Kenapa wang caruman KWSP kami disekat? - Utusan Malaysia

Kenapa wang caruman KWSP kami disekat?

BANYAK pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak berpuas hati kerana dikenakan pelbagai syarat untuk mengeluarkan caruman menerusi i-Sinar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ialah ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diluluskan pengeluaran wang menerusi i-Lestari pada tahun lepas tetapi ditolak permohonan di bawah i-Sinar berdasarkan keputusan dalam talian, 4 Januari lalu.

Saya berpendapat, penolakan ini berpunca daripada halangan yang dicipta oleh KWSP bagi menyusahkan ahli membuat pengeluaran. Pada awal pelancaran permohonan i-Sinar, KWSP membuat halangan pertama dengan mewujudkan dua kumpulan permohonan.

Permohonan kumpulan satu dibuka pada hujung Disember lalu dan kumpulan dua, 11 Januari baru-baru ini. Siapa yang mencipta dua kumpulan ini sedangkan cadangan yang dibuat dari awal ialah permohonan pengeluaran wang KWSP tidak disekat dengan pelbagai syarat yang mengarut?

Wang dalam KWSP adalah hak kami. Kenapakah kami disekat dengan pelbagai syarat? Sudahlah kami tidak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN), tidak layak mendapat bonus penjawat awam dan tiada bonus tahunan majikan swasta. Bahkan untuk mengeluarkan wang kami sendiri pun disekat.

Adakah KWSP melihat takwim sekolah 2021? Adakah KWSP tahu jadual asal permulaan sekolah sebelum dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah pada 20 Januari lalu? Bagi yang mendapat BPN, maka mereka boleh bersyukur dengan kurniaan wang kerajaan tersebut. Begitu juga dengan bonus penjawat awam yang akan dibayar mulai 25 Januari ini.

Namun, bagi kami yang ditolak permohonan i-Sinar pada 4 Januari lalu, apakah nasib kami? Masih menunggu permohonan rayuan baharu. Kemudian jika menerima keputusan gagal yang sama, apakah nasib kami?

Sedangkan wang yang ingin kami mohon keluarkan itu adalah wang caruman KWSP kami. Tahukah tentang tekanan hidup yang kami hadapi sekarang?

Saya ingin gambarkan situasi seorang ayah yang mempunyai tiga anak. Ayah ini sudah tidak mempunyai pendapatan tetap sejak beberapa tahun lepas sekali gus tiada caruman KWSP. Namun, dia pernah bekerja suatu ketika dahulu dan ada mencarum dengan KWSP. Si isteri pula seorang suri rumah yang sememangnya tidak mempunyai caruman KWSP.

Mereka suami isteri juga telah tertinggal daripada senarai BPN. Mereka juga bukan penjawat awam dan tidak layak menerima bonus yang diberikan kerajaan.

Maka si suami memohon i-Sinar. Tetapi keputusan diperoleh menyatakan dia tidak layak dan perlu membuat rayuan bersama dokumen sokongan pada 11 Januari lalu.

Tetapi si suami tiada slip gaji atau apa jua dokumen sokongan sebagai bukti kepada KWSP. Sebab itu, beliau tidak layak membuat pengeluaran i-Sinar.

Anak-anak pula akan memulakan persekolahan tidak lama lagi. Maka apakah nasib mereka sekeluarga?

MOHD. ZAKI AB. LATIF
Kajang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya