NEGARA Serbia mungkin kurang dikenali oleh kebanyakan masyarakat kita, apatah lagi hubungan Malaysia dengan negara Balkan ini tidak pernah berada pada tahap memuaskan sejak 1990-an lagi. Pemegang pasport Malaysia sangat bertuah kerana boleh melancong ke setiap pelosok negara di Eropah dengan mudah tanpa visa. Namun, malangnya tidak untuk Serbia dan Ukraine yang memerlukan visa.
Kini, kita dapat lihat Serbia sangat berminat untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala menerusi pelbagai kerjasama, antaranya pendidikan. Apa yang penulis akan sampaikan kepada para pembaca pada hari ini sebenarnya begitu penting untuk kita ketahui dan menyambut seruan kerjasama mereka yang murni.
Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Kerjasama Antarabangsa (Adligat) merupakan gabungan para dermawan dan pencinta buku. Pertubuhan ini merupakan salah sebuah pusat kajian dan pendidikan utama di Serbia, inisiatif swasta yang mendapat sokongan daripada badan institusi negara mereka. Pertubuhan ini juga boleh dikatakan sebagai gabungan antara perpustakaan dan muzium yang menghimpunkan lebih dua juta buku dan bahan artifak sejarah dari negara-negara berbeza.
Adligat diasaskan oleh keluarga Lazic sekitar 250 tahun lalu dengan menjalankan pengumpulan buku-buku dan terlibat secara aktif dalam aktiviti kebudayaan. Pertubuhan bukan kerajaan ini mempunyai 53 pengasas terdiri dalam kalangan intelektual dari Serbia dan Eropah. Ia juga memegang 60 legasi dan peninggalan keluarga atau individu penting di seluruh dunia dan turut aktif menyertai banyak aktiviti kebudayaan dan sosial. Di sini turut tersimpan banyak koleksi buku yang unik, manuskrip, bahan arkib, lukisan dan pelbagai bahan bersejarah berkaitan kebudayaan.
PEMBURU
Menurut Presiden Adligat, Viktor Lazic, mereka merupakan sekumpulan pencinta buku dan pemburu ilmu pengetahuan.
“Kami sangat mencintai tanah air kami termasuklah negara-negara di seluruh dunia. Kami ingin menjemput anda semua untuk turut serta bersama kami.
“Kami juga sangat berminat untuk mempertingkatkan lagi hubungan antara Serbia dan Malaysia,” katanya.
Untuk mencapai objektif tersebut, Kelab Persahabatan Malaysia-Serbia ditubuhkan pada April 2019. Ia ditubuhkan menerusi kerjasama antara Adligat dan Kedutaan Malaysia di Belgrade. Kelab ini menjadi tumpuan utama warga Serbia yang mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan Malaysia. Sebagai contoh, mereka yang pernah bekerja di Malaysia, pengembara, pasangan kahwin campur dan sesiapa sahaja yang ingin mengetahui tentang Malaysia secara lebih terperinci.
Antara inisiatif kelab berkenaan adalah mewujudkan Sudut Malaysia yang memuatkan koleksi buku dan bahan berkaitan Malaysia disumbangkan oleh Kedutaan Malaysia di Serbia dan Perpustakaan Negara Malaysia. Koleksi-koleksi ini merupakan sumber utama maklumat tentang Malaysia. Cabaran utama mereka adalah kesukaran untuk mendapatkan buku-buku dan bahan-bahan bersejarah dari Malaysia.
Nama Adligat sebenarnya adalah satu istilah profesional yang menerangkan tentang rangkaian buku-buku digabungkan dalam satu sampul yang sama. Dalam kes ini, ia bukan sahaja koleksi buku tetapi juga koleksi-koleksi kebudayaan, negara, bangsa yang bersama-sama duduk di bawah satu payung dan satu institusi.
PERMATA
“Kami berharap Malaysia akan menjadi permata bagi muzium kami. Projek-projek yang kami jalankan sememangnya dapat menghubungkan jurang antarabangsa dan kedua-dua negara ini.
“Kebudayaan adalah jambatan yang terkuat dan terakhir yang boleh dibuat,” jelas Lazic.
Adligat juga menubuhkan sebuah Muzium Buku dan Pelancongan (yang mana terdapat Sudut Malaysia di situ) dan Muzium Sastera Serbia dan Jabatan Legasi yang menerima banyak peninggalan penting dari Jerman, Kanada dan Jepun. Adligat turut mempunyai jaringan luas dalam kalangan ahlinya dan pencinta buku yang aktif di sekitar 40 negara. Objektif mereka untuk mengembangkan jaringan dan bersama-sama membantu mempromosi budaya Malaysia dan perasaan cinta dan hormat kepada buku dan budaya di seluruh dunia secara umum.
Pasti pembaca rasa teruja apabila sebuah negara yang terletak ribuan kilometer jauh menadah tangan untuk berdamai dan berkawan dengan kita. Sebagai sebuah negara yang mengutamakan semangat setia kawan, kita pasti akan menyambut hasrat tersebut. Buat pencinta buku, ambillah peluang sementara masih ada.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.









