Betul ke orang Malaysia pengotor? - Utusan Malaysia

Betul ke orang Malaysia pengotor?

MASIH ramai dalam kalangan kita gagal mempraktikkan amalan kebersihan walaupun pelbagai kemudahan di tandas awam dinaik taraf. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sudah melangkah ke tahun 2021. Tahun yang masih tidak pasti matlamatnya memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir, ekonomi negara masih tidak menentu, isu pengangguran masih tinggi di negara ini dan pergolakan politik yang tidak sudah-sudah mengalahkan drama Korea.

Ketika masih bersekolah, saya selalu impikan untuk ke tahun 2020. Kononnya dunia memperlihatkan perubahan seperti segalanya menggunakan teknologi pintar, robot dan kereta terbang.

Sehingga ke bulan terakhir Disember lalu, kehidupan kita masih sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Tiada kereta terbang yang diharapkan. Tidak terlihat langsung kenderaan itu di atas jalan raya ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu oleh kerajaan demi memutuskan penularan pandemik Covid-19 selain disaran menjalani kehidupan dan aktiviti harian mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Norma baharu akibat Covid-19 bukan lagi menjadi isu kerana setiap rakyat sudah menerimanya dengan hati terbuka kerana ia berhubung soal kesihatan serta nyawa. Di sebalik cara kehidupan baharu itu, peliknya perkara berhubung kebersihan terutama di tandas awam masih lagi tidak berubah dan lebih mengecewakan, pada tahap terendah, sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia adalah pengotor!

Jangan terperanjat dengan kenyataan tersebut kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang gagal mempraktikkan amalan kebersihan walaupun pelbagai kemudahan di tandas awam dinaik taraf.

TABIAT BURUK

Ini kerana sikap mereka sudah menjadi tabiat yang sukar diubah. Jika diberi nasihat pun, silap-silap kita pula dimarahnya semula.

Perkara utama yang boleh dianggap ‘malang’ ketika memasuki tandas awam adalah melihat ‘sisa’ di mangkuk tandas yang tidak dibersihkan. Apa salahnya untuk membersihkannya sebelum keluar. Jika pam rosak, semburlah air sehingga bersih.

Satu lagi perkara yang pantang dilihat adalah sampah, puntung rokok dan tuala wanita yang dibuang merata-rata termasuk dalam mangkuk tandas. Eh, apa guna tong sampah yang disediakan itu, ya? Mustahil ia sekadar perhiasan.

Sedar atau tidak, tindakan tersebut akan menyebabkan tandas tersumbat dan menambah kos penyelenggaraan. Ini kerana bahan buangan tersebut tidak boleh terurai dengan sendirinya dan akan menyebabkan sistem perpaipan tersumbat.

Antara lain yang gemar dilakukan oleh rakyat tempatan adalah mencangkung di tandas duduk. Sekiranya anda berasa geli untuk duduk, bersihkanlah terlebih dahulu menggunakan tisu dan sanitizer atau paling mudah, carilah tandas cangkung.

MENJAGA KEBERSIHAN

Tindakan mencangkung di tandas duduk bukan sahaja menjengkelkan, malah mengundang bahaya kerana anda mungkin terjatuh kerana ia tidak mampu menampung berat badan.

Menurut laman sesawang mufti.pahang.gov.my, amalan menjaga kebersihan amat bertepatan dengan ajaran Islam, bahkan ia amat dituntut.

Allah SWT menyukai keindahan dan kebersihan. Ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu Maha Bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu Maha Mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu Maha Pemurah, Dia menyukai kemurahan, maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu”.

Pastinya kita pernah mendengar kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Oleh itu, ia perlu dilaksanakan pada setiap masa tanpa mengira tempat. Ini kerana perkara itu berkait rapat dengan soal kesihatan.

Maka, jika dengan sengaja tidak menjaga kebersihan dan kesucian, ia sama seperti mengabaikan sebahagian daripada nilai keimanan.

Sehubungan itu, latihlah diri untuk menjaga kebersihan dan buang sikap mementingkan diri sendiri. Ini kerana kemudahan tandas awam yang disediakan adalah untuk kegunaan orang awam.

Bayangkan jika anda marah melihat sisa najis dan sampah, begitu jugalah dengan orang lain. Bagi ibu bapa, mereka perlu memupuk sikap menjaga kebersihan sejak anak-anak masih kecil supaya menjadi tabiat apabila mereka besar kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN