1,001 kisah PdPR - Utusan Malaysia

1,001 kisah PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEKOLAH saya minta maaflah, tak merasalah (kelas online). Dengan kekangan liputan internet dan kemampuan waris hendak sediakan peranti, sebab 90 peratus dari kumpulan B40. Apabila pergi mesyuarat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), mereka sebut dan tekankan Pelajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Selagi itulah juga saya tekankan balik jangan letak harapan tinggi 100 peratus pelaksanaan (pengajaran) secara dalam talian.
“Iklim sekolah tidak sama. Jangan buat perbandingan epal dengan epal sebab tak adil untuk sekolah luar bandar macam kami. Kami ada kaedah sendiri. PdPR secara luar talian adalah wadah utama. Bahan-bahan secara dalam talian berfungsi sebagai tambahan atau bonus untuk mereka yang mampu dan berjaya tembusi talian.”
Ini antara reaksi guru yang berhadapan dengan pelbagai cabaran melaksanakan PdPr. Di sebalik pelbagai kekangan yang dihadapi para guru ini berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak didik mendapat ilmu.
Sebahagian daripada apa yang mereka lakukan itu adalah hasil inisiatif dan kreativiti sendiri. Langsung tidak ada dalam secara kaedah yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan.
Malah, demi memastikan anak-anak murid mereka tidak ketinggalan ada yang sanggup keluar duit poket sendiri untuk memastikan dalam apa keadaan sekali pun ilmu sampai kepada pelajar.

CABARAN BESAR
Ketika pandemik Covid-19 terus berada pada paras mengerikan, tidak ada cara lain untuk memastikan para pelajar sekolah rendah dan menengah untuk meneruskan pembalajaran mereka. PdPR adalah jalan penyelesaianya. Tetapi cabarannya pelaksanaannya cukup besar.
Dari segi bahan pengajaran, masa, kaedah pembelajaran dan medium yang digunakan tidak ada masalah. Yang menjadi masalah dan kekangan paling besar dalam pelaksanaan PdPR ini adalah liputan internet yang tidak menyeluruh.
Ada tempat ada liputan maksimum, ada pula yang sekerat-kerat dan ada yang langsung tiada. Ini menyebabkan kira-kira 236,993 guru sekolah rendah dan 179,750 guru sekolah menengah makan hati berulamkan jantung setiap kali menghadap komputer untuk memulakan kelas secara dalam talian.
Mereka bimbang ada kalangan anak murid yang akan tercicir kerana kawasan kediaman tiada liputan internet.
Ada juga kebimbangan ketika kelas berjalan talian tiba-tiba terputus kerana di negara kita ini liputan internet sangat tidak stabil. Waima yang tinggal bersebelahan kediaman Perdana Menteri di Putrajaya sekali pun liputan internet tidak stabil. Langgan pakej 100 gigabait (GB) yang dapat hanya 30 GB.

KOS MAHAL
Kos data telekomunikasi bagi anak-anak menyertai PdPR juga mahal sekali gus membebankan hidup kumpulan B40. Mereka mengeluh bukan hanya sebab data internet 1GB kerajaan tidak cukup, tetapi berdepan kelembapan dengan Internet percuma tersebut.
Memang ada perkhidmatan Internet berkapasiti 1GB percuma yang disediakan syarikat telekomunikasi untuk semua pengguna dari pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap hari. Perkhidmatan tersebut diumumkan menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek.
Tetapi tahukah kita 1GB itu berapa lama boleh tahan? Realitinya data 1GB hanya cukup untuk memuat turun program penstriman video selama 20 minit.
Jadi, macam mana untuk pelajar atau murid yang perlu menyertai PdPR lebih tiga jam sehari dengan lima hari seminggu?
Selain guru, ibu bapa juga tertekan ekoran anak-anak tercicir dalam pelajaran. Apa yang dikesalkan keciciran itu bukan disebabkan oleh mereka tetapi berpunca daripada sistem yang mereka bayar dan langgan. Berpunca daripada liputan telekomunikasi yang lemah.
Perkara ini sudah banyak kali diketengahkan dan dibangkitkan oleh akhbar kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! Daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada Mac 2020, hingga sekarang, dua akhbar ini tidak henti-henti membangkit isu liputan telekomunikasi dan internet ini. Tetapi sampai sekarang juga penyelesaian tidak ada. Sampai sekarang juga jurang diskriminasi digital sangat besar antara bandar dan luar bandar.
Setiap kali dibangkitkan masalah dihadapi oleh rakyat berhubung liputan telekomunikasi ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pun akan mengeluarkan kenyataan mereka melakukan itu dan ini. Antaranya meningkatkan liputan, membina menara baharu, memastikan capaian menyeluruh dan lain-lain lagi.

MANA HASILNYA?
Tetapi hasilnya apa? Hasilnya dapat dilihat pada hari pertama PdPR dilaksanakan pada 20 Januari lalu bagaimana ada ibu bapa yang terpaksa berkumpul dengan menghampar tikar dalam ladang kepala sawit kerana di kawasan itu sahaja yang ada liputan internet lebih baik.
Ada yang mengambil inisiatif mendirikan khemah untuk mengumpulkan pelajar di satu tempat yang ada liputan kuat. Apa yang menghairankan, kenapa di kawasan yang tidak ada penempatan seperti di tengah-tengah ladang kepala sawit, di dalam hutan di atas bukit dan di tepi laut ada liputan?
Tetapi di kawasan kediaman yang mana memang sah orang memerlukan kemudahan itu tiada liputan? Apa kriteria yang digunakan oleh SKMM dan syarikat telekomunikasi dalam menentukan kawasan liputan ini? Atau main tangkap muat sahaja dan selepas itu caj harga yang bukan-bukan kepada pengguna termasuk pelbagai caj tersembunyi.
Ketika liputan internet di bumi Malaysia yang tercinta ini masih huru-hara, apa yang boleh dibanggakan adalah komitmen dan usaha para guru untuk memastikan ilmu dapat disampaikan walau dalam apa juga keadaan.
Begitu juga dengan ibu bapa, sanggup berkorban wang ringgit menyediakan peranti untuk membolehkan anak belajar dan rela mengorbankan masa dan tenaga menemankan anak-anak ketika mereka menjalani proses PdPR nun di tengah-tengah ladang kelapa sawit, di pinggir hutan, di atas bukit mahupun yang menumpang internet di kedai kopi atau kedai mamak.
Memang apa yang mereka lakukan itu selari dengan kata-kata usaha tangga kejayaan atau peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Ketika negara kita berbangga dengan bermacam-macam pencapaian di peringkat antarabangsa dan serantau, kena panjat pokok rambutan untuk dapat liputan sudah tentu perkara yang terakhir kita mahu dengar.
Tetapi sekarang itulah yang berlaku saban hari ketika proses PdPR berlangsung. Kalau kita betul-betul jelajah setiap pelosok kampung, kawasan pedalaman dan kediaman kos rendah, tentunya bermacam-macam lagi kita akan temui.
Kadang-kadang apa yang berlaku ini tidak tercapai dek akal fikiran kita. Kenapa sudah masuk tahun 2021 masalah asas ini masih menghantui rakyat Malaysia. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×