Lagu sampai mesej - Utusan Malaysia

Lagu sampai mesej

PASUKAN keselamatan Colombia menyampaikan mesej penting kepada tebusan yang ditawan pemberontak menerusi kod Morse dalam muzik sebuah lagu. – SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU hari pada 2017 ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, kami berbual-bual sambil mendengar radio di dalam kereta. Tiba-tiba berkumandang sebuah lagu pop Latin yang sangat sedap didengar, lantas menarik perhatian kami. Muziknya rancak, irama menyenangkan dan nyanyian yang bagus.

Sambil berbincang mengenai lagu itu, arwah ayah mengingatkan kami supaya menyemak dahulu maksud seni katanya. Sejak kecil, ayah mengajar kami supaya berhati-hati dalam memilih lagu yang mahu kami dengar atau nyanyi. Banyak lagu merdu yang muziknya menarik, namun seni katanya mungkin membawa maksud negatif.

Itulah kali pertama saya mendengar lagu Despacito. Sampai di rumah, saya meminta kakak sulung menterjemahkan lagu itu kerana dia boleh berbahasa Sepanyol.

Setelah mendengarnya, kakak menerangkan apa yang diperkatakan dalam bait-bait liriknya. Malang sekali, lagu yang sesedap itu memperkatakan tentang perkara yang sangat bertentangan dengan prinsip moral agama kita.

Beberapa minggu kemudian, lagu Despacito diharamkan siarannya di stesen radio dan televisyen tempatan. Ada yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut dengan alasan maksud lirik lagu adalah perkara remeh.

Ada juga yang berhujah bahawa ia tidak berbahaya kerana ramai antara kita tidak memahami bahasa Sepanyol. Malah, lagu ini masih dimainkan di majlis-majlis dan dinyanyikan oleh anak bangsa kita tanpa rasa segan.

AKIDAH

Banyak lagu telah diharamkan demi memelihara maslahat masyarakat. Antara sebabnya kerana lirik mempunyai unsur keganasan. Ada pula yang bertentangan dengan nilai moral, normal serta prinsip agama dan budaya kita. Malah ada lagu yang membawa kepada unsur-unsur syirik, pemujaan syaitan serta boleh merosakkan akidah kita jika dinyanyikan.

Kadangkala terdapat lirik lagu yang pada zahirnya tidak bersifat negatif tetapi mengandungi maksud tersirat di sebaliknya. Contohnya, ramai yang tidak sedar akan maksud tersirat dalam lagu-lagu yang berkaitan dengan gerakan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT).

Bukan semua lagu ditulis untuk hiburan semata-mata. Seperti puisi, lirik lagu sering digunakan untuk menyampaikan mesej tertentu secara langsung atau tidak langsung. Irama lagu pula boleh mempengaruhi jiwa dan perasaan pendengarnya.

Mungkin ramai tidak sedar ada lagu yang ditulis khas untuk menyampaikan mesej penting pada saat kecemasan. Lagu Better Days nyanyian Natalia Gutierrez dan Angelo dicipta khusus sebagai satu strategi penting untuk menyelamatkan anggota tentera dan polis yang ditangkap pemberontak di Colombia.

Dengan menyertakan kod Morse ke dalam muziknya, kerajaan Colombia berjaya menyampaikan mesej penting kepada tawanan dan membawa kejayaan kepada misi menyelamat mereka.

Seni itu indah tetapi kita mesti bijak memilih apa yang baik untuk kita. Jangan biar jiwa kita dipengaruhi unsur-unsur negatif hanya kerana keseronokan dan hiburan.

PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×