Bagi pembaca yang mengikuti penulisan saya dalam Utusan Malaysia, pasti mengetahui sedikit sebanyak tentang Rusia. Di samping itu, pembaca juga banyak didedahkan dengan kehidupan komuniti Rusia di Malaysia yang berwarna warni. Apa yang lebih menarik, banyak fakta sejarah tentang hubungan Malaysia dan Rusia tidak pernah diketahui sebelum ini akhirnya berjaya dikongsikan dengan pembaca menerusi Utusan Malaysia yang saya sifatkan sebagai jambatan penghubung kepada kelangsungan hubungan kedua-dua negara.
Sebenarnya, ramai warga Rusia di Malaysia menjalankan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat. Ada yang menjalankannya sendirian, ada secara berkumpulan dan ada juga menubuhkan persatuan bagi melancarkan gerak kerja secara lebih teratur dan sistematik seperti Pertubuhan Warga Rusia di Kuala Lumpur atau singkatannya Russian Club. Pertubuhan ini didaftarkan secara rasmi pada 14 November 2018. Antara aktiviti yang dijalankan mereka termasuklah tayangan teater, drama dan boneka. Selain itu, mereka turut menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada anak-anak yatim dan golongan memerlukan di sekitar ibu kota. Valery Bocharov merupakan Pengarah Russian Club.
Pertubuhan ini boleh dikatakan sangat aktif dan program-program yang dijalankan mereka seperti Romantic Saxophone mendapat sokongan daripada ramai warga tempatan dan antarabangsa seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Ukraine, Georgia, Turkmenistan, United Kingdom dan Perancis.
Selain itu, mereka yang turut serta dalam setiap program pertubuhan ini mendapat pelbagai manfaat seperti berkenalan antara satu sama lain, menikmati keindahan lagu-lagu Rusia bahkan mempelajari tarian mereka.
KONSERT
Menurut salah seorang tonggak utama pertubuhan ini, Oxana Strelkova, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, mereka sering menjalankan aktiviti mingguan seperti meraikan cuti hari kebangsaan, kuiz uji minda, program khas untuk kanak-kanak, sambutan hari jadi, kelas belajar masakan Rusia, konsert dan tayangan teater.
Russian Club turut menjalankan sebuah program khas melukis dan mewarna kanak-kanak dan orang dewasa sempena hari kebangsaan Rusia pada 12 Jun lalu. Juara bagi kategori dewasa ialah Nur Fatihah dari Kedah yang berjaya menarik hati para juri dengan keindahan lukisan kota Moscow. Pertubuhan yang baharu berusia tiga tahun ini sangat mengalu-alukan penyertaan orang ramai. Minat warga tempatan terhadap aktiviti mereka amat menggalakkan sehinggakan ahli jawatankuasa Russian Club mengambil keputusan untuk melancarkan sebuah gerakan atau persatuan yang diberi nama Persahabatan Malaysia-Rusia. Profesor Dr. Marina Kapitonova dan Azhar Ahmad dipilih sebagai pengerusi bersama pertubuhan ini.
Jelas Oxana, pihaknya percaya, merapatkan hubungan Malaysia dan Rusia adalah penting memandangkan ramai warga tempatan ingin mempelajari sejarah Rusia yang kaya di samping warga Rusia diasimilasikan ke dalam budaya Malaysia yang berbilang kaum.
Mengapa saya sering menulis tentang aktiviti kebajikan oleh warga Rusia? Ini kerana kebanyakan daripada kita melihat warga Rusia dari sudut negatif akibat terpengaruh dengan propaganda Barat. Sedangkan realitinya, ramai dalam kalangan mereka ini mempunyai hati yang murni dan ikhlas dalam membantu seperti Valerie.
Wanita Rusia ini merupakan seorang pelancong tegar tetapi pada masa sama menjalankan aktiviti bantuan kemanusiaan di negara-negara yang dilawatinya.
“Saya telah menjadi sukarelawan dalam dunia kebajikan ini selama 11 tahun dan menjalankan pelbagai aktiviti di rumah anak-anak yatim dan rumah gelandangan,” katanya.
Namun, apa yang lebih mengagumkan adalah Valerie melancong dan menjalankan misi bantuan bersama anak lelakinya, Kyri yang berusia sembilan tahun. Kyri bertugas sebagai pengajar bahasa Inggeris kepada kanak-kanak. Buat masa ini, mereka berdua menetap di perkampungan Orang Asli Pos Woh, Perak. Mereka menghabiskan masa mengajar kanak-kanak menyanyi, mewarna, melukis dan membaca.
“Kami menubuhkan sebuah pusat pendidikan untuk masyarakat Orang Asli di Pos Woh. Kami memfokuskan kelas bahasa Inggeris di samping mengajar subjek sejarah, geografi, astronomi, biologi, fizik, kimia dan falsafah.
“Program ini turut direka bagi memastikan mereka mampu belajar dan menggabungkan antara pendidikan dan aktiviti sosial,” kata Valerie. Dia gembira dan berpuas hati kerana dapat melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat setempat.
Antara cabaran yang dihadapi Valerie adalah terpaksa menyesuaikan diri menetap di pondok tradisional Semai tanpa katil dan bilik mandi. Tetapi itu semua bukanlah masalah buatnya memandangkan penduduk di kampung tersebut melayaninya dengan baik, menghormati dan menghargai segala kerja-kerja yang dijalankannya.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.










