fbpx

17 Januari 2021, 11:01 pm

  TERKINI

Ajar generasi muda berempati

SIKAP tolong-menolong dan berempati wajar diterapkan kepada generasi muda kita. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHUN 2021 yang baru membuka tirai adalah cabaran baharu untuk kita semua. Hampir kesemua rakyat Malaysia terkesan dengan pandemik Covid-19.

Suka atau tidak, kita tidak mampu untuk mengubah apa yang berlaku dan harus hidup dengan norma baharu. Sejak berlakunya pandemik ini, kita dapat lihat sikap sebenar masyarakat terutama sikap-sikap yang baik seperti tolong-menolong antara satu sama lain, bertimbang rasa, ambil peduli dan bermurah hati.

Sejak bermulanya pandemik, kerajaan menyalurkan bantuan-bantuan yang perlu untuk seluruh rakyat seperti pemberian bantuan bersifat prihatin, bantuan kepada peniaga-peniaga kecil dan moratorium untuk pelanggan institusi kewangan.

Selain kerajaan, terdapat juga agensi bukan berasaskan keuntungan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang bersama-sama menyalurkan bantuan untuk golongan memerlukan.

Sikap tolong-menolong, berempati dan tidak mementingkan diri sendiri adalah sifat dan nilai murni yang sangat perlu dicontohi dan wajar diterapkan kepada generasi muda kita.

Empati ialah daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Ia harus ditanamkan ke dalam jiwa remaja kita dan sudah tentu ibu bapa adalah insan pertama yang harus menjadi ikon untuk dicontohi.

Dengan dunia siber dan teknologi sekarang, ramai remaja bersikap individualistik. Ia berpunca daripada pengaruh kurang sihat media Barat yang boleh merosakkan pemikiran dan tingkah laku mereka.

Justeru, penting sebagai ibu bapa dan penjaga untuk memberikan contoh yang baik serta menyemaikan sikap mulia kepada anak kita. Didik mereka untuk suka berbuat baik dan sentiasa prihatin dengan keadaan sekeliling.

ZANARIAH ABDUL RAHMAN
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor

BERITA BERKAITAN