Mampukah kita sehebat The Dragons? - Utusan Malaysia

Mampukah kita sehebat The Dragons?

Barisan kesebelasan pemain pasukan bola sepak Bosnia-Herzegovina yang menyertai Piala Dunia 2014 di Brazil. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sewaktu berada di Bosnia-Herzegovina dahulu, saya sempat bertemu bekas jurulatih pasukan bola sepak Sarawak pada 2015, Fuad Grbesic. Pertemuan yang tidak dirancang itu membuatkan saya rasa teruja untuk mengetahui pengalaman Fuad sewaktu mengendalikan pasukan Bujang Senang itu.

Sekilas tentang Fuad, beliau lahir pada 1958 di Doboj, Bosnia-Herzegovina yang sewaktu itu masih berada dalam gabungan Yugoslavia. Fuad dan keluarganya terpaksa meninggalkan kampung halaman ketika negaranya berada dalam kancah perang saudara pada 1990-an. Kini, beliau bersama keluarganya menetap di Tuzla.

Fuad sudah bergelar pemain bola sepak seawal umur 13 tahun. Bakat dan pengalamannya dalam dunia kejurulatihan dilihat begitu berharga apabila Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bersetuju menerimanya menjadi jurulatih bagi pasukan dari Bumi Kenyalang itu setelah disyorkan oleh Muamer Salisbasic dari Bosnia yang pernah bermain dengan pasukan Sarawak.

Pada 2015, Fuad menjadi jurulatih bagi pasukan bawah 19 tahun dan pasukan utama Sarawak. Pada 2016, beliau menjadi jurulatih bagi pasukan Piala Presiden bawah 12 tahun dan pasukan Sukan Malaysia (Sukma) negeri itu. Selama tempoh dua tahun berkhidmat di Sarawak, beliau dapat melihat kelebihan dan kekurangan pemain-pemain Malaysia.

Menurut Fuad, dari sudut positif, para peminat bola sepak tempatan dilihat sentiasa menyokong dan mencintai pasukan mereka. Pasukan Sarawak dikatakan mempunyai ramai pemain yang sangat berbakat.

“Di Eropah, pemain-pemain bola sepak dilatih seawal umur enam, tujuh dan lapan tahun. Berbeza di Malaysia termasuk Sarawak yang bermula setelah tamat sekolah menengah.

“Tempoh pembangunan bola sepak bagi pemain baharu sehingga menjadi pemain profesional memakan masa hampir 10 tahun. Kelewatan melatih pemain-pemain ini merupakan salah satu masalah dalam pembangunan bola sepak negara,” katanya.

Menurutnya lagi, pendedahan tentang bola sepak seharusnya dibuat seawal kanak-kanak lagi. Pengurusan organisasi yang tersusun serta gandingan jurulatih berpengalaman dapat membantu meningkatkan kualiti pemain.

Dalam pada itu, Fuad mengakui sangat menyukai rakyat Malaysia yang begitu ramah dan baik hati. Cuaca panas dan makanan yang sedap dengan cita rasa pelbagai turut membuatkannya lebih jatuh hati dengan Malaysia.

“Saya menyukai Sarawak, khususnya Kuching kerana saya menghabiskan masa yang lama di sana,” katanya.

Mengikut sejarah, pasukan kebangsaan pernah bertemu dengan pasukan Bosnia-Herzegovina sebanyak tiga kali. Kali pertama pada 28 Februari 1997 di peringkat separuh akhir Piala Dunhill, menyaksikan kemenangan 1-0 berpihak kepada pasukan Bosnia-Herzegovina. Kemudian sekali lagi bertemu pada 25 Jun 2001 dalam Pesta Bola Merdeka yang berkesudahan seri 2-2. Sekali lagi dalam pertandingan sama, Bosnia-Herzegovina menewaskan pasukan Malaysia bawah 23 tahun dengan jaringan 2-0.

Fuad sangat mengagumi pasukan Johor Darul Takzim berikutan pengurusannya dilihat begitu tersusun dengan perancangan rapi serta kualiti stadium terbaik.

Kini Fuad menjadi jurulatih bagi pasukan muda di Bosnia-Herzegovina dan bersedia sekiranya dipanggil untuk berkhidmat dengan mana-mana pasukan di Malaysia.

PIALA DUNIA

Pada hari ini, ternyata kita dapat melihat di mana tahap bola sepak Bosnia-Herzegovina berada.

Buat kali pertama dalam sejarah bola sepak mereka, pasukan kebangsaan Bosnia-Herzegovina yang juga dikenali sebagai The Dragons berjaya mendapat tempat dalam edisi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Pada perlawanan pertama Kumpulan F, Bosnia-Herzegovina tewas tipis di tangan pasukan gergasi Amerika Selatan, Argentina 2-1. Kemudian tewas sekali lagi pada perlawanan kedua di tangan Nigeria 1-0 dan akhirnya berjaya menebus maruah pada perlawanan akhir peringkat kumpulan dengan membenam pasukan Iran 3-1. Namun, mereka gagal mara ke peringkat seterusnya.

Pasukan bola sepak tanah air kita juga dilihat agak meningkat dari segi prestasi dan kualiti permainan khususnya pada 2019 apabila berjaya menunjukkan saingan sengit di peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 bersama Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Adakah kita akan melihat sekali lagi perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Bosnia-Herzegovina? Atau mungkinkah kita dapat melihat ada dalam kalangan pemain tanah air dapat beraksi dengan mana-mana kelab bola sepak di Bosnia-Herzegovina?

Saya rasa mungkin ini saatnya kita kembali memfokuskan jalinan kerjasama dengan pasukan bola sepak Bosnia-Herzegovina.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN