Halal: Mampukah Jakim? - Utusan Malaysia

Halal: Mampukah Jakim?

Umat Islam disaran memboikot daging import daripada rumah sembelihan di Australia yang tidak patuhi protokol sembelihan halal. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERCAKAP soal halal, sudah pasti kita terbayang logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mempunyai nilai amat besar kepada rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam.

Pergilah ke mana restoran sekalipun, kita sering tercari-cari logo ini dan mahu melihatnya terlebih dahulu bagi memastikan premis yang dikunjungi itu memenuhi kehendak syariat. Biarpun terdapat beberapa premis yang meletakkan pelekat tertulis no pork, no lard, itu masih belum cukup menyakinkan bagi orang Islam yang mahu mencari makanan ataupun produk halal yang jauh dari perkara syubhah.

Malah bagi yang bukan Islam, mereka yakin bahawa apabila sesuatu produk atau premis mempunyai logo halal Jakim, maka tahap kebersihan dan kualiti tidak dikompromi.

Namun secara tiba-tiba rakyat ‘melompat’ selepas tersebar berita mengenai serbuan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) terhadap aktiviti menyeludup dan membungkus semula daging sejuk beku import di sebuah gudang di Senai, Johor pada 1 Disember lalu. Lebih menjadikan isu terbabit menarik perhatian apabila produk seludup itu diletakkan logo halal sebelum dijual ke pasaran seluruh negara.

GELI HATI

Apabila isu terbabit semakin panas dengan pelbagai cerita dalam media massa dan media sosial, rakyat tanpa usul periksa terus menghentam Jakim dengan pelbagai kritikan dan persoalan.

Saya yang melihat gelagat dan telatah ‘pakar’ halal dan import-eksport berlumba-lumba menghentam, berasa geli hati melihat sikap mereka. Bukan apa, tindakan mereka menghentam adalah lebih mudah berbanding mempertahankan Jakim yang selama ini berusaha memastikan semua pihak dapat menikmati pelbagai produk halal dan bersih.

Bagaimanapun, saya dari awal sudah sedia maklum bahawa Jakim bukanlah satu-satunya agensi yang bertanggungjawab ke atas pengiktirafan halal.

Perkara itu sendiri ditegaskan Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee melalui sesi bual bicara bertajuk SOP sijil halal: Di mana silapnya? secara langsung di Facebook rasmi Jakim, baru-baru ini.

Beliau berkata, proses mendapatkan pensijilan halal bagi daging import membabitkan 344 agensi yang masing-masing mempunyai peranannya tersendiri.

“Setiap proses mempunyai carta aliran melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Maqis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Melihat kepada isu yang timbul melibatkan penyeludupan daging, KPDNHEP yang bertanggungjawab menjalankan siasatan kerana ia berada di bawah bidang kuasa kementerian itu,” katanya yang pernah bertugas sebagai Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim. Saya yang mengikuti sesi temu bual itu juga rasa tercuit dengan pendedahan bekas Atase Halal di Australia itu mengenai keupayaan petugas pensijilan halal, pemantauan dan penguatkuasaan, yang mana perjawatan yang diluluskan dibuat pada 2009 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

LANGIT DENGAN BUMI

Beliau menyifatkan beban kerja pada hari ini dengan jumlah petugas, umpama langit dengan bumi. Lebih melucukan, Sirajuddin turut membuat perbandingan jumlah jarinya, lebih
banyak daripada petugas pensijilan halal.

Ini bukanlah kali pertama kita mendengar betapa terhadnya keupayaan sesebuah agensi kerana kelemahan ataupun tidak pekanya jabatan-jabatan tertentu dalam memastikan sesebuah kementerian ataupun agensi penguatkuasaan dapat beroperasi secara maksimum.

Penjelasan Jakim sebenarnya membuka mata semua pihak terutama mereka yang mengikuti siaran langsung berkenaan kerana sesuatu produk import perlu melalui pelbagai proses dan kelulusan agensi kerajaan.

Malah isu yang berlaku sekarang ini adalah kerana ada pihak tidak bertanggungjawab membawa masuk daging yang bukannya dari rumah penyembelihan diiktiraf Jakim.

Pihak yang tidak bertanggungjawab itu menggunakan bungkusan mempunyai sijil dari badan luar yang diiktiraf Jakim sedangkan daging terbabit bukannya datang dari saluran sama.
Bagaimanapun, bagi memperkasakan proses berkaitan logo halal, Jakim menggariskan enam perkara melalui Pelan Tindakan Menangani Isu Daging Seludup dalam memastikan aktiviti penyeludupan daging haram dan daging tidak berlogo serta tidak diiktiraf Jakim dapat ditangani secara menyeluruh.

HOLISTIK

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh turut berkata, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu membabitkan isu penyeludupan daging akan dimuktamadkan pada bulan ini.

Ini seiring dengan ketetapan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mahu mengkaji dan memperkasa SOP berkaitan logo halal.

Maka, sudah tiba masanya kerajaan membuat sesuatu yang holistik membabitkan penambahan kekuatan petugas semua agensi penguatkuasaan termasuk Jakim, pemerkasaan semua SOP import dan eksport serta hukuman yang setimpal dalam memastikan pihak tidak bertanggungjawab takut melakukan kesalahan.

Tindakan segera perlu dilakukan kerajaan yang mengawal semua kementerian supaya tiada lagi kata-kata daripada masyarakat bahawa kerajaan masih tidak belajar daripada pengalaman terdahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN