat baik bukan sahaja ditekankan dalam pemakanan, bahkan turut ditekankan dalam perubatan. Hal ini berdasarkan satu hadis daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan Nabi Muhammad SAW melarang daripada menggunakan ubat-ubatan yang tidak suci (najis), (hadis riwayat Abu Daud).

UBAT

Bagi menghuraikan perkara ini, Al-Tibi dalam penulisannya, iaitu al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan memperincikan bahawa sesungguhnya Allah SWT menciptakan bagi setiap penyakit itu ada ubatnya sama ada yang haram atau yang halal. Namun, pengambilan sesuatu yang haram meskipun bagi tujuan berubat adalah dilarang terutama apabila terdapat pelbagai kaedah rawatan halal yang telah dipastikan keberkesanannya melalui kaedah saintifik.

Oleh yang demikian, bahan-bahan yang tidak halal dan diharamkan oleh Allah SWT seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran atau dijelaskan dalam hadis Nabi Muhammad SAW tidak boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit walaupun dalam kuantiti yang sedikit.

Selain daripada perspektif pemakanan, haiwan eksotik turut memberikan kesan tersendiri kepada alam apabila ia dikendalikan dengan sikap tidak bertanggungjawab. Dalam konteks ekologi, sesuatu haiwan dianggap sebagai sesuatu yang eksotik apabila ia dibawa ke dalam suatu ekosistem asing baginya.

Haiwan eksotik yang dilepaskan atau dibiakbakakan dalam ekosistem yang asing baginya boleh mengganggu organisma di habitat baharu. Haiwan eksotik yang bersifat invasif berupaya mendominasi habitat baharu dengan bersaing dengan organisma asal habitat tersebut serta merosakkan rantaian makanan sedia ada. Dalam kebanyakan kes, spesies invasif yang mencapai dominasi boleh memberikan kesan kekal kepada habitat tempatan dan akhirnya menjejaskan keseimbangan ekosistem.

Misalnya di Malaysia pada 2007, Jabatan Pertanian Terengganu mengesan spesies kumbang rumbia yang menjadi spesies invasif. Kumbang rumbia atau nama saintifiknya rhynchophorus ferrugineus menyerang dan merosakkan sekitar 550,000 pokok kelapa dan memberikan kesan buruk kepada industri kelapa. Kumbang yang berasal dari Timur Tengah dan Eropah ini telah membiak dengan pesat sehingga sukar dikawal.

Contoh lain yang boleh dirujuk ialah spesis katak rhinella marina yang merupakan spesies asli di bahagian tengah Amerika Selatan, bahagian tengah Amerika Syarikat dan Mexico. Ia dibawa masuk ke negara-negara yang mempunyai iklim panas seperti Australia untuk mengawal serangga perosak tanaman.

KEBAL

Namun, pertambahan jumlah spesis katak rhinella marina berlaku dengan mendadak dan tidak terkawal kerana haiwan pemangsa di habitat baharu tidak berfungsi seperti pemangsa di habitat asli katak tersebut. Pemangsa di habitat asli kebal terhadap bendalir beracun pada badan katak tersebut. Sebaliknya, pemangsa di habitat baharu tidak kebal dan terdedah kepada kematian sekiranya terkena bendalir tersebut. Akhirnya, pertambahan jumlah spesies katak ini menjejaskan keseimbangan ekosistem di habitat baharu.

Sekiranya haiwan eksotik dibawa masuk dari ekosistem luar melalui kaedah penyeludupan, maka ini merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Kerosakan alam yang disebabkan oleh perbuatan ini akhirnya akan turut menjejaskan kehidupan manusia.

Kesimpulannya, manusia sebagai khalifah di dunia ini perlu mentadbir alam dengan baik tanpa terpengaruh dengan nafsu, sikap tamak dan keinginan di luar tabii. Pengurusan dan penggunaan sumber alam perlu berlandaskan kepada fitrah kejadian setiap makhluk agar ia tidak menjejaskan kesejahteraan alam sejagat.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×