Akta perolehan kita sudah lapuk - Utusan Malaysia

Akta perolehan kita sudah lapuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengikut portal rasmi Kementerian Kewangan, regime Perolehan Kerajaan menganduni lima prinsip utama iaitu akauntabiliti awam, diuruskan secara telus, nilai faedah terbaik, saingan terbuka, serta adil dan saksama.

Laporan media baru-baru ini mengenai kelewatan kontraktor menyiapkan pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menimbulkan tanda tanya.

Apakah lima prinsip yang disebutkan di atas hanya cantik pada kertas tetapi gagal dihayati sepenuhnya?

Enam tahun lalu, kerajaan menandatangani satu kontrak pembinaan enam buah LCS untuk kegunaan TLDM bernilai RM9.128 bilion dengan kontraktor, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS). Daripada jumlah itu, khabarnya sejumlah RM6 bilion sudah dibayar kepada kontraktor walaupun belum ada sebuah LCS yang siap dan dapat diserahkan kepada kerajaan.
Mengikut perjanjian (dimeterai pada Januari 2014) LCS pertama hendaklah disiapkan dan diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

Pada 29 Oktober 2019, Menteri Pertahanan pada ketika itu, Mohamad Sabu mendedahkan, selain kegagalan kontraktor menyiapkan reka bentuk terperinci, terdapat kualiti kerja yang tidak memuaskan, kerja tidak mengikut spesifikasi sehingga berlaku kerja berulang dan kerja-kerja tertangguh yang tinggi menjadi penyebab utama aset TLDM yang sepatutnya diterima oleh kerajaan daripada kontraktor pada April 2019 tidak diterima.

Mengikut portal berita https://www.freemalaysiatoday.com bertarikh 24 Ogos 2020, laporan rasmi Ketua Audit Negara (KAN) 2019 mendedahkan, walaupun kontraktor berkenaan lewat membuat penyerahan enam LCS terbabit, ia tidak dikenakan denda berjumlah RM116.54 juta, tahun lalu.

Laporan KAN itu menyebut, satu peruntukan dalam kontrak menyatakan sekiranya kontraktor lewat menyiapkan kerja mereka dan gagal menyerahkan kapal-kapal tersebut pada tarikh sepatutnya, maka denda hendaklah dikenakan pada kadar satu peratus daripada purata harga LCS tersebut.

Sekiranya kelewatan melebihi 12 bulan, kerajaan berhak menamatkan kontrak atau meneruskannya dengan memastikan syarikat menunaikan obligasi sambil menuntut ganti rugi ditetapkan (LAD).
Laporan KAN selajutnya menyatakan, sepatutnya denda lewat RM116.54 juta dikenakan kepada syarikat sehingga 31 Disember 2019. Malangnya, hingga 30 Jun 2020, walaupun kelewatan melepasi tempoh 12 bulan, Kementerian Pertahanan tidak mengeluarkan surat kepada syarikat menuntut denda lewat. Sebaliknya, kementerian hanya mengeluarkan notis peringatan pada 14 Jun 2019 atas kelewatan tersebut.

“Kelewatan menguatkuasakan syarat kontrak mengenai denda lewat menyebabkan kekurangan hasil kerajaan sejumlah RM116.54 juta bagi 245 hari sehingga 31 Disember 2019,” kata laporan KAN itu.

Laporan KAN itu juga menyatakan, bayaran kemajuan yang telah dibuat kepada kontraktor berjumlah RM910 juta melebihi tahap sebenar kemajuan kerja.

KELEWATAN

Pada 3 Ogos 2020, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Dewan Rakyat, Kementerian Pertahanan sedang menimbangkan untuk menamatkan kontrak. Beliau menambah, ada tiga cadangan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk menyelamatkan kontrak iaitu:

Pertama, projek diteruskan dengan melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat melalui Deed of Assignment dan menggunakan baki siling kontrak bagi menyiapkan sekurang-kurangnya dua LCS.

Kedua, projek diteruskan oleh BNS dengan baki siling kontrak menyiapkan sekurang-kurangnya dua LCS.

Ketiga, kontrak dengan BNS ditamatkan dan kementerian mencari usaha menyelamatkan kontrak.

Pada 22 Disember 2020, media melaporkan, Kementerian Pertahanan mengemukakan notis tuntutan LAD berjumlah RM180 juta kepada BNS, berasaskan kegagalannya menyiapkan dan menyerahkan enam LCS kepada keajaan.

“Susulan notis tuntutan berjumlah RM180 juta itu, RM80.6 juta berjaya dipungut pada Oktober lalu,’’ kata Ismail Sabri ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara.

Ringkasan fakta kontrak pembinaan LCS di atas menunjukkan:

Ada kelewatan serius oleh kontraktor menyiapkan kerja mengikut jadual.

Ada pembayaran kepada kontraktor satu jumlah yang jauh melebihi peringkat kemajuan kerja sebenar.

Ada kegagalan kerajaan (selaku majikan) menuntut LAD daripada kontraktor, sekali gus membuktikan ada kelemahan atau kegagalan mengurus dan mentadbir kontrak pembinaan kapal ini dengan efisien dan sempurna.

Pada 17 Disember lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberitahu media, pihaknya akan memanggil bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan kontraktor menyerahkan enam LCS itu kepada kerajaan. PAC juga akan memanggil bekas Panglima TLDM, Laksamana (B) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor (BNS).

Mengikut Ahmad Zahid (yang memegang portfolio pertahanan antara April 2009 hingga Mei 2013), pemberian kontrak bernilai RM9 bilion kepada BNS dibuat berasaskan rundingan terus, bukan tender terbuka.

Pemberian kontrak secara rundingan terus tidak salah kerana peraturan sedia ada mengizinkannya. Yang menjadi masalah adalah apabila pengurus dan pentadbir kontrak gagal memastikan kontraktor mematuhi sepenuhnya segala peraturan dan prosedur kontrak sehingga menyebabkan kelewatan dan kerugian kepada kerajaan.

Perlu diingat, walaupun Malaysia sudah lama merdeka dan berjaya menggubal beberapa undang-undang moden (seperti Akta Syarikat 2016), malangnya regime perolehan kita masih bergantung kepada undang-undang lama seperti Akta Prosedur Kewangan 1957, Akta Kontrak Kerajaan 1947, Akta Perwakilan Kuasa 1956 dan beberapa instrumen pentadbiran seperti Arahan Perbendaharaan, Pekeliling Perbandaharaan, Pekeliling Kontrak Pusat Persekutuan, dan Garis Panduan. Kita masih belum punyai satu akta perolehan moden seperti yang dikuatkuasakan di beberapa negara seperti Crotia, Denmark dan Jamaica. Singapura yang sudah lama ada Akta Perolehannya pada 1997, telah membuat Peraturan Perolehan yang terperinci pada 2014 lalu.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN