UMNO, BN kuasa politik dominan - Utusan Malaysia

UMNO, BN kuasa politik dominan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

BEGITU tenang menjawab segala persoalan dengan hati terbuka memperlihatkan pemimpin muda ini matang dalam menyuarakan pendapat dan pandangan serta tidak cepat melatah apabila diserang pembangkang atau dikritik rakyat.

SHAHRIL SUFIAN HAMDAN yang merupakan Ketua Penerangan UMNO semakin mendapat perhatian selepas beliau mengutarakan beberapa kenyataan yang dilihat memihak kepada rakyat serta pada masa sama memiliki jati diri yang kuat terhadap UMNO.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurugambar, FAUZI BAHARUDIN, beliau menyatakan hasrat untuk melihat UMNO terus mendominasi serta menjadi parti Melayu pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

UTUSAN: Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dilihat berjaya mengangkat suara rakyat dalam isu-isu melibatkan Belanjawan 2021 hingga menarik perhatian ramai. Komen?
SHAHRIL SUFIAN: Ini merupakan satu lagi bukti bahawa BN dan UMNO mewakili suara serta menjadi lidah rakyat meskipun dalam senario politik berbeza dari sebelum ini. Selain itu, ia jelas menunjukkan dominasi parti meskipun tidak memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan masih kuat terutama dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat. Sementara dari ‘sifir’ politik pula, jelas menunjukkan parti ini masih kekal berpengaruh.

Kelantangan BN dan UMNO dalam desakan tersebut jelas membuahkan hasil apabila beberapa tuntutan didengari. Adakah ia sesuatu yang dijangka?
Perikatan Nasional (PN) dilihat mengikut cadangan BN dan UMNO disebabkan kami mewakili suara rakyat dan mereka tiada pilihan kerana parti ini memiliki kuasa politik yang dominan.

Ya, kita sudah jangkakan kerana tuntutan tersebut berasas dan mereka silap sekiranya menafikan UMNO sebagai parti Melayu yang dominan.

Walaupun Belanjawan 2021 diluluskan semasa Sidang Dewan Rakyat Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, namun terdapat ura-ura wujud komplot untuk mengagalkannya pada bacaan kali ketiga. Apakah impak tindakan tersebut terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat?
Saya kira itu adalah proses demokrasi dan mereka berhak berbuat demikian. Namun, yang jelas tiada kesatuan hati dalam anggota Pakatan Harapan (PH).

Biarlah mereka bermain politik sementara BN akan terus mengusulkan penambahbaikan soal belanjawan serta ekonomi secara keseluruhan dan kita tidak akan melayan perpecahan yang wujud dalam PH.

Terdapat dakwaan sebahagian pemimpin akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya usul Belanjawan 2021 gagal diluluskan. Adakah ini bermakna UMNO akan kembali berpecah?
Kami hanya melihat kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) di peringkat dasar yang mana jelas disebut, tiada Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada DAP. Selagi mesyuarat tidak mengubah keputusan, maka itu adalah pendirian parti.

Bagaimana jika terdapat ahli yang mahu berhijrah ke Bersatu?
Jika mereka berbuat begitu, maka mereka bukan lagi orang UMNO tetapi selagi mereka kekal, mereka boleh berbincang dalam mesyuarat atau forum. Jika mereka memilih untuk keluar, maka mereka akan dilayan sebagai bukan UMNO.

Adakah ia akan menjejaskan UMNO?
Melihat semula pada episod lompat parti secara besar-besaran suatu ketika dahulu, mungkin ada yang beranggapan UMNO akan hancur dari dalam tetapi terbukti tidak. Pada masa sama, rakyat masih lagi setia dengan parti kerana mereka menyokong perjuangan parti, bukannya individu.

Bagaimana pula cadangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta ahlinya berbaik dan memperkukuhkan kembali hubungan dengan parti Melayu. Adakah ia boleh berlaku sedangkan ramai mengetahui, UMNO dan Bersatu memiliki sejarah atau luka yang masih berdarah?
Tidak diragui, luka dengan Bersatu masih lagi berdarah terutamanya ramai dalam kalangan pimpinan parti itu terdiri daripada mereka yang melompat kerana kekalahan UMNO dan semasa parti ini lemah. Jadi, bagaimana kita memaafkan dengan mudah dan menerima senario begitu?

Apabila Muhyiddin mengajak penyatuan antara parti Melayu, sebenarnya UMNO telah berkorban besar dengan mengangkat kerajaan PN meskipun kita memiliki jumlah ahli Parlimen yang ramai dan dari segi tahap sokongan. Kita juga sudah memulakan langkah ke arah kerjasama tersebut tetapi masalahnya, terdapat segelintir pimpinan Bersatu yang menyakat dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyindir UMNO seperti perlu berbangga kerana memiliki dua Perdana Menteri walaupun parti baru setahun jagung dan mempertikaikan dominasi dalam UMNO.

Saya mahu lontarkan semula secara terhormat kepada Presiden Bersatu untuk memberitahu ahli dan pimpinannya, sekiranya mahu menjalin kerjasama maka perlu bertindak selari kehendak dengan mengakui UMNO sudah tentu menjadi parti dominan serta mereka tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang gah dan angkuh.

Nampaknya UMNO dan Bersatu masih tidak serasi. Bagaimana mahu membentuk kerajaan?
Saya sebagai pemimpin muda berfikir bahawa dua parti ini tidak boleh wujud lama dalam satu komponen kerana kedua-duanya terlalu serupa termasuk dari segi perlembagaan dan baju. Jika mereka dalam pasaran yang sama, maka tiada nilai tambah kerana hanya ada satu ruang untuk parti nasionalis Melayu.
UMNO dan Pas memiliki pasaran serupa tetapi berbeza sementara Bersatu setakat ini tiada pasaran selain daripada UMNO. Jadi, Bersatu perlu sedar hakikat itu dan memikirkan jalan terbaik untuk jangka masa panjang.

Jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, maka kita tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Pun begitu, tiba suatu ketika, hanya satu parti boleh wujud dan sudah pasti saya mahukan UMNO menjadi parti itu.

Untuk jangka masa pendek, kita terima hakikat dua parti ini akan masih wujud. Jika mahu bekerjasama lebih rapat, mereka perlu menerima beberapa hakikat yang tidak boleh dipertikaikan yang harus diterjemahkan kepada beberapa tindakan seperti kerusi yang UMNO bertanding perlu jauh lebih besar daripada Bersatu dan kerusi dimenangi UMNO walaupun diwakili oleh mereka yang berhijrah adalah tetap milik parti.

Jika mereka mahu uji kekuatan, pergilah ke pasaran berbeza dengan bertanding di bukan kawasan tradisi UMNO. Jika masih berbuat demikian, jadi timbul persoalan, apa relevannya Bersatu kerana UMNO sudah ada market. Mereka perlu mengambil kerusi-kerusi yang berbeza daripada kelaziman UMNO.

Medan politik masa kini jauh berbeza dengan terdahulu. Adakah UMNO sudah bersedia mengangkat kaki untuk memasuki versi baharu politik negara?
Timbul persoalan di mata rakyat, adakah UMNO benar-benar berubah? Walaupun yakin dengan kekuatan asas tetapi yang menentukan kemenangan pada pilihan raya nanti adalah pengundi atas pagar.

Beberapa perkara perlu dilakukan termasuk menamakan calon Perdana Menteri kerana pengundi atas pagar mahu mengetahui perkara itu. Selain itu, parti perlu menampilkan calon yang segar dalam pilihan raya.

Baharu, segar mampu tambat hati rakyat

Bercakap mengenai calon yang segar, pada pilihan raya umum sebelum ini juga UMNO menguar-uarkan untuk menampilkan muka baharu tetapi akhirnya barisan pimpinan lama juga yang bertanding. Adakah pada masa akan datang perkara ini boleh direalisasikan?
Jika melihat kepada barisan pimpinan PH baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen, mereka tidak takut untuk menampilkan muka-muka baharu, segar dan muda untuk mewakili parti.

Namun, di sebalik muka baharu tersebut, terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berusia. UMNO perlu berani melangkah seperti mereka jika mahu kembali menjadi parti pilihan ramai.

Parti perlu mengemukakan muka baharu dalam kalangan Pemuda dan Puteri yang lebih mewakili posisi pengundi masa kini kerana majoriti pengundi adalah mereka yang muda. Jika UMNO tidak berani membuat perubahan tersebut, maka kita tidak akan dapat mencapai potensi parti yang dominan.

Saya harap UMNO dan kepimpinannya bersedia dan positif untuk beralih angin kerana politik juga sudah jauh berubah. Golongan muda bukannya mahu mengambil alih parti kerana kerja mengurus, yang memiliki kebijaksanaan dan strategik adalah barisan pemimpin lama.

Walaupun DAP mengemukakan Young Syefura Othman, namun yang merencana strategi parti sudah tentu dipacu oleh orang lama dalam parti tersebut.

UMNO perlu ada magik untuk harmonikan kebjikasanaan orang lama dan realiti politik hari ini dengan menampilkan muka baharu yang muda dan segar untuk menambat hati rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN