Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ingin diadakan semula bukan sahaja perlu dialu-alukan, ia juga hendaklah diperbaiki agar lebih berkesan lagi untuk memupuk patriotisme yang menyeluruh kepada setiap belia. Ini kerana cara pengendaliannya sebelum ini didapati kurang sekali dampaknya.
Peserta PLKN yang berusia 18 tahun dipilih secara rawak untuk menjalaninya secara wajib ketika ia bermula untuk kali pertama pada penghujung 2003, kemudian dilaksanakan setuntasnya mulai 2004. Ia diberhentikan pada 2015 dan disambung 2016 dengan penyertaan bersifat pilihan sepenuhnya oleh bakal peserta. Ia dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan waktu itu.
PLKN diwujudkan pertama-tamanya untuk membentuk generasi muda yang patriotik, selain bersatu padu dan memiliki nilai sahsiah unggul. Untuk ini, tempoh latihannya ialah tiga bulan yang dikurangkan dari dua tahun dalam perancangan asalnya. Sepanjang PLKN, peserta menjalani empat modul, iaitu latihan fizikal seperti tempur tanpa senjata dan kawad, kenegaraan seperti keselamatan dan perpaduan negara, pembinaan perwatakan sepeti kepimpinan dan keyakinan diri, serta khidmat masyarakat seperti kesukarelawanan dan pemulihan persekitaran.
PLKN yang hanya disertai sebahagian belia pada setiap latihannya adalah antara kelemahan yang utama. Ia dilakukan sedemikian kerana perbelanjaan tahunan besar tidak kurang RM500 juta.
Namun demikian, tujuan agar belia memilki semangat patriotik tinggi lagi kental yang dijana khas melalui PLKN tidak akan kesampaian, jika hanya sebahagian belia dipilih sebelum 2015 dan menawarkan diri mulai 2016.
Sebenarnya cara pemikiran hanya sebahagian daripada keseluruhan sudah memadai untuk mencapai matlamat PLKN bukan sahaja bersifat salah rancang, ia juga tidak bijak. Sebagai contoh, 85,000 sahaja daripada sekitar 450,000 belia dipilih untuk menyertainya pada 2003.
MELESET
Ini berasaskan anggapan kumpulan belia yang menjalani PLKN itu boleh menaburkan semangat patriotik yang mereka perolehi kepada yang tidak menjalaninya adalah meleset. Mungkin pemikiran begini tercetus daripada konsep imuniti kumpulan dalam bidang perubatan. Ia adalah ketahanan kepada penyakit berbahaya dan mudah berjangkit yang sedang menular dalam sesebuah kependudukan, boleh dikawal setelah sebahagian penduduk tertentu sahaja diberikan vaksin. Walaupun demikian, suntikan vaksin kepada setiap penduduk adalah masih cara terunggul dalam usaha pencegahan yang sebaik-baiknya.
Untuk PLKN berjaya sepenuhnya, ia wajib disertai semua belia sihat. Sehubungan itu, tiada sebarang nilai ambang yang boleh diguna pakai. Ini bermaksud, tidak ada satu pun had bilangan sebagai tanda kebolehberkesanan dalam menetapkan jumlah penyertaan yang akan memberi kesan optimum. Dengan ini, untuk PLKN pada 2003, kesemua 450,000 belia wajib menyertainya dan bukan 85,000 sahaja.
Oleh itu, PLKN yang akan diadakan semula hendaklah mengambil kira kelemahan ini untuk mendatangkan kesan maksimum, walaupun beban kewangan yang akan juga memaksa pengambilan itu sebahagian sahaja. PLKN adalah antara bahagian penting dalam proses pembentukan negara bangsa. Dengan ini, kosnya tidak boleh sesekali dijadikan alasan. Ia pelaburan modal insan yang bukan sahaja amat diperlukan, malah ia mandatori dalam usaha kita hendak menghasilkan generasi yang bangga, sayang dan setia kepada negara.
SAMBIL LEWA
Yang dilakukan sebelum ini, iaitu dengan hanya mengambil sebahagian, boleh dibaratkan sebagai melepas batuk di tangga. Persoalan generasi muda yang kurang semangat patriotik sehingga perlu diwujudkan PLKN tidak boleh sesekali ditangani secara sambil-sambilan sahaja. Dengan ini, kita bukan sahaja melakukan kerja sambil lewa, ia juga tidak membawa sebarang kesan yang dihajati.
Sudah tiba masanya kita bertindak dengan cara yang lebih memperlihat kebijaksanaan dengan melampaui akal yang hanya mahu hemat dengan perbelanjaannya agar tidak besar, sedangkan kesannya tiada langsung terhadap matlamat PLKN yang perlu menyeluruh untuk kebaikan negara. Dengan kata lain, kita mahu terlalu jimat dari satu segi untuk menjaga kosnya, tetapi cuai terhadap hasilannya yang bukan sahaja tidak seberapa, malah tiada langsung kerana diperolehi sebilangan kecil belia. Ia tiada kesan langsung kepada negara secara keseluruhan sebab tidak diperolehi kesemua kelompok sasaran.
PLKN sekiranya masih diteruskan dalam bentuk yang tidak mahu melibatkan semua belia adalah umpama tuba habis, ikan tidak dapat yang bukan sahaja menghabiskan wang rakyat, tetapi juga membuang masa berharga belia kerana tiada kesan sarwa kepada negara.
PLKN adalah vaksin patriotisme yang wajib diberikan kepada semua belia. Seperti imuniti kumpulan itu, konsep mentaliti kumpulan dalam sosiologi, iaitu pengaruh kelakuan belia yang menjalani PLKN ke atas belia yang tidak untuk memupuk dan mempertingkat semangat patriotik juga didapati tidak sesuai.
Semua belia wajib menjalani PLKN. Tidak boleh ada seorang pun belia Malaysia yang tidak.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










