Vaksin: Marhaen terus tercicir - Utusan Malaysia

Vaksin: Marhaen terus tercicir

SEORANG wanita berjalan di depan sebuah kedai yang terpapar papan tanda ‘Vaksin Covid-19 belum dijual’ di Arlington, Virginia, Amerika Syarikat, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkembangan pandemik Covid-19 akan masuk fasa terbaharu dengan adanya bekalan vaksin atau ‘pelali’ melawan virus tersebut. Sehingga kini, ramai mengidamkan perkembangan sedemikian dengan harapan hidup akan kembali sedia kala apabila Covid-19 dapat dikekang oleh ubat-ubatan termasuk vaksin yang baharu dicipta. Kini, sekurang-kurangnya lima jenama vaksin diumumkan oleh beberapa negara di Timur dan Barat.

Masing-masing mengesyorkan betapa vaksin ciptaan mereka adalah berkesan melalui pelbagai ujian makmal. Ada yang mengatakan mencapai 90 peratus dalam memutuskan jangkitan virus berkenaan. Ini amat menggalakkan sebagai satu cara untuk membasmi wabak Covid-19. Namun, hakikatnya ia masih agak awal untuk memberi jaminan sepenuhnya tentang tindak balas vaksin berkenaan atas berapa sebab tertentu. Utamanya memandangkan vaksin tersebut masih baharu dan belum digunakan dengan meluas untuk pesakit atau pengguna diseluruh dunia.

KESAMARAN

Oleh itu, keberkesanan dilaporkan masih mempunyai kesamaran yang boleh mengelirukan. Umumnya, lebih ramai menggunakan vaksin dengan lebih jelas pula ciri-ciri kesan yang dikaji termasuk kesan-kesan tidak diingini.

Maklumat ini penting bagi menentukan tahap risiko yang mungkin dialami berbanding keupayaan untuk menyembuhkan. Jika risikonya dianggap tinggi, maka vaksin itu tidak sesuai untuk digunakan. Dan pihak berwajib mungkin menyekat pasaran kepada khalayak ramai.

Sebaliknya, ia mungkin diharamkan oleh pihak berkuasa dengan tujuan terus melindungi status kesihatan pengguna daripada tergugat dengan lebih nyata dan merbahaya. Bahkan, ia boleh memudaratkan termasuk mengancam nyawa. Sebab itu kerajaan tidak perlu tergesa-gesa merestui sesesuatu vaksin tanpa meneliti perincian oleh pakar-pakar serta pihak berwajib. Apatah lagi apabila bilangan yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 melambung tinggi di seluruh dunia. Malah di negara-negara termaju menunjukkan teladan terburuk. Teladan ini tidak akan dapat ditukar secara luaran sahaja. Sebab itulah vaksin wajar digunakan secara berhati-hati khususnya pada peringkat awal penggunaan seantero.

Seterusnya setiap satu vaksin yang dibentuk setakat ini mengambil masa kurang dari setahun dalam penciptaannya. Ini sudah tentu perkembangan yang memberangsangkan.

Bagaimanapun, ada beberapa kebimbangan yang masih tidak dapat dinafikan, antaranya kaedah serta teknologi yang digunakan dalam mempercepatkan penghasilan vaksin berkenaan. Sayugia dinyatakan, lazimnya vaksin mengambil masa bertahun-tahun sebelum dibenarkan penggunaan secara rasmi. Di samping itu, ia melibatkan ratusan ribu pesakit atau pengguna dalam fasa awal kajiannya secara menyeluruh.

PERLUMBAAN

Memandangkan hal ini agak berbeza dengan apa yang berlaku sekarang, maka timbul tanda tanya yang berlegar terhadap isu-isu risiko seperti yang diperkatakan tadi. Ini menjadi isu pokok dalam menentukan bagaimana pandemik ini ditangani dengan berkesan.

Tambahan pula ada yang mendakwa wujud seolah-olah satu perlumbaan dalam penghasilan vaksin antara beberapa syarikat mahupun negara di seluruh dunia. Desakan ini lebih bermotivasikan keuntungan ekonomi dan kewangan kerana pasaran bagi vaksin umumnya mencecah berbilion orang serta rakyat dari segenap pelosok dunia. Maka siapa cepat dialah dapat! Inilah sebenarnya motivasi industri kesihatan sejak dahulu lagi. Menangguk di air keruh sehingga tidak kurang timbul skandal serta aktiviti tidak beretika direkodkan oleh pelbagai kajian saintifik di seluruh dunia.

Sekali gus mengatasi kepentingan malah menentukan kedudukan kesihatan terutama sekali di dunia membangun.

Hal ini menjadi lebih ketara apabila tidak ramai mengambil peduli tentang kesan kesudahannya yang menyeluruh. Terutama sekali bagi negara-negara membangun atau masyarakat marhaen.

Jelas, mereka akan terus tercicir atau dibiarkan tercicir walaupun lebih ramai lagi yang terancam olehnya. Ini amat membimbangkan didasari kemiskinan serta kepapaan yang semakin meluas.

Apatah lagi apabila kepentingan mereka diketepikan sama sekali.

NEGARA KAYA, DUNIA KETIGA

Anehnya, keutamaan adalah bagi mereka yang berada dan negara yang mampu. Ini kita perhatikan semasa serangan virus Covid-19 bermula di mana negara berebut mendapatkan pelitup muka dan peralatan lain untuk melawan pandemik tersebut. Dan negara kaya lagi perkasa mendahului.

Begitu juga semasa serangan virus AIDS suatu masa dahulu dan kemudiannya pelbagai serangan virus dan kuman lain di negara-negara dunia ketiga seperti Afrika khususnya.

Angka kematian terus meningkat kerana kepincangan hidup yang tidak terbendung. Ini belum lagi mengambil kira penyakit yang telah lama bertapak dan meragut jutaan nyawa tidak berdosa.

Termasuk juga kanak-kanak akibat ketiadaan air bersih, kemudahan seharian sempurna. Misalnya, tenaga letrik yang asas untuk kehidupan bermaruah. Contohnya, ada vaksin yang memerlukan rantaian suhu sejuk di bawah sifar untuk simpanan serta pengangkutan. Tanpa kemudahan seumpama ini, penggunaan vaksin akan menjadi hambar sahaja.

Natijahnya, vaksin mungkin penting tetapi hanya dalam kerangka pembangunan yang mantap dan lestari. Hatta, menjurus kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja dan rata-rata bukan yang tercicir atau tersisih. Dengan lain perkataan, dunia akan terus dilanda pandemik sama ada wujud vaksin atau tidak jika ketidakadilan dan kezaliman masih berkumandang dengan bingitnya dalam kalangan masyarakat kita.

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN