UMNO perlu turunkan ‘suhu abang long’ - Utusan Malaysia

UMNO perlu turunkan ‘suhu abang long’

Musatafa Ali ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Rosalinda Md. Said di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

KELMARIN, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan akan wujud masalah besar dan pertikaian kerusi antara tiga parti komponen Melayu di bawah Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana ketiga-tiga parti tersebut, UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kabur untuk menetapkan kerusi yang mahu ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Veteran Pas, DATUK MUSTAFA ALI berkata, parti itu selesa bersama UMNO dan Bersatu. Bagaimanapun, masalah timbul apabila UMNO sering tidak sebulu dengan Bersatu. Ini disebabkan sikap abang long atau abang besar dalam kalangan kepemimpinan UMNO yang didakwa sukar bertolak-ansur.

Justeru, bagaimana mahu mengatasi kemelut ini? Ikuti temu bual bekas Pengarah Pilihan Raya Pas itu dengan wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID dan jurugambar, PUQTRA HAIRRY ROSLI di Kuala Terengganu, Terengganu:

KERJASAMA PN, MN

UTUSAN: Pas ibarat ada dua kolam, makan keliling. Benarkah?
MUSTAFA: Sebenarnya apa yang diusahakan Pas adalah yang terbaik kerana kesemua tiga parti Melayu-Islam digabungkan dalam satu kelompok. MN datang awal semasa Pas-UMNO masih pembangkang tetapi apabila sudah terbentuk kerajaan PN, secara automatik kedua-dua parti adalah sebahagian kerajaan PN bersama Bersatu.

Perbezaannya, Pas mahu UMNO-Bersatu. Cuma masalahnya, UMNO tidak selesa dengan Bersatu disebabkan sikap abang besar UMNO yang tidak boleh bertolak-ansur.

Majlis Tertinggi PN menubuhkan Majlis Presiden untuk mengukuhkan kerjasama antara parti. Komen?
Ini merupakan satu proses natural yang seharusnya berlaku apabila parti komponen ini mempunyai kerjasama antara satu sama lain, mesti kena ada Majlis Presiden. Ini adalah satu ciri yang sudah wujud dan bukan baharu. Pas semasa terlibat dalam Pakatan Rakyat turut ada Majlis Presiden dan langkah PN menubuhkan Majlis Presiden merupakan satu proses yang seharusnya berlaku.

Apa lagi yang boleh ditambah baik dalam PN?
Pas bersama UMNO di MN. Pas bersama Bersatu di peringkat PN. Peringkat awal dahulu ada perbincangan Bersatu jadi sebahagian daripada MN dan UMNO pula sebahagian daripada PN. Kalau ketiga-tiga parti ada dalam MN dan PN, itu merupakan yang lebih baik dan stabil dari sudut politik negara. Jadi, tidak timbul masalah nak bertengkar atau apa.

Bagi saya, UMNO perlu menurunkan suhu abang long yang dimiliki supaya sikap abang besar tidak terus menguasai parti itu.

Bagaimana jika hanya UMNO-Pas-Bersatu menguasai kerajaan?
Saya melihat politik Malaysia sekarang dengan kemajmukan rakyat dan penduduk, perkongsian kuasa boleh dikatakan menjadi satu norma pada masa kini dan akan datang. Ertinya, setiap kaum itu ada peranannya dalam kerajaan.

Bagi saya, sekalipun wujud majoriti dalam kalangan parti-parti Melayu-Islam sahaja tetapi itu bukan satu struktur yang paling baik bagi Malaysia kerana rakyatnya pelbagai kaum. Setiap bangsa perlu diwakilkan dalam kerajaan cuma yang dominan itu tentulah dalam kalangan Melayu-Islam.

Tetapi wakil parti lain bukan Islam perlu ada dalam kerajaan dan saya rasa ini yang paling baik. Bukan satu-satu kaum sahaja yang menguasai semua sekali. Malah saya rasa Pas pun tidak bertujuan begitu. Tujuannya ialah supaya masyarakat majmuk diwakilkan dalam kerajaan, yang dominan Melayu-Islam.

Bolehkah UMNO bergerak sendiri walaupun tanpa parti lain?
Saya rasa sukar bagi UMNO untuk menang semula secara bersendirian di Malaysia. Dalam politik Malaysia yang berasaskan sistem demokrasi, belum ada satu parti yang mampu berdiri sendiri kemudian menang dan memerintah, tidak ada. Dari kemerdekaan dahulu sampai sekarang, tidak ada dan akan datang pun saya rasa tidak mungkin ada.

Kalau UMNO rasa dia boleh berdiri sendiri dan menolak semua orang, itu mungkin khayalan sahaja. Berdasarkan sejarah, UMNO bersama dengan parti komponen, MCA dan MIC tetapi apabila yang sana tidak kuat dan berharap kepada UMNO, itu yang UMNO pun runtuh dan kekuatan terhakis.

Jadi ertinya, tidak ada satu parti yang boleh masuk pilihan raya sendiri dan menang politik Malaysia, ini pendirian saya. Kepada Pas pun saya katakan, Pas tidak boleh masuk pilihan raya sendiri walaupun bertanding banyak dan hendak menang sendiri.

Lompat parti sudah boleh diterima?
Lompat parti bukan satu tindakan baik dalam sistem demokrasi walaupun dibolehkan. Pas memang tidak setuju dengan tindakan melompat parti.

Ini merupakan satu fenomena yang tidak baik kerana sepatutnya masing-masing ada prinsip perjuangan dan apabila parti dan pemimpin itu kalah dalam pilihan raya dan perlu menjadi pembangkang, jadilah pembangkang yang konstruktif. Ada segelintir manusia yang memiliki nafsu untuk berkuasa dan tidak boleh terima hakikat hingga timbul perkara-perkara seperti ini.

PAS ADA PENDIRIAN

Pas selesa dengan jawatan diberikan dan tidak berperanan dalam kerajaan?
Dakwaan itu tidak berapa tepat kerana Pas sebagai sebuah parti ada pendirian tersendiri sebab itu dalam konteks yang berkait dengan kerajaan. Maknanya menjadi kewajipan Pas untuk bersama mempertahankan kerajaan.

Saya rasa kalangan menteri daripada Pas menjalankan peranan yang baik. Tetapi tentulah sebagai sebuah kerajaan kita tidak boleh nak bersuara macam pembangkang dalam isu yang dilihat kontroversi. Kaedahnya apabila kita sebahagian daripada kerajaan, kita tidak bersuara sebagaimana pembangkang, kita bincang secara dalaman. Itu yang orang melihat Pas tidak kuat macam dahulu kerana sebagai kerajaan, kita berbincang di peringkat dalaman. Itu bezanya, bukan bererti kita berdiam diri atau tidak mempedulikan isu kontroversi.

Kita memainkan peranan kita dan saya rasa tanpa menyebut apa isunya, pandangan Pas diterima baik di peringkat Pusat.

Apa formula yang menyebabkan Pas boleh berbaik dan melupakan persengketaan dengan UMNO?
Saya rasa Pas boleh bersama UMNO sebab UMNO tidak angkuh macam dahulu. Selepas kalah PRU-14, UMNO mencari kawan dan sanggup merendah diri. Dulu-dulu UMNO tidak pernah merendah diri, tetapi selepas mengalami kekalahan semua lari dan tak nak berkawan. Jadi, Pas bersedia menyambut berkawan dengan UMNO.

Sekarang nampak UMNO nak jadi angkuh semula. Tiada orang yang boleh bersama dengan orang yang angkuh, mesti ada sefahaman dan bertolak-ansur.

PAS-UMNO TERENGGANU

Isu agihan kerusi Pas-UMNO Terengganu boleh selesai secara baik?
Setakat ini berjalan dan tiada negatif, sokongan UMNO wujud dan tidak mencederakan kerajaan negeri walaupun ada seorang dua yang bising. Kaedah dalam kerjasama perbincangan berlaku di peringkat Pusat, jadi negeri kena patuh. Peringkat kepemimpinan Pusat ada garis panduan, setakat yang saya terlibat sepanjang beberapa kali perbincangan, kita mengambil kaedah pertama iaitu status quo. Kawasan sudah menang itu kamu punya. Kemudian kawasan belum dimenangi, kita tengok siapa lebih layak. Dalam konteks Terengganu, persaingan bersifat Pas-UMNO sahaja.

Segalanya boleh dibincangkan sekiranya nak tukar kawasan dan sebagainya. Saya tidak mahu menyebut awal apa yang dibincangkan di Pusat. Tetapi saya mahu mengingatkan lebih awal supaya UMNO jangan ambil tindakan tidak gentleman.

Bolehkah Pas-UMNO berlawan adik-beradik di Terengganu?
Tidak baik dari sudut kerjasama dan akan memberi ruang kepada calon ketiga. Cara yang baik mesti berunding. Katakanlah UMNO ada benda yang tidak puas hati dan Pas pun sama, maka perlu ada perbincangan. Kalau semua hendak bertanding, itu bukan kerjasama.

Di Terengganu, jelas Pas mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU-14. Pertandingan di semua kawasan bukan penyelesaian dan akan merosakkan hubungan kerjasama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN