Kecewa KUPTM batal majlis konvokesyen - Utusan Malaysia

Kecewa KUPTM batal majlis konvokesyen

Amin Ilhan Muhd Khairul Amin gembira semasa Majlis Konvokesyen Medina Zaara secara pandu lalu, di Ampang, Selangor, baru-baru ini.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TUJUAN saya menulis untuk menyatakan kekesalan dan tidak puas hati terhadap Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) apabila mengambil jalan mudah untuk tidak menganjurkan majlis konvokesyen bagi 2020.

Tindakan pihak institusi tersebut amat mengecewakan kerana sewaktu surat kenyataan dikeluarkan Disember lalu, beberapa universiti awam dan swasta telah pun menganjurkan majlis konvokesyen dalam bulan itu. Antaranya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Johor.

Istiadat konvokesyen yang diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu tanpa sentuhan fizikal dengan hanya memberi sijil kepada penuntut masing-masing yang memakai pelitup separuh muka.

Malah beberapa prasekolah juga mampu menganjurkan majlis konvokesyen secara pandu lalu.

Amat mengecewakan apabila pihak universiti sebagai pusat ilmu pendidikan tinggi tidak mampu menggunakan minda dan kreativiti untuk meraikan kejayaan mahasiswa yang telah bertahun-tahun menimba ilmu.

Bukan sedikit masa, wang, air mata dan keringat yang pelajar-pelajar ini korbankan untuk meraih kejayaan demi mencapai cita-cita.

Ramai dalam kalangan mereka terpaksa menanggung hutang besar sementelah menuntut di universiti atau kolej swasta yang yuran pengajiannya jauh lebih tinggi daripada universiti awam.

Terdapat segelintir yang masih belum mendapat pekerjaan, ditambah dengan penularan pandemik Covid -19 yang sedang melanda. Setelah tamat pengajian, beginikah cara pihak universiti dan kolej meraikan mereka? Cukup mengecewakan.

Demi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, penuntut-penuntut membuat bantahan agar majlis konvokesyen mereka menjadi kenyataan sebagaimana Universiti Kuala Lumpur (UniKL) lakukan tetapi perkara sebaliknya yang berlaku.

Bantahan tersebut tidak dilayan malah sijil-sijil mula diberikan kepada penuntut dengan meminta mereka mengambil di universiti dan kolej.

Tindakan KUPTM amat memalukan. Janganlah hanya mahu membuat keuntungan tanpa mempedulikan perasaan dan memberi pengiktirafan ke atas usaha pelajar walaupun majlis yang mungkin diadakan hanya dalam kadar sederhana.

IBU YANG KECEWA
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya